Sori kenkawan kerana tanpa izin saya buh nama2 korang dalam ni.... cam Fini, Bali, Niza, Fida, Rohaida, Kak Jah, ada Rita, Mc Gee, Achik ngan Zurin jugaks.... Hmmmm...
JOM LAYAN GAMBAR KENANGAN WITH MY FRIENDS... USM 1996 - 1999 - 2000
Niza, Bali,Fini, kak Ja, diriku, Rita |
masa nikah Kak Jah .. dari kiri atas, Rita, kak kinah, kak Ja, Kak Ida, Kak Jah, Bali, Kak Ah bawah, Achik, diriku, Mek Ja |
Masa konvo diriku, dari kiri, my dear cousin Mek Ja (Tokey Damya's Delight), my dear mama, my dear adik bongsu (Farah)-inspirasi dari dialah watak heroin and diriku yg masih slim ketika ini. Ahakss! |
JOM BACA!
Farah,
Terima kasih kerana memberikan saya
peluang untuk hidup bersama awak.
Awak dan Nur Damia adalah
perkara terbaik yang pernah hadir dalam hidup
saya...
Sayang,
Suamimu...
|
Farah
melipat kertas kecil yang di temui setelah dia membuka helaian pertama dari
beberapa buah buku panjang yang tersusun di atas meja kerja di rumah agam milik
mama itu. Meja kerja di bilik kerja yang selama ini dia jarang menjenguknya.
Farah
membacanya berkali-kali. Walaupun hatinya sebak, jiwanya retak dan perasaannya
membentak-bentak, namun tiada setitis pun air mata yang tumpah. Seolah derita
itu sudah sebati dengan dirinya. Dia merapatkan kertas kecil itu ke dadanya,
simbolik kepada meresapkan kata-kata itu ke hatinya.
“Awak,
maafkan saya...”
**************************************************************************************
Universiti
Sains Malaysia
1999- 2001
Bab 1
“Farah,
telefon!” Rohaida menjerit nyaring.
“Woi,
kau ingat pukul berapa sekarang ni yang kau menjerit macam orang gila?” Sergah
Bali yang sedang meniarap dengan buku C++ Programming diletakkan di atas
kepalanya. Kononnya, maklumat-maklumat dalam buku itu akan meresap masuk ke
dalam otaknya tanpa perlu di baca. Esok dia akan mengambil ujian bertulis dan
amali. Entah ‘tok bomoh’ mana yang bagi ajaran sesat ni.
“La,
baru pukul 1 pagi,” Rohaida sengih dan membuat muka tidak bersalah.
“Baru
kau kata?” Bali melemparkan bantal peluk ‘Doraemon’ yang dijadikan tempat dia
menyembamkan mukanya tadi kearah Rohaida.
“Tak
kena... tak kena... hahaha...”Kemudian dia teringatkan sesuatu. La... telefon..
“Farah
woi... kau dengar tak ni?” Rohaida bangun pantas, dan mengetuk pintu bilik air
kerana dia pasti Farah berada di dalam bilik air bersebelahan ruang dapur dan
bertentangan dengan bilik nombor dua dan nombor tiga, sejak setengah jam yang
lalu. Kenapa pula Farah mandi di sini? Bukannya di bilik air bilik utama?
“Apa?”
Farah membuka separuh pintu bilik air dan kelihatan wajahnya yang basah
berserta rambut yang penuh dengan buih syampu.
“La...
kenapa kau mandi malam-malam buta ni? Pas tu mandi kat bilik air ni pulak tu.
Kenapa kau tak mandi kat bilik air.....”Pintu di kuak lebih lebar.
“Kau
ketuk bilik air ni, sebab nak tanya aku kenapa aku mandi kat sini, je?” Belum sempat Farah menutup
kembali pintu bilik air, Rohaida pantas menahannya.
“Telefonlah!
Cepat, dari tadi lagi tu,”Farah mengerutkan dahinya. Telefon? Di tengah malam
buta ni? Untuk dia? Siapa?
“Sape?”
Rohaida mengjongketkan bahu tanda dia tidak tahu. Dengan berkemban kain tuala
dan syampu penuh di rambut, Farah keluar dari bilik air dan mengangkat gagang
telefon.
“Hello,”Dengan
dahi berkerut, dia mula menyapa.
“Farah,
jangan letak telefon dulu...”Demi mendengar sahaja suara itu, pantas, gagang di
letak, kasar.Wayar penyambung di belakang telefon di cabut.
“Lain
kali, kalau manusia tu telefon, cakap aku tak ada. Dah mati, faham!” Rohaida
yang sedang mencedok gula dari bekas kedap udara bulat untuk di letakkan ke
dalam mug yang berisi air panas dan seuncang teh, berhenti tiba-tiba. Bali di
ruang tamu juga terkejut dengan suara tinggi dari Farah lalu terus bangun dari
meniarap, kemudian duduk bersila.
“Apa
bising-bising ni?” Pintu bilik utama dikuak dan terpacul wajah Fini. Farah
mendengus perlahan kemudian berjalan masuk ke dalam bilik air. Pintu di hempas,
kuat. Seolah dia menghempaskan pintu itu kepada pemanggil telefon tadi.
“Kenapa
ni Ida?” Rohaida mengangkat bahu tanda tidak tahu, kemudian mindanya
terfikirkan sesuatu. Tiba-tiba saja dia rasa dia kenal si pemanggil telefon itu
tadi. Dia menepuk dahinya sendiri.
“Aku
rasa ‘Jandur’ yang telefon tadi!” Ooooo... patutlah... dan semua orang kembali
meneruskan aktiviti masing-masing kecuali Farah. Gadis itu membasuh kembali dua
helai seluar jeans dan baju kemeja yang baru di basuhnya sebentar tadi. Dia
mencurahkan serbuk sabun sehingga tinggal separuh kotak dan memberus serta
menyental pakaiannya dengan kuat sambil menyanyi lagu ‘Jamie’s Got A Gun’
nyanyian kumpulan rock ‘Aerosmith’ yang kedengaran kuat di telinganya dari fon
telinga yang dipakainya! Itulah cara dia melepas geram dan marah yang berbuku
di hati.
***************************************************************************
“Assalamualaikum!”
Farah berpaling sekilas ke arah pintu.
“Waalaikumussalam!”
Kelihatan Fini dan Bali sedang meletakkan kasut di atas rak di tepi pintu. Pada
awalnya mereka meletakkan kasut di luar rumah, namun sejak kejadian kasut
mereka di curi dua bulan lepas, terpaksalah mereka membuat langkah-langkah
keselamatan.
Apartmen
3 bilik, tingkat lapan, nombor 8-9-8, bersebelahan pagar Universiti Sains
Malaysia. Itu lokasi kedudukan rumah sewa mereka. Walaupun agak mahal sewanya,
iaitu RM850 sebulan, namun kerana kedudukannya yang strategik dan senang
berulang alik ke pusat pengajian, maka mereka sepakat mendiami apartmen ini.
Sembilan orang rakan serumah dicari, membahagikan 3 orang penghuni untuk setiap
bilik, sebenarnya sudah cukup selesa bagi pelajar seperti mereka. Setiap seorang
akan dikenakan bayaran RM120 sebulan. Lebihan duit sewa akan mereka gunakan
untuk membayar bil elektrik, bil air dan juga membeli keperluan asas barangan
dapur. Bil telefon dan penggunaan internet akan di caj mengikut penggunaan
masing-masing. Di sebelah telefon memang sedia ada satu buku nota kecil bertujuan
merekod setiap penggunaan
“Kau
tak ada kelas hari ni Farah?”
“Ada satu kelas je. Pagi tadi, pukul 8,” Farah
menjawab sambil matanya masih memandang skrin komputer dihadapannya. Satu set
komputer lengkap diletakkan di ruang tamu bertentangan dengan televisyen ihsan
dari Kak Jah. Komputer tersebut sebenarnya milik Farah. Manakala dapur pula
milik Bali. Peti ais mereka kongsi bersama. Nanti bila nak pindah, mereka boleh
jualkan kepada penghuni apartmen selepas mereka. Ada juga beberapa barangan
lagi yang di bawa oleh rakan-rakan serumah mereka yang lain untuk mereka saling
berkongsi. Setakat ini tidak ada lagilah berlaku perselisihan faham atau
bergaduh sesama sendiri. Setakat terasa hati sikit-sikit tu, sudah lumrah hidup
berkongsi. Yang penting, mereka akan berkumpul setiap hujung minggu, biasanya
semasa makan tengahari untuk berbincang, meluahkan rasa dan memberi pandangan
bagi penambahbaikan penghuni apartmen. Khadijah a.k.a Kak Jah selaku ketua kerana dia yang paling tua,
setakat ini menjalankan tugas dengan baik dan penghuni apartmen akan merujuk
kepadanya jika berlaku sebarang kesulitan. Begitulah harmoninya kehidupan
pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia ini.
Farah
menekan suis di atas pencetak Canon Bubble jet 210 sp dan bunyi keriut-keriut
dari pencetak itu mewarnai suasana tenang pada tengah hari tersebut.
“Dah
siap assignment kau?” Farah mendongak, memandang sekilas kearah Zurin yang
sedang menggeliat, baru saja bangun dari tidur di waktu siang hari. Zurin
memang terkenal dengan gelaran ‘hantu tidur’. Dalam kuliah dia tidur, dalam
tutorial pun tersengguk-sengguk. Kadang-kadang sambil menunggu rakan beratur
membeli air minuman di kafetaria pun dia boleh terlena. Pernah sekali dia terlena
sambil menyandar di pokok besar berhampiran gelanggang sepak takraw di tepi
kafetaria Desasiswa Cahaya. Mulanya dia yang bersungguh-sungguh mengajak mereka
ke situ. Kononnya, mamat yang dia minat selalu tunjuk skill bermain sepak
takraw kat situ. Pelik betul! Bukankah kalau kita suka dekat seseorang tu apa
sahaja halangan melanda akan kita
tempuhi? Nampaknya halangan ‘tidur’ tetap menang!
“Almost..”
Zurin mengangguk perlahan kemudian dia menuju ke dapur.
“Aku
laparlah. Kau tak nak pergi beli makanan ke Farah?”
“Kejap
lagilah. Aku nak abihkan print ni dulu.”Farah mula menyusun kertas putih saiz
A4 yang sudah siap di cetak. Kemudian dia membelek-belek setiap helaian,
memastikan tiada kesalahan ejaan atau kesilapan di mana-mana.
“Kita
pergi Gelugor nak, Zurin? Lama dah aku tak pekena nasi kandar telur sotong,” Farah
berpaling ke arah dapur, mencari kelibat Zurin memandangkan tiada tindak balas
yang di terimanya.
“Mana
budak ni?” Dia bangun dari bersila sejak satu jam yang lepas. Maklumlah set
komputer tidak di tempatkan di atas meja komputer. Dia hanya membeli meja lipat
Jepun saja sebagai tapaknya. Ringan, mudah dan jimat belanjalah katakan...
Farah
mula senyum apabila telinganya menangkap dengkur halus. Ya Allah, Zurin. Kau
tidur lagi? Sambil memegang bantal peluk Doraemon dan duduk bersila pun dia
boleh lena? Dia mengelengkan kepalanya apabila melihatkan Zurin sedang
bersandar sambil bersila di dinding menuju ke dapur
“Wei...
cik adik, aku cakap dengan kaulah!” Zurin yang terkejut dengan sergahan itu
mula membuat gerakan kepalanya ke kiri dan kanan.
“Kenapa
aku mengantuk sangat ni Farah? Selalunya tak macam ni...” Farah mencebik.
“Selalunya
tak macam ni? Ye lah sebab selalunya kau terbungkam terus, terlentang...
bukannya dengan bersila. Aku rasa kau nak kena ambil vitaminlah beb!” Zurin
menguap tanpa menutup mulutnya lalu bangun menuju ke dapur. Kurang sopan betul!
“Aku
nak buat nescafe ni, kau nak?”
“Nak!”
Farah kembali ke tempat kerjanya tadi dan mula memasukkan kertas-kertas yang
sudah di cetaknya tadi ke dalam fail plastik putih. Petang nanti dia akan ke
kedai kecil di tingkat bawah tanah perpustakaan utama USM untuk di jilidkan.
Dekat situ murah sikit kos ‘binding’ berbanding dengan kedai di luar kampus.
Mutunya lebih kurang sama je. Lagipun pemilik kedai tu pun bekas pelajar USM,
pekerja-pekerjanya pun pelajar USM. Apa salahnya jika kita saling bantu
membantu sesama pelajar.
Zurin
menghulurkan mug yang isinya masih berasap tipis.
“Tenkiu!”
Dia kemudiannya duduk bersila di tepi Farah.
“Kau
ada plan tak petang ni?” Farah mengerutkan dahinya seketika berfikir jika dia
ada apa-apa rancangan pada petang hari. Dia menghirup air nescafe susu penuh
nikmat.
“Ingat
nak pergi gim. Kalau jadilah... itu pun kalau aku tak terlena sampai petang
lah. Sebabnya, aku cadang, lepas makan tengahari dan pergi binding assignment
aku ni, aku nak tidur. Semalam aku tidur 3 jam je, siapkan assignment ni,”
Zurin angguk tanda faham.
“Kenapa
kau tanya?”Farah menghirup saki baki nescafe susu suam.
“Ingat
nak ajak kau survey komputer. Kesian jugak asyik berebut komputer kau je kan.
Lagipun, abah aku dah bank in duit!” Farah senyum. Zurin juga senyum. Ye lah,
susah juga mereka berebut-rebut satu komputer sahaja sedangkan semua orang ada
tugasan yang perlu dilakukan. Kalau nak tempah makmal, biasalah, kena
berebut-rebut juga. Itu yang pukul dua tiga pagi baru bangun menaip tugasan,
mengikut giliran! Apa, kata orang, ‘first come, first serve!’
“Jap,
kita check on-line dulu,” Farah mencabut wayar yang menghubungkan talian
telefon, kemudian mengambil satu wayar dari belakang komputer dan
mencucukkannya ke wayar talian telefon tadi. Kemudian dia mendail talian tmnet
di skrin komputer. Setelah talian berjaya di sambung, dia klik pada ikon
Internet Explorer kemudian ke enjin carian Yahoo.
“Engkau
rasa ada ke dia orang jual komputer dalam internet kat USM ni?”
“Ada.
Aku tengok si Diyu budak Sains Komputer
yang Ida minat tu cari kat lab komputer minggu lepas,”Oooo... Zurin
memuncungkan mulutnya.
Diyu!
Pelikkan namanya? Budak lelaki pulak tu. Sebenarnya Rohaida tak tahu pun nama
budak tu apa. Tapi sebab dia minat dengan rambut ala-ala mengerbang macam iklan
syampoo ‘Vidal Sassoon’ kat televisyen semasa menunggang motosikal tu, dia
buatlah nama panggilan ‘Diyu’. Sebabnya, budak tu naik motosikal, nombor
pendaftarannya ialah ‘D.U’! Mungkin budak tu orang Kelantan, sama negeri
dengannya berdasarkan nombor pendaftaran motosikalnya tu.
“Wei,
kau ada ‘new mail’lah beb!” Farah mendekatkan wajahnya ke skrin komputer.
Maklumlah dia tu rabun jauh. Kalau ‘font’ huruf yang kecil dari saiz ‘9’, kabur
sikit dari pandangan matanya. Cermin mata hanya di pakai semasa kuliah atau
tutorial sahaja.
“Hashim
Yahaya, sape tu?” Zurin memandang wajah Farah yang sudah mula mencuka. Kemudian
dia kembali memandang skrin komputer dan membaca tajuk emel yang tertera di
situ.
“’Dear, Please accept my apologize’. Sape
ni? Dia buat salah apa ngan kau?” Farah diam. Dia berkira-kira sama ada ingin membuang emel itu ke dalam tong sampah atau membacanya dahulu.
“Sape
ni Farah? Siap ber ’dear, dear’ lagi
ngan kau?”Farah menjeling sekilas kearah Zurin yang beria-ia ingin tahu.
“Farah,
kau ada boyfriend baru tak bagitau
aku ye? Mana aci...”
“Kau
diam boleh tak Zurin?” Zurin tersentak dengan suara tinggi dari Farah. Dia
tertelan air liurnya sendiri. Farah memang terkenal dengan imej ‘cool’... jadi
bila dia marah, tentulah kerana ada sesuatu yang ‘besar’ telah berlaku. Dia
masih ingat lagi semasa Farah kemalangan motosikal dengan pelajar Matrikulasi
dekat simpang tiga di Desasiswa Gemilang. Sah-sah memang salah budak perempuan
tu yang tak bagi signal, terus masuk macam tu saja. Tapi dia boleh dengan
tenang saja, senyum dan mengatakan tak apa, bila wajah pucat tak berdarah budak
perempuan tu memohon maaf berkali-kali. Walhal, kaki dia melecet teruk. Tangan
kirinya luka hingga terpaksa ke klinik siswa. Sebabnya dia kasihankan budak
perempuan tu yang tertinggal kalkulator dan tergesa-gesa kerana ada
peperiksaan! Dahlah tu, dia siap bagi pinjam kalkulator yang sentiasa ada dalam
beg sandangnya! Dia langsung tak marah. Senyum saja!
Zurin
hanya melihat saja Farah menutup suis komputer dan bangun berlalu ke bilik yang
dikongsi bersama Fini dan Bali.
“Gedegang!”
Pintu bilik dihempas, kasar. Sekali lagi Zurin tertelan air liurnya sendiri
akibat terkejut.
“Kenapa
ni Zurin?” Wajah Fini yang baru saja keluar dari bilik air menyapa matanya.
“Aku
tanya siapa ‘Hashim Yahaya’ yang hantar emel kat dia. Terus mengamuk!”Fini
senyum kecil kemudian mengelengkan kepalanya perlahan. Dia menghampiri Zurin
dan meletakkan lengannya ke bahu gadis itu.
“Hashim
Yahaya tu, ‘Jandur’!” Zurin membeliakkan matanya. Patutlah.... awat klasik
sangat nama dia?
***************************************************************************
BAB 2
“Kau masak
hari ni?” Farah mengangguk. Fini mendongak memandang jam di dinding yang
menunjukkan ke angka sembilan tiga puluh lima minit pagi. Rasanya rakan-rakan
yang lain masih tidur. Ye lah, hari Ahad. Biasanya lepas saja solat Subuh,
mereka akan menyambung tidur. Dia bangun ni pun sebab teringatkan dia ada janji
dengan adik angkatnya, untuk ke Komtar tengahari nanti.
“Apa
yang perlu saya tolong, Cik Siti Farah Diba?” Soal Fini bagi menarik perhatian
rakannya yang semenjak kebelakangan ni kelihatan muram sahaja. Tidak seceria
selalu.
“Tak
ada,” Fini duduk di atas kerusi bulat kayu, ihsan dari makcik sebelah rumah
yang berpindah keluar tiga bulan lepas. Meja makan enam kerusi dari kayu getah
itu, walaupun sudah lama dan agak pudar warnanya namun ianya masih elok dan
kukuh. Bagai orang mengantuk di sorongkan bantal, setuju saja penghuni
apartmen 8-9-8 tu, bila makcik sebelah
rumah menawarkan perabotnya. Sofa di ruang tamu pun ihsan dari makcik sebelah
rumah. Dia mengikut suaminya bertugas di Sabah, jadi dia hanya membawa
barang-barang penting sahaja. Perabot yang masih baru dia jualkan, yang lain
dia sedekahkan sahaja kepada mereka. Alhamdulillah, murah nanti rezeki makcik
tu!
“Dah
siap dah. Tunggu nasi masak je,” Fini mengangguk beberapa kali dan matanya hinggap
pada lima jenis hidangan lauk di atas meja. Ayam masak merah, ikan rebus dengan
kuah asam tomato, kangkung goreng belacan, telur bungkus dan tauhu telur goreng
sambal. Ni, masak sarapan ke makan tengahari? Apa mimpi budak Farah ni?
“Kau
masak sorang semua ni?” Farah diam.
“Bila
kau beli ayam, sayur, tauhu, semua ni lah? Kau pergi pasar ke tadi? Pasar mana?
Gelugor? Sungai Dua?” Farah diam lagi. Tangannya sedang mengacau gula dalam jag
besar dua liter. Kemudian dia mencedok dua sudu kecil penuh serbuk nescafe, dan
mengacaunya sekali lagi. Tanpa bersuara dia berjalan ke arah peti sejuk yang
diletakkan di bahagian tepi ruang tamu kerana tidak cukup ruangan di dapur,
setelah mereka letakkan meja makan enam kerusi ihsan makcik sebelah, di dapur.
Dia mengambil ais yang dibeli di kedai seven eleven semalam lalu mencedoknya
dengan gelas kecil ke dalam jag. Walaupun hari masih pagi namun dia kenal benar
dengan sahabat-sahabat serumahnya yang suka sangat minum air berais.
“Panggillah
semua orang, makan!” Arah Farah setelah dia melihat lampu di periuk nasi
elektrik terpadam.
“Kau nak ke mana tu?” Soal Fini bila
dilihatnya Farah berjalan ke ruang tamu.
“Tidur!”
Fini mengerutkan dahinya. Dia suruh panggilkan semua orang makan, tapi dia nak
tidur? Pelik ni!
“Kau
tak nak makan ke?”
“Dah
kenyang!” Fini menggaru kepalanya yang tidak gatal. Memanglah Farah pandai
memasak. Tapi, dia tu pemalas yang teramat untuk memasak. Kalau giliran dia
memasak pun, dia lebih sanggup ke kedai dua tiga kali untuk beli barang, daripada
dia memasak. Walau bagaimanapun, penghuni apartmen 8-9-8 memang menunggu-nunggu
dia memasak. Dia akan masakkan sesuatu yang berbeza, bukannya sardin dan telur
goreng, walaupun asasnya bahan mentah yang sama. Dia memang kreatif, tapi dalam
sebulan tu, paling banyak dia masak pun, rekod yang pernah di catat oleh minda
Fini, dua kali sahaja!
Fini
bangun. Niatnya untuk duduk di hadapan Farah dan meminta gadis itu bercerita
jika dia ada masalah. Namun, gadis itu sudah pun menutup wajahnya dengan bantal.
Dia membantutkan niatnya.
“Pasal
Jandur kot!”Dia berbicara sendiri.
“Tapi
bukan ke dah dekat dua bulan peristiwa tu?”Dia bermonolog sendiri.
Dia
masih ingat raut wajah tenang lelaki berusia awal tiga puluhan yang di temuinya
bersama Farah di gerai Nasi Ayam Pakcik Misai belakang pasaraya ‘Sunshine
Square’ awal tahun lepas. Orangnya hitam manis. Sentiasa tersenyum. Raut
wajahnya tenang dan ada tanda hitam samar-samar di dahinya, menunjukkan bahawa
dia lelaki beriman melayu terakhir!
Itu menurut pandangan Farah yang sudah gila bayang tahap A++ (mengikut firasat
Fini)!
Menguatkan
lagi pandangan Farah dan menambahkan lagi tahap gila bayang gadis itu, apabila
lelaki itu meminta Farah membawa teman setiap kali mereka bertemu. Bukan itu
sahaja, mereka juga cuma boleh bertemu di restoran yang terbuka dan Farah perlu
meminta izin, kalau tidak dengan ibubapanya yang tinggal jauh tu, dari Kak Jah
yang bertindak selaku ketua merangkap kakak angkat mereka, di apartmen.
Ada
lagi... Setiap kali tiba waktu solat, mereka akan terus mencari surau untuk
menunaikan solat terlebih dahulu.
Masih
ada lagi... Mereka juga hanya boleh menelefon di waktu siang hari sekali sahaja
sehari, kerana bimbang jika mereka asyik menghubungi satu sama lain, pelajaran
Farah akan terjejas dan mungkin prestasi kerja lelaki itu juga merosot.
Satu
lagi yang menyebabkan Farah semakin gila bayang tahap A+++, lelaki itu yang
bekerja di Kuala Lumpur akan datang sebulan sekali ke Pulau Pinang, memandu
kereta berseorangan di hari minggu. Dia akan menjenguk Farah, memberikan
nasihat, mengambil berat dan membantu dalam pelajaran dan juga kewangan.
Bukankah itu sememangnya calon lelaki yang paling ideal untuk dibuat suami? Tak
apalah kalau berbeza umur berbelas tahun pun, lelaki sebegitu sudah mempunyai
masa depan yang cerah. Bukankah lelaki yang lebih tua itu lebih matang dan
lebih romantik?
Fini
melepaskan satu keluhan yang agak panjang. Kasihan Farah! Buta-buta saja kena
tipu. Kalau dia pun di tempat Farah, tentu dia jadi gila bayang juga. Siapa
yang tak seronok bila ada orang yang begitu mengambil berat dan menjaga
adab-adab pergaulan sebegitu rupa di zaman serba milenium ni kan?
Dia
senyum kecil. Masih dia ingat lagi bagaimana dia dan rakan-rakan lain ketawa
besar bila Farah memakai baju kurung untuk bertemu lelaki itu buat kali
pertama. Ye lah, Farah tu agak kasar orangnya. Asyik pakai jeans dan baju T
saja. Kalau tak pun, pakai seluar trek, selipar yang ‘up’ sikit dari selipar
Jepun! Tudung pula asyik warna gelap je, kalau tak hitam, biru gelap, kalau tak
pun, warna coklat. Lepas tu tudung bawal yang dia pakai tu, tak boleh ada
kerawang, manik, atau sulaman banyak-banyak. Kalau di tanya kenapa, dia
jawab... geli aku! Naik motor pun laju semacam je. Pak guard USM pun dah cam
nombor pendaftaran motosikal dia tu. Berapa kali dia diberi ‘amaran’ supaya
berhati-hati bawa motosikal C70 second hand yang di beli dengan duit pinjaman
pelajaran MARAnya tu.
“Fini!”
Hah! Fini melangut. Wajah Bali yang sedang menutup mulutnya yang ternganga
akibat menguap itu dipandangnya.
“Aku
tengok kau ni tadi masam je, berkerut muka, pas tu senyum sorang-sorang.
Pehal?” Fini menarik nafas seketika.
Deria
hidu Bali mula menangkap aroma yang kemudiannya di bawa oleh reseptor bau dalam
rongga nasal melalui neuron deria ke otak. Kemudian otak mentafsir maklumat dan
maklumat itu singgah di neuron perantaraan di saraf tunjang sebelum di bawa
oleh neuron motor kembali ke hidung lalu di tafsirkan sebagai ‘bau makanan yang
enak’!
“Wei...
kau masak ke Fini? Sedapnya!”Dengan penuh teruja Bali membeliakkan matanya
apabila melihat hidangan yang memenuhi meja.
“Bukan
aku lah... tu!” Fini memuncungkan mulutnya kearah Farah di ruang tamu.
“Ups!”
Bali menutup mulutnya sendiri, sekali lagi.
“Buang
tabiat ke?” Fini mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Kau
perasan tak yang Farah dah berubah sekarang ni? Diam je. Termenung sana,
termenung sini,” Bali mengangguk-angguk perlahan.
“Aku
rasa sebab Jandur lah!” Bali mengangguk.
“Aku
pun rasa cam tu gak! Mmmm... tapi hari tu masa dia orang break, aku tengok
Farah cam tak kisah je kan?” Bali mengherotkan bibirnya ke kiri dan ke kanan,
berfikir.
“Dia
pura-pura je depan kita tu. Budak tu kan keras kepala sikit. Tapi kan, kalau
aku kat tempat Farah tu, ish.. tak tahulah apa yang akan aku buat. Frust gila!
Jandur tu memang... memang.. dasar Jandur!”Bali mengekspresikan rasa geramnya
kepada lelaki itu dengan mengepal-ngepal penumbuk di tangannya.
“Woi!”
Dua wajah di ruang dapur berpaling refleks kearah ruang tamu yang hanya
bersebelah dengan ruang dapur.
“Mengumpat
aku ye!” Suara Farah di sebalik bantal yang di tekup ke wajahnya, kedengaran
jelas di pendengaran mereka.
“Mana ada... kita orang berbincang, giliran sape pulak
yang masak petang ni!”
BAB 3
Farah
berjalan pantas menuruni tangga perpustakaan menuju ke kafetaria yang berada di
tengah-tengah antara perpustakaan, bilik-bilik kuliah dan bilik-bilik kecil
tutorial. Kerana bentuknya yang segiempat, sejak turun temurun lagi
pelajar-pelajar universiti ini memanggilnya ‘Kafe Kotak’.
Dia
mula mengambil tempat, beratur bersama-sama beberapa orang pelajar lain untuk
membeli air dan kuih muih. Kafetaria ini hanya menjual makanan ringan bagi
mengalas perut. Paling berat pun makanan yang ada ialah nasi lemak bungkus
tujuh puluh sen, mihun, mee dan kuey teow goreng yang sudah di pek. Biasanya
pelajar-pelajar akan singgah untuk minum di
waktu senggang masa kuliah atau menghilangkan dahaga selepas mentelaah
di perpustakaan. Ramai juga yang membuat ‘dating’ di situ. Kadang-kadang Farah
bengang juga bila semua tempat duduk sudah penuh akibat daripada beberapa
pasangan yang hanya minum segelas teh o ais tapi duduk selama berjam-jam!
“Assalamualaikum!”
Farah berpaling. Serta merta dia hilang selera untuk menjamah kuih keria dan
kuih serimuka di hadapannya.
“Nah,
saya belikan untuk awak!”Sekotak susu ‘Dutch lady’ rendah lemak 250ml di
letakkan di hadapannya. Begitulah setiap kali lelaki itu bertemunya. Sentiasa
membelikannya sekotak susu ‘Dutch lady’ rendah lemak. Alasan untuk pemberian
yang agak pelik itu, senang saja. Pertama kali dia menemui Farah di kafetaria
Desasiswa Gemilang tiga tahun lepas, Farah sedang membeli susu kotak ‘Dutch
lady’ rendah lemak ketika itu! Farah rasalah... ada satu wayar yang dah putus
dalam otak budak ni!
Farah
diam.
“Saya
duduk sini boleh?”Farah sekadar menjungkitkan bahunya.
“Ambillah,
jangan malu-malu,”Ish, geram pula Farah melihatkan sengihan lelaki
dihadapannya. Mamat ni memang tak faham bahasa ke apa?
Dia
menjeling sekilas lelaki yang sebaya dengannya itu. Wajah yang tersengih itu
membuatkan dia rasa nak termuntah. Tekaknya sudah loya semacam, apatah lagi
bila lelaki itu membuat mata kuyu ala-ala nak mengorat. Rambut belah tepi yang
berminyak dan bersikat rapi itu dimainkan dengan jemarinya. Pipinya sudah
semakin kembang menahan loya yang sudah mula bermukim.
“Farah,
kat sini kau rupanya. Merata aku carik.”Dia mendongak. Lelaki dihadapannya juga
mendongak.
“Eh,
abang Sham. Kenapa abang lambat? Dah lama Farah tunggu!” Shamir yang menyapanya
tadi mula berkerut dahi namun dia mula senyum apabila terpandangkan lelaki yang
duduk berhadapan dengan Farah.
“Ye
ke? Dah lama sayang tunggu abang?”Walaupun meluat dengan kata-kata itu, Farah
tetap mengangguk dengan wajah ala-ala manja dan mengada-ngada, walhal dalam
hatinya penuh dengan rasa tidak puas hati! Wajah lelaki dihadapannya berubah
serta merta. Tanpa berkata apa-apa dia mula bangun dan meninggalkan meja yang
paling hujung di kafe kotak!
“Fuh,
lega!”Farah menghembuskan nafas, panjang.
Shamir
ketawa besar sambil menekan-nekan perutnya. Kemudian dia duduk di tempat lelaki
tadi. Ketawanya masih bersisa, malahan semakin galak pula.
“Apa
yang kau seronok sangat gelak kat aku ni? Agak-agaklah...” Menyampah pula Farah
melihat Shamir yang terlebih-lebih ketawanya. Apalagi bila beberapa orang
pelajar berpaling kearah mereka, terganggu dengan suara gelak besar Shamir.
“Mamat
skima tu, apa namanya... mmm Rezal kan? Kelakarlah aku tengok muka dia tadi.
Cam Mr Bean tertelan ubat gegat je!” Hish, perumpaan melampau dah keluarlah tu
si Shamir gila-gila bahasa ni. Memang macam tu dari dulu lagi. Entah macamana
dia boleh di terima masuk universiti ni pun, Farah tak tahu. Siap ambil bidang
major Bahasa Melayu dalam kursus Ilmu Kemanusiaan pulak tu!
“Nape
kau tak terima je dia Farah? Kesian aku tengok menagih kasih dari first year
lagi kan? Hey, dia tu anak ‘load’. Aku dengar emak dia baru belikan kereta.
Kereta apa, lupa dah aku... mmm... Perodua Kembara yang baru lancar baru-baru
ni!”
“Peduli
apa aku dia nak pakai kereta Ferrari sekali pun. Ha, ni kau cari aku pehal?”
Farah memandang Shamir yang dikenali sejak kecil. Lelaki yang cuma tua setahun
darinya itu, adalah rakan sekampung merangkap adik kakak iparnya.
“Ni, mak
long telefon rumah sewa aku kelmarin. Dia kata telefon rumah kau rosak ke apa?
Dia telefon tak dapat-dapat. Kau pun tak telefon dia langsung. Risaulah tu anak
bongsu dia tak hantar khabar berita dah seminggu. Naper kau tak telefon mak
kau?”Farah mengeluh kecil. Ye ker? Dah seminggu ke dia tak telefon rumah?
Memang telefon rumah sewanya rosak, nak pergi buat aduan kat Telekom pun tak
sempat lagi.
“Aku
sibuklah. Nanti aku telefonlah. Dah, aku nak pergi lab, siapkan assignment!”
Farah bangun, kemudian berlalu tanpa berkata apa-apa dan menoleh pun. Shamir
mengelengkan kepala perlahan. Budak ni, usahkan nak ucap terima kasih, nak bagi
senyuman pun payah. Mujurlah dia dah lama kenal dengan si Farah tu. Kalau tak,
dah malas dia nak masuk campur urusan budak perempuan degil macam tu.
Shamir
memandang kepergian Farah yang hanya memakai jeans hitam lusuh dan baju t putih yang tertulis ‘Hargailah Alam
Sekitar dan Kesihatan kita’. Baju percuma dari Kementerian Kesihatan yang
diperolehi gadis itu semasa mengikuti teater sempena Hari Kesihatan Sedunia,
awal tahun lepas. Shamir gelak kecil bila teringatkan lakonan Farah sebagai
‘robot’ yang menentang pencemaran alam sekitar. Siap pakai baju dari ‘aluminium
foil’ yang berkilat tu. Mahu pula budak tu berlakon watak seperti tu!
***************************************************************************
Farah
melangkah masuk ke dalam makmal komputer. Cuma beberapa meja sahaja yang
berpenghuni. Biasalah waktu pagi, tak ramai pelajar yang menempah makmal kerana
mereka menghadiri kuliah. Kalau waktu petang, terutamanya selepas pukul 4,
mereka sanggup beratur panjang semata-mata untuk menggunakan perkhidmatan
internet!
“You’ve
got 1 new mail” Itu yang tertera di skrin komputer selepas dia menaip kunci
carian Yahoo. Entah kenapa hatinya tidak berdebar seperti selalu tatkala
membaca tajuk emel yang penuh syahdu itu. Dia kemudiannya membuka emel yang
dihantar oleh Hashim Yahaya itu.
‘Salam buat Farah,
Abang mohon maaf dari hujung rambut
hingga hujung kaki atas segala kesilapan abang
selama ini. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa menyesalnya abang kerana menipu Farah selama ini.’
“Mengaku
pun! Bangkai gajah tak boleh nak tutup dengan seluar boxer si Rezal tu cik
abang oi!”Ish, dia pun dah mula buat perumpaan pelik macam si Shamir juga.
Entah kenapa juga, dia rasa dia dah tak ada hati nak rasa kecewa. Dia kembali
menyambung bacaan.
‘Tiada sedikit pun terniat di hati kecil
abang untuk menipu Farah. Kita berkenalan di ruang
maya. Kita bercerita, kita bergelak ketawa. Entah kenapa, abang rasa bahagia. Hilang segala masalah,
hilang segala beban di jiwa abang. Kemudian kita saling menelefon. Riangnya
abang dengan gelak tawa Farah hingga senyumannya abang bawa ke mana-mana. Dunia
ini indah rupanya bila Farah menghuni ruang- ruang
kosong di jiwa abang.’
“Uwek!”
Dahlah dia rasa loya dengan kehadiran Rezal tadi belum hilang sepenuhnya, ini
pula dengan kata-kata rayuan cinta asmaradana dari lelaki ini pula. Dia cuba
bertahan sebelum rasa loya itu berleluasa.
‘Percayalah Farah, abang tidak bahagia dengan
kehidupan abang sebelum ini. Memang
sukar untuk percaya, tapi itu adalah kenyataannya. Tak apalah kalau Farah tak dapat maafkan abang, dan tidak mahu
lagi bertemu dengan abang. Tapi, sekurang-kurangnya,
Farah jawab panggilan telefon dari abang. Walaupun sekali, abang terlalu rindu untuk mendengar suaramu
sayang!
– yang sentiasa merindu- Abang’’
Farah
menarik nafas panjang kemudian dia menekan butang ‘delete’ dan membuang emel
itu ke dalam tong sampah. Dia melepaskan satu keluhan panjang.
Sudah
lebih dua bulan berlalu. Bererti sudah lebih 60 kali lelaki itu menghantar emel
untuknya. Setiap hari, kata-kata dalam emelnya berbeza tetapi membawa maksud
yang sama. Kalaulah dia cetak emel-emel itu, dia kumpulkan buat satu buku,
tentu jadi ‘bestseller’ dan dia sudah menjadi kaya raya sebab ayat-ayat cinta
dan kata-kata rayuan kasih lelaki itu memang A++. Lelaki-lelaki kasanova akan
beratur untuk membeli buku itu kerana kata-kata yang berbisa mampu mencairkan
hati para wanita. Iyalah tu....
Dia
tekad kini. Dia akan buang jauh-jauh nama lelaki berusia 33 tahun, mempunyai
seorang isteri dan empat setengah orang anak itu (sebab isterinya sedang sarat
mengandung ketika ini). Wajah tenang, berkumis tipis, bermata redup dan
sentiasa tersenyum dengan gigi tersusun cantik dan bersih menandakan dia tidak
merokok. Ayat-ayat mencurigakan dari lelaki itu selama ini sudah pun
dirungkaikan jawapannya sekarang.
“Abang
cuma akan telefon Farah waktu siang je tau. Lepas abang solat zohor. Ye lah,
nanti kalau kita asyik berhubung, abang tak boleh fokus dengan kerja. Asyik
ingat Farah ketawa je,” Farah menarik nafas seketika. Ye lah, kalau balik rumah mana boleh telefon, nanti isteri tahu, pecah
tembelang, naya!
“Abang
tak dapat datang jumpa Farah minggu depan. Kiranya dua minggu lagi baru abang
datang. Abang kena kursus.”Farah melunjurkan kakinya ke depan. Ye lah, kursus konon. Mana boleh datang
sebab waktu itu kan cuti sekolah, kenalah bersama-sama dengan anak-anak!
“Farah,
kenapa Farah tak jawab telefon abang?” Suara berbisik di hujung talian pada
satu malam apabila talian telefon rumah yang sekejap ada, sekejap tiada,
mengundang kemusykilan. Bila di tanya kenapa cakap macam dalam selimut je? Katanya
dia sakit tekak. Ye lah, kalau cakap
kuat-kuat nanti bini dengar, gaduh besar kan!
“Nanti
konvo lah, abang jumpa mak ayah Farah. Minggu depan abang sibuk sikit, rasanya
tak sempat nak jumpa,”jawapan yang diberikan bila Farah mengatakan dia akan ke
Kuala Lumpur bersama emak dan abahnya untuk menghadiri kenduri kahwin
sepupunya. Ye lah, orang dah menipu, mana
mahunya berjumpa mak ayah... cari nahas namanya tu!
Farah berdehem perlahan. Dia perlu
bangun. Lelaki seperti itu tidak layak untuk di tangisi. Lelaki seperti itu
tidak layak untuk diratapi perpisahannya. Lelaki seperti itu tidak layak untuk
di simpan di dalam hati! Perbualan dengan Afida, rakan sekuliah lebih dua bulan
lepas, merungkai segala dusta lelaki yang sudah dianggapnya ‘cinta sejati lelaki
melayu Islam terakhir abad milenium’ itu.
“Mana
kau tahu semua ni Pida?” Rohaida dan Fini berpaling kearah Farah yang bersuara
agak tinggi di tepi padang Minden, sebaik sahaja mereka selesai joging satu
pusingan di suatu petang di hari minggu.
“Pakcik
aku tu kiranya baru kerja dengan syarikat tu. Pekerja juniorlah. Dia tu, bos
pakcik aku lah!” Farah yang masih lagi termengah-mengah akibat berjoging tadi
terduduk di atas rumput yang baru lepas di mesin. Bau rumput yang segar
mendamaikan sesiapa sahaja, tapi bukan hati Farah yang penuh gelodak rasa ingin
tahu!
“Hari
tu aku terlihat gambar rakan-rakan satu pejabat dengan pakcik aku masa jamuan
raya tahun lepas kalau tak silap. Aku kan pernah jumpa dia dulu. Masa Fini tak
dapat temankan kau sebab dia kena jumpa lecturer tu kan? So, aku soal
selidiklah sikit,” Farah mengangguk perlahan dengan matanya masih memandang
Pida yang sudah pun duduk berhadapan dengannya. Fini dan Rohaida duduk
mengelilingi mereka.
“Nama,
jenis kereta yang dia pakai, tempat kerja, semua sama. Memang confirm orang
yang sama. Pastu aku tanyalah dia tu baik ke tak? Pakcik aku cakap...” Pida
menarik nafas seketika.
“Pakcik
kau cakap apa?” Dengan penuh ketidak sabaran, Farah memintas.
“Sabarlah
kau ni. Bagi aku bernafas dulu. Pakcik aku cakap, orang tua tu asyik bergayut
kat tempat kerja sekarang ni. Dah kena warning ngan big bos sebab masuk kerja
lambat lepas lunch. Dia kata, dok mengorat dengan budak U mana entah,” Farah
menelan liurnya yang terasa payah sekali untuk turun ke rongga esofagus.
“Pastu
dia tercakap yang...”
“Yang
apa?” Serentak Farah, Fini dan Rohaida bertanya membuatkan Afida berfikir
sejenak.
“Dia
tercakap yang... kesian budak tu, dah terkena dengan laki orang yang ada anak
satu kapal ramainya!” Hah! Farah rasa matanya berpusing-pusing ke atas dan ke
bawah, namun dia masih mampu membuat muka selamba.
“Dia
cakap lagi, bos dia tu, baik orangnya. Jenis yang alim jugaklah. Cuma, tak
pasti macamana boleh termengorat dengan budak U tu!” Farah menarik nafas dan
menghembusnya panjang.
“Bini
dia tunggu masa je nak bersalin sekarang ni. Sampai hati kan dia main kayu tiga
belakang bini dia, kan?”Fini dan Rohaida diam. Mengangguk pun tidak, apatah
lagi menjawab. Mereka memandang wajah Farah yang sudah pun bertukar ke warna kemerahan.
Mujur juga tak bertukar ke warna hijau macam cerita ‘Incredible Hulk’ tu, kalau
tak, heboh satu Malaysia nanti, muncul ‘Hulk’ versi perempuan! Gadis di hadapan
mereka itu sedang mengetap bibir, tanda geram.
“Tapi
Farah, pakcik aku cakap, bos dia tu baik. Mungkin dia...”
“Baik
apa ke nama nya kalau dah membohong macam tu?” Dengus Farah, memintas
percakapan Afida.
“Kau
tahu tak yang sekarang ni, aku yang jadi watak jahat?”Tiga wajah yang sedang
asyik memandang wajahnya mengangguk-angguk perlahan, mengiakan.
“Bodohnya
aku ni kan?”Mereka mengangguk lagi.
“Jahatnya
aku ni kan?” Mereka angguk lagi.
“Warghhhhhh.....”Farah
menjerit sekuat hati. Tiga orang temannya hanya mampu memandang sahaja dengan
wajah terkejut. Gadis itu menghantak-hentak kakinya ke rumput hingga tercabut pangkal
rumput-rumput yang baru di mesin itu. Yang lain hanya memandang tanpa berbuat
apa-apa. Terkejut barangkali, atau malu barangkali!
Beberapa
orang pelajar lelaki yang sedang berehat
selepas bermain bola sepak di hujung padang berlari-lari mendapatkan mereka.
“Kenapa
ni dik?”Fini senyum sambil menelan air liur, ke arah tiga jejaka yang sedang
menghampiri mereka. Janganlah Farah buat hal dengan budak-budak lelaki maco ni.
Malu wei kalau pelajar-pelajar lain tahu.
“Tak
ada apa-apa. Kawan saya ni tension
sikit, ala pasal assignment dia kena reject ngan lecturer!” Oooo... dan mereka
berlalu. Salah seorang dari jejaka itu sempat mengenyitkan matanya kearah Fini
yang masih tersengih-sengih.
“Farah,
control sikit! Its not the end of the world...”
“Sapa
kata end of the world nya? Sebelum
aku tembak jandur tu, the world its not ended yet!”
“Jandur?”Tiga
gadis di hadapan Farah menyebut perkataan itu serentak. Apa kebendanya ‘Jandur’
tu?
“Ye,
Jandur. Singkatan untuk ‘Jantan Durjana’!” Laa... Fini, Rohaida dan Afida
menepuk dahi mereka sendiri!
“Haa..chum!”
Farah berpaling. Suara itu mengembalikannya duduk berhadapan dengan komputer.
Pelajar lelaki yang duduk selang sebuah komputer darinya bersin hingga
gegendang telinganya bergetar hebat. Ish... habis virus di sebarkan. Balik
rumah nanti kena mandi ngan air panas nampaknya!
Dia
mula menaip di papan kekunci komputer. Hari ini dia nak berfoya-foya di alam
maya!
0 ulasan:
Post a Comment