daging tumbuk (gepok), sayur air petola dan cendawan, sotong masak sambal

Dah lama kan tak buh resepi lauk pauk. Mahapler, saya terlampaulah sibuknya... bukan sibuk apa, sibuk dan buat-buat sibuk! Hahaha... tak adalah... sibuk hal sekolah lah. Maklumlah kan, saya ngajar kat sekolah yang abru dibukak tahun ni jadi semuanya kena start dari 'zero' to hero lagi... maka kenalah makcik belajar dan buat apa yang patut! Letih tu memanglah letih sebab disamping keje sekolah, ada kerja komuniti lagi, keje kat rumah, keje sampingan, tapi sebenarnya keje-keje tu membuatkan saya rasa seronok dan kadang-kadang membuatkan saya lupa pada masalah2 dan kira okaylah... Tapi bila banyak sangat, jadi sedikit stresslah plak... adalah sikit2 penyakit lama datang.... sakit orang pompuanlah katakan, sakit bulanan saya yang dari kecik2 lagik, start dari akil baligh.... macam hari ni langsung tak boleh bangun. Lepas makan ubat pagi tadi, kena cucuk sejarum kat doktor, sempatlah menyiapkan keje untuk PIBG sekolah hari ni. Tapi lepas je hantar barnag2 untuk PIBG, balik terus pengsan. Malam, baru okay sikit, ni pun masih rasa sakit tapi kalau kita dok ikut je rasa sakit tu makin sakit, tu yang saya bukak laptop ni, cuba buat keje sikit.

Banyak cerita lah pulak kan... okay hari ni saya nak kongsi resepi dari Ma, daging tumbuk! Biasanya ma buat waktu raya Haji sebab banyak daging qurban sedekah dari jiran2 dan sedara mara... pastu nak seimbangkan dengan daging, ada sayur yang paling senang dalam dunia indah alam maya ni... sayur air petola dan cendawan... pastu nak bagi pedas2 sikit, kita buat sotong masak sambal....

JOM!


DAGING tumbuk
 
BAHAN-BAHAN:
½ kilo daging batang pinang
Satu jug kecil air
Serbuk lada sulah
Garam
15 ulas bawang merah
5 biji cili padi
5 biji cili merah/hijau
2 sudu besar ketumbar
 
CARA MEMBUATNYA:
1.     Potong daging lebih kurang seinci tebal dan dua inci panjang.
2.     Rebus daging dengan sedikit lada sulah dan garam sehingga betul-betul empuk.Toskan airnya
3.     Bila daging sudah suam, tumbuk sehingga menjadi nipis
4.     Mayang bawang kecil, cili padi dan cili merah
5.     Goreng daging yang sudah di tumbuk tadi, biar separa garing masukkan ketumbar, hirisan bawang, cili, dan goreng sehingga garing. Toskan minyak dan bolehlah dihidangkan panas.

Daging baru lepas direbus dan ditoskan airnya

tumbuk hingga nipis

Taraaa..... dah boleh ngap!

** Biasanya ma membuat daging tumbuk di musim hari raya korban kerana banyak daging yang diberikan oleh keluarga dan teman yang membuat korban. Daging yang telah ditumbuk dan digoreng sangat rapuh dan enak terutama bila panas kena pulak dengan nasi putih hangat. Fuhhhh....terangkat! Daging lebihan yang ditumbuk tahan beberapa bulan jika di simpan dalam bekas kedap udara dan di letakkan dalam peti sejuk dingin beku.

SAYUR AIR PETOLA DAN CENDAWAN 



BAHAN-BAHANNYA:
2 biji petola                                                  1 cawan cendawan tiram
2 biji cili merah                                            1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih                                    1 sudu udang kering
Sedikit udang yang dibuang kulitnya            Sedikit suun

CARA MEMBUATNYA:
1.     Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih yang telah di titik bersama udang kering.
2.     Masukkan udang dan 3 cawan air. Biarkan mendidih.
3.     Akhir sekali masukkan suun, petola, cendawan, bawang besar dan cili yang sudah di mayang. Perasakan dengan garam, serbuk perasa dan sedikit lada sulah.


  • Satu lagi sayur untuk berdiet. Sedap dan mengenyangkan, tak perlu makan nasi.



Sambal tumis sotong

BAHAN-BAHAN:
          300g sotong saiz kecil dan segar
          5 ulas bawang merah
         2 ulas bawang putih
          5 tangkai cili kering
          1 cm belacan dibakar
          Sedikit air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA:
1.     Basuh sotong dan buang hitamnya serta jangan dipotong.
2.     Panaskan minyak. Tumis bahan kisar ( bawang merah, putih, cili kering dan belacan) hingga garing dan pecah minyak. Jika terlalu kering tambahkan sedikit air.
3.     Masukkan sedikit air asam jawa, garam dan gula.
4.     Bila mendidih masukkan sotong. Masak dengan api yang paling kecil sehingga kuah pekat.
guna sotong kecil sebab dia lembut
**
Biasanya saya akan masakkan tumis sotong atau sambal sotong ini  apabila membuat nasi lemak. Untuk membuat sambal tumis ikan bilis, sotong kering, telur, udang mahu pun kerang, juga menggunakan kaedah ini. Setiap kali membuat sambal tumis, pastikan bahan kisar dimasak hingga pecah minyak bagi memastikan sambal tumis enak dan tahan lebih lama. Tolonglah guna cili kering kisar sebab kalau buh cili boh, rasa tak berapa cun... dia ada satu aroma yang kurang cun... pastu lak tak berapa nak tahan ngat. Yang ni dua minggu tahan lagi dalam peti ais... sungguh! Trylah...

RENDANG AYAM KAMPUNG KAK MUN

Abah bawa balik ayam kampung dua ekor. Fikir punya fikir, rasanya baik buat rendang. Masak lama sikit, empuklah daging tu kan? Okay, ini resepi rendang dari kakak iparku, Kak Mun tersayang. Sebelum kahwin memang saya tak pernah masak rendang. Bila kahwin, suami pulak suka makan rendang, mahu tak mahu kenalah belajar. Biasalah, keluarga saya kalau raya ma selalu buat kuzi atau nasi dagang, lagipun tak ada ornag yang makan rendang kan... Bagi kami, nasi himpit tu hanya dimakan dengan kuah kacang dan sate je! Tapi sejak sejak saya pandai buat rendang ni, semua orang makan pulak rendang ni. Especially abah, rendang daging, memang perghhh!

Pada awalnya memang sangkaan saya masak rendang ni payah! susah! remeh! sebeb tulah orang buat rendang ni masa raya je kan? Rupa-rupanya, senang je beb... pakai campak je, betoiiiii... tak caya jom...


RENDANG AYAM KAMPUNG KAK MUN

BAHAN-BAHAN:
          1 ekor ayam kampung (ayam atau daging pun boleh)
          15 biji bawang merah
          3 ulas bawang putih
          2 inci halia                                   
          2 inci lengkuas
          ½ inci kunyit                                
          10 tangkai cili kering
          6 batang serai
          5 ulas bawang putih
          2 keping kulit kayu manis
          ½ cawan minyak masak
          ½ kg santan kelapa pekat
          3 sudu besar kerisik
          2 sudu kecil asam jawa adabi
          5 helai daun limau purut/ daun kunyit diracik halus


CARA MEMBUATNYA:
1.     Panaskan minyak. Goreng kulit kayu manis sebentar untuk aromanya. Angkat dan ketepikan.
2.    Kisar halus bawang, serai, halia, kunyit, lengkuas dengan air.
3. Masukkan bahan kisar dan masak dengan api sederhana sampai pecah minyak.
4. Masukkan ayam kampung. Kacau sehingga air ayam meresap bersama bahan kisar.
 Masukkan santan, kerisik, asam jawa,garam dan gula. Masakkan hingga sedikit kering lalu masukkan daun limau purut dan daun kunyit yang diracik halus. Perasakan dengan garam dan gula. Jika mahu simpan lebih lama, masakkan hingga betul-betul kering.

Bahan-bahan kisar

Masak hingga pecah minyak

Masukkan ayam dan masak hingga air ayam meresap serta empuk sedikit

daun kunyit, daun limau purut dan kerisik

Campurkan semuanya dan masak hingga kering dan ayam empuk. Fuhhhh....

RENDANG DAGING LEMBU....



**
Cubalah, tak susah pun cuma waktu memasaknya agak panjang kerana ingin memastikan rendang kering. Biasanya saya sukakan yang agak-agak basah baru sedap bila dicicah pulut atau ketupat! Rendang ni resepi kakak ipar saya sebab sebelum kahwin saya tak pernah sekali pun memasak rendang tapi bila kali pertama memasak, abah puji!  Mengenai gorengan kulit kayu manis pada awalnya ialah bertujuan untuk mewangikan lagi rendang dan ianya akan tahan lebih lama walaupun tidak diletakkan dalam peti sejuk.
         

sup tomyam putih, pak choy with oyster sauce, telur goreng bibik!

Bukannya apa... sekali sekala cam dah boring je nak makan goreng2 lauk cam ikan, ayam, daging....
so ala-ala cam vegetarianlah pulak walhal campur macam-macam dalam masakan tuh.... kononnya diet sihatlah..
okay, mari kita tengok apa yang dimasak oleh saya....
1. Sup Tomyam Putih
2. Pak Choy With Oyster Sauce
3. Telur Goreng Bibik

Jom... kita pakai apron nak masuk ke dapur kita yang cun melecun itu!!!!!

SUP TOMYAM PUTIH


BAHAN-BAHANNYA:
1 cawan campuran isi ayam, udang, sotong dan bebola ikan
2 inci lengkuas dititik                                   5 batang serai dititik
Sebatang lobak merah                                   5 kelopak bunga kobis
1 biji lada capsicum/cili merah                      ½ tin cendawan butang
3 kelopak brokoli                                          3 biji tomato belah empat
5 helai daun limau purut                              3 biji limau nipis
3-5 biji cili padi diketuk                                5 ulas bawang putih dititik
1 biji bawang besar dibelah empat

CARA MEMBUATNYA:
1.     Panaskan 1 liter air. Bila mendidih, masukkan campuran isi ayam, udang, sotong dan bebola ikan.
2.     Masukkan lengkuas, serai, bawang putih dan bawang besar.
3.     Bila sudah empuk, masukkan semua sayuran. Perah jus limau nipis dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa. Hidangkan panas.

Macam-macam ada, serba mak neka!
**Tomyam putih panas, masam dan pedas, menyihatkan sesiapa yang demam dan selsema. Hirup sekali, nak hirup lagi. Cubalah, pasti semua memuji!

PAK CHOY WITH OYSTER SAUCE
(Sayur Pak Choy Sos Tiram)

BAHAN-BAHAN
2 tangkai sayur pak choy (sawi kecil)             5 ulas bawang putih
3 sudu besar sos tiram                                  1 sudu sos ikan
1 sudu besar kicap cair                                 sedikit minyak bijan*

CARA MEMBUATNYA:
1.     Celur sayur pak choy dalam air mendidih yang diletakkan sedikit minyak bijan
2.     Panaskan minyak. Goreng bawang putih yang telah di cincang halus dan masukkan sedikit air berserta semua sos.
3.     Susun sayur di atas pinggan leper dan curahkan sos ke atasnya.

**
Satu lagi resepi yang selalu saya masakkan untuk hidnagan pengantin. Ringkas tapi berkhasiat. Tidak perlu tambah garam kerana kita sudah menggunakan pelbagai jenis kicap. Minyak bijan boleh digantikan dengan minyak jagung, minyak zaitun ataupun minyak masak biasa. Minyak perlu diletakkan ke dalam rebusan air untuk mencelur agar sayur kelihatan cantik dan berkilat! 


Ada rasa masin manis gitu....
Telur goreng bibik

BAHAN-BAHAN
          3 biji telur
          ½ biji tomato
          1 ulas bawang putih
          ½ biji bawang besar

 
          ½ biji cili merah
          2 biji cili padi
          Sedikit daun kucai*
          Sedikit daun bawang*
          Secubit garam

CARA MEMBUATNYA:
1.     Pecahkan telur, masukkan semua bahan yang telah di racik halus dan sedikit garam. Pukul hingga sebati.
2.     Panaskan minyak. Guna api kecil , goreng hingga betul-betul masak.
3.     telur goreng ini boleh di makan dengan roti, nasi atau pon di makan begitu saja untuk sarapan bagi menggantikan  telur hancur.


Omelet Indon... rupanya buh bawang putih tu jadi makin best... trylah...



**
Saya menamakan telur goreng Bibik sempena orang gaji adik lelaki saya di Kuala Lumpur. Inilah yang selalu dimasaknya untuk anak saudara saya. Sedap juga, disamping khasiatnya yang lengkap. Menurut Bibik, di rumahnya di Sumatera, inilah sarapan yang selalu di hidangkan untuk suami, anak dan juga cucunya.

Hati Seorang NurAin!

Ni namanya cerpen ala-ala skima gituh.... cerpen ala-ala budak baiklah......
Sebenarnya saya buat cerpen ni sebab kawan suruh buat untuk masukkan dalam majalah sekolah. Jadinya, kenalah buat ayat-ayat sopan sebab student2 nak baca. Tapi bab 'hati' tu mestilah buh jugak, barulah ada feel! Cerpen ni ada dalam majalah sekolah SMK Dato' Jaafar Hassan tahun 2006 kot ke 2007, lupa dah....
Cerpen cikgu cikgilah katakan.... LAYAN!!!!


HATI SEORANG NUR AIN

            Aku melangkah selaju mungkin, tanpa menghiraukan ucapan salam pelajar-pelajar yang berselisih denganku. Ada air yang mula tumpah, semakin gugur mencurah-curah.... air yang ku tahan dari mengalir semasa di bilik Pengetua tadi. Setabah seorang  insan bernama Nur Ain, air yang sedari tadi bergenang, gugur jua.
            “Kenapa Ain?” Tanpa memandang kearah yang empunya suara, pintu tandas ku tutup pantas dan segala  yang terbuku di dada, ku keluarkan semuanya... tanpa tertinggal walau sedikit!
            Aku hormati dia sebagai ketua institusi, aku sanjungi dia dan aku jadikan dia idola dalam hidupku! Bukankah dia yang selalu mengambil  berat tentangku, yang memujiku semasa mensyuarat guru minggu lepas? Cikgu yang rajin, berdedikasi, seorang contoh guru muda yang berkorban tenaga untuk pelajar-pelajarnya, berkorban masa luang, berpotensi untuk pergi lebih jauh... tapi mengapa? Hanya kerana khabar angin yang tidak tahu hujung pangkalnya, aku diperlakukan seperti pesalah? Aku di katakan sebegitu rupa? Adakah kerana status diriku? Dan khabar angin itu...... Cikgu Aidil Azri......
           
“Kenapa cikgu Ain?”             
“Tayar pancit pulak!” Aidil Azri menghampiriku. Dipandang sekeliling, tiada pelajar atau kakitangan sekolah yang kelihatan. Jam dijeling sekilas, 7.10 minit petang. Dahinya yang berpeluh diseka dengan lengan baju. Hatiku mula tak tenteram. Waktu senja, berdua dengan cikgu Aidil Azri yang menjadi kegilaan pelajar kerana wajah tampannya... Ahhh... aku juga yang silap, menaip soalan peperiksaan hingga tak sedar hari dah lewat! Ku pandang bersahaja jejaka 31 tahun yang agak resah. Berseluar pendek dan baju T yang nampak basah, berpeluh kerana bermain bola sepak, ‘seksi’ juga... fikiran nakalku membuat tafsiran..... tapi, apa yang dia buat di depan makmal komputer? Padang sekolah, selang tiga blok dari sini?
            “ Saya ambil CD chemistry ni, nampak cikgu Ain sorang-sorang, musykil juga!” Aku angguk bersahaja, terlupa pula yang Aidil Azri cikgu kelab komputer, kunci makmal komputer  dia ada pegang satu set.
            “Tayar spare ada?” Aku mengelengkan kepala.
            “Kelmarin saya basuh kereta luar dan dalam, habis semua saya buang, dengan tayar spare sekali, tak apalah nanti saya call Mira,” Aidil Azri mengeluh perlahan... dan matanya memandang kearah mentari yang memerah di ufuk barat.
            “Saya hantar, gelap dah ni... bahaya. Kereta, saya park kat tepi padang, jom!”Dia melangkah mendahuluiku. Kalau aku telefon Mira, mau setengah jam baru sampai..... langkah Aidil Azri mula ku turuti, menuju kearah ‘Vitara’ biru gelap yang kelihatan samar-samar di senja yang semakin tiba ke penghujung.

Itu cerita hampir setahun yang lalu, ketika  aku baru bertugas di daerah ini, dan hari-hari yang ku lalui, hanya sapaan ringkas dan senyuman yang menghiasi diari pertemuan kami secara kebetulan, itu pun kerana kami sama-sama menjadi ‘penjaga’ kepada makmal komputer! Kenapa baru sekarang kisah itu di bentangkan kembali? Salahkah aku menerima pertolongan ikhlas itu?
            “Ain.. Ain... buka pintu ni,” Aku mengesat air mata dengan tisu yang sentiasa ku sediakan di dalam beg tanganku. Pintu tandas ku buka.
            Wajah Kak Mariati, Kak Hajar, Wan Su, Mira, Rozi dan Safariza muncul dihadapanku.
            “Kenapa Ain?”           
“Puan Zadariah marah engkau ke?”   
“Pasal hal apa?”         
“Ain, kongsilah dengan kami...” Bertubi-tubi pertanyaan hinggap ke gegendang telingaku. Aku cuma mengeleng.....             
“Ain...”           
“Tak ada apa-apa...” Dan wajah-wajah itu mengeluh tidak puas hati.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         

            Aku bukan sengaja tidak mahu bercakap dengannya, mahu pun tidak membalas senyumannya, apatah lagi untuk membenci dirinya yang telah ku senangi dalam diam, tapi... antara aku dan dia seolah-olah ada jurang yang dalam, apatah lagi dengan gosip dan pandangan warga sekolah terhadapku, walaupun aku tidak tahu siapa yang membawa mulut tentang kami!          
“Ok kelas, minggu depan hari Isnin, sebelum pukul 2, saya nak semua folio Kerja Projek Matematik Tambahan, ada di atas meja saya, faham?” Aku memandang wajah pelajarku seorang demi seorang. Wajah resah, gundah, risau, senyum sinis, semuanya bercampur baur.
            “Kalau tak siap cikgu?” Wajah Sufri Amirul yang  sering tidak menyiapkan kerja sekolah dan kerap menerima hukuman denda berdiri atas kerusi, jalan itik dan membuat kerja sekolah di luar kelas itu, ku pandang tajam. Dia menundukkan wajah, mungkin kesal atas keterlanjurannya tadi.
            “Jawapannya, minggu depan, bilik Pengetua akan jadi kelas awak!” Aku melangkah keluar tanpa mendengar ucapan terima kasih dari pelajar-pelajar. Hatiku tiba-tiba panas. Aku beristigfar seketika, maafkan cikgu anak-anakku.....
            “Cikgu Ain!”              
“Ya Allah!” Buku-buku latihan  yang berselerak dihadapan tangga cepat-cepat ku ambil tanpa memandang wajah orang yang memanggilku, kerana suara itu sudah terlalu aku kenali!
            “Tak payah susah-susah tolong saya,” tangan yang baru saja mencapai sebuah buku latihan pelajarku dengan niat menolong, terhenti tiba-tiba. Dia bangun, berpeluk tubuh dan memerhatiku. Sungguh aku tidak suka dengan situasi ini!
            “Cikgu Ain, can we talk?” Dua tiga orang pelajar yang melintasi kami, tersenyum-senyum penuh makna.
            “Tak boleh!” Cepat-cepat aku melangkah meninggalkannya tapi bisikan kecil itu masih dapat aku dengari.
            “Pukul 5.30, Restoran Cempaka, saya tunggu!” Ya Allah, dia masih tak faham-faham lagi ke? Jiwaku memberontak walaupun jauh disudut hati ada rasa yang ingin bertapak!
 ************************************************************************

            “Minta perhatian semua!” Semua wajah yang ada di dalam bilik guru memandang kearahku. Tabahlah hati.....
            “Assalamualaikum! Banyak cerita yang saya dengar tentang diri saya yang saya sendiri tidak pernah dengar dan tidak tahu pun sebenarnya. Jadi kalau boleh, jumpalah sendiri dengan saya, tanyalah saya dulu sebelum bercerita tentang saya kepada orang lain. Tolong hormati saya sebagai insan!” Air yang bergenang ku tahan dari jatuh namun ianya gugur jua. Terlalu berat beban ini, Ya Allah!
            “Terima kasih!” Suasana riuh bertukar sunyi. Terlalu sunyi! Aku mengambil buku-buku di atas meja, menggalas beg tangan dan melangkah laju, tanpa menghiraukan panggilan rakan-rakan yang bersimpati! Ya Allah, tabahkan hati insan yang kecil ini!
            “ Cikgu Ain,” Cepat-cepat ku seka air yang masih bersisa dipinggir mata sebelum memandang kearah pelajar yang memanggilku.
            “Pengetua nak jumpa cikgu, sekarang!” Ada debar yang bertapak. Ada degup yang semakin berombak. Apa lagi kali ini?
            “Cikgu Ain, sila duduk!” Aku hanya mengangguk! Wajah dihadapanku tidak seserius yang aku jangkakan.
            “Ada apa cikgu?” Puan Zadariah memandangku dan kemudian senyum kecil, lalu menghulurkan sekeping surat yang separuh berlipat.
            “Cikgu Ain, ditangkap berkhalwat!” Ya Allah! Siapa yang tulis ni? Siapa yang menjaja cerita yang langsung tiada kebenarannya? Ya Allah...........
            “Cikgu Ain...... cikgu ok ke?” Pandanganku mula berpinar...... wajah Puan Zadariah berbalam-balam....... kelam..........hitam!
************************************************************************
            Kelopak mataku terasa amat berat tapi suara yang sayup-sayup menyapa telingaku, membuatkan aku terus mencuba mengangkat kelopak mataku yang seperti ditindih-tindih itu.
            “Ain, berehat dulu...” Puan Zadariah? Kak Salmi, kerani pejabat sekolah? Mira? Kak Hajar? Aku memandang sekeliling............ bilik pengetua? Apa yang terjadi? Kepalaku berdenyut, ada plaster yang melekap di dahiku.
            “Ain pengsan tadi, jatuh terkena kerusi, ada luka sikit kat dahi,” Mira merungkaikan pertanyaan di minda, satu persatu lembaran tadi meresap ke benakku. Surat itu?
            “ Ain ok ke?” Aku mengangguk lalu bangun dari sofa, menyarungkan tudung dan memandang tepat kewajah dihadapanku seolah menunggu hukuman yang akan dijatuhkan.
            “ Saya rasa baik kita selesaikan semua ini secepat mungkin sebelum ada hal lain yang akan timbul lagi,” Semua mata yang ada memandang tepat ke wajah Puan Zadariah.
            “Ini surat layang, saya rampas dari  beberapa orang pelajar. Surat ini sudah di fotostat dan diedarkan oleh seseorang, yang sengaja ingin menjatuhkan cikgu Ain dan cikgu Aidil Azri,” Dadaku terasa berombak hebat...... menghempas ke lantai jantungku, memulas-mulas ke tangkai hatiku...........
            “ Surat ini fitnah! Kita dah dapat tangkap makhluk tu, semua ini kerana cemburu!” Bila Puan Zadariah menyebut ‘makhluk’, itu tandanya dia sangat marah!
            “Jangan bimbang Ain, saya dah siasat semua ni, awak dan Azri tak bersalah! Awak boleh balik berehat,”            
“Tapi cikgu, siapa?”               
“Saya akan umumkan nanti, dalam perhimpunan!” Aku menggangguk walaupun tidak puas hati! Dan hari itu aku pulang awal........... tidur! Dan aku bermimpi......... indah......... ada wajah seseorang yang amat aku sayangi, amat aku rindui.......... walaupun realitinya ia sudah lama hilang.......
************************************************************************
            “Cikgu Ain, saya minta maaf kerana sebelum ni, saya salah sangka terhadap cikgu,” Puan Zadariah menghulurkan tangannya, lalu ku sambut tanpa dendam yang berbekas, selepas mendengar pengakuan dari pelajar, yang cemburukan hubungan baikku dengan Aidil Azri. Suhana, pelajar tingkatan 6 atas, mengaku membuat surat layang serta menyebarkan fitnah terhadap kami, sudah pun mengisi borang pertukaran sekolah. Semuanya gara-gara kemaruk cinta dengan guru! Cinta yang tak berbalas!
            “Saya minta maaf kerana mengungkit status Ain. Setahun yang lepas, selama lebih 10 tahun, status itu jugalah yang saya pegang, sebelum saya diketemukan dengan ayah Azri!” What? Wajah Aidil Azri disebelah, ku pandang sekilas. Aidil Azri, anak tiri Puan Zadariah? Wajah itu menggangguk seolah faham dengan apa yang bermain di mindaku!
            “ Terlanjur kita bertiga di sini, boleh tak saya bertanya?” Kenapa dengan Puan Zadariah ni? Pelik betul bunyi ayat yang disusun!
            “Tanya apa cikgu?” Puan Zadariah senyum, Aidil Azri juga senyum tapi....... ada kelainan dalam senyuman itu.....
            “Boleh tak keluarga Azri bertandang ke rumah keluarga Ain hujung minggu ni?”
            “Rumah keluarga saya kat Kelantan cikgu, nak buat apa?” Sesuatu mula terlintas.................... Azri? Aku? Wajah Azri ku pandang sekilas, namun kali ini mata itu tajam merenungku. Puan Zadariah hanya senyum.
            “Untuk merapatkan hubungan keluarga kita, dan kita,” Puan Zadariah tergelak kecil atas keberanian ucapan Aidil Azri....... aku pasti pipiku merah, wajahku merah...... dan hatiku juga merah......... seperti ada anak panah yang baru melekap di situ......... dan untuk pertama kali selepas tiga tahun, aku mula merasai kembali apa yang aku rasa semasa bersama arwah suamiku, yang hanya sempat mencium dahiku di hari pernikahan kami..........Abang..... Ain rindu......................

kerabu kaki ayam, kerabu sotong & kerabu udang atau ketiga-tiganya sekali!

3 dalam 1!
Saya ni peminat nombor satu kerabu! Betul... tak kiralah kerabu stail kelantan yang bubuh santan tu ke, kerabu stail utara yang buh kerisik ngan sambal belacan tu ke, atau kerabu stail siam yang buh serai ngan daun limau purut tu, yang namanya kerabu.... bedal jer la... ehehhe

Okay, kali ni kita buat kerabu stail siam. Kalau sesiapa yang sedang dalam proses mendietkan dirinya diriku dirimu tu, memang kerabu ni melepasi target piawaian campur pulak dengan rasanya yang masam-masam tu, fuhhhh.....

Okay, 3 dalam 1 tu membawa maksud, dalam satu cara kita boleh buat 3 jenis kerabu. Itu yang pertama,. Yang keduanya, kita boleh campurkan ketiga-tiga 'lauk' ni dalam satu kerabu, yang ketiganya kita.... entahlah, tak ada dah kot yang ketiga... ehehhe

Okay, 3 hari lepas saya buat kerabu kaki ayam. So, kat sini saya akan tunjukkan satu persatulah cara2nya. Tapi, gambar resepi kerabu udang, sotong dan ikan bilis pon ada... don't worry! So... so apa? So Fa Mi Re Do... ehehhe so kita tengok cara-caranya.... dari mana lak ada kerabu ikan bilis tu? Sama jer, resepi yang sama....


BAHAN-BAHAN

2 batang serai
1 biji cili merah
3 biji cili padi
5 biji bawang merah kecil    
1 biji timun batang muda, dibuang tengahnya  *            
1 biji tomato
1 batang lobak merah kecil*
3 helai daun limau purut
secekak daun ketumbar
2 biji limau nipis
Garam dan gula
2 sudu sos ikan (nampla)

CARA MEMBUATNYA:
1.     Basuh kaki ayam sebersihnya. Rebus hingga empuk/ masak dengan sedikit garam. Toskan
2. Mayang serai, bawang, cili. Timun, tomato, daun ketumbar dan lobak merah di potong kecil. Daun limau purut dibuang tulangnya dan di racik kasar.
3. Campurakn semua bahan. Perasakan dengan garam, gula, sos ikan dan perahan limau nipis. Hidang segera
bahan-bahannya: kaki ayam, cili, bawnag merah, serai, tomato, daun ketumbar,daun limau purut

kaki ayam direbus hingga empuk dengan sedikit garam
Setelah digaul sebati dengan sos ikan dan perahan limau nipis.

kerabu sotong beb. 

kerabu ikan bilis. Goreng garing ikan bilis dan gaul rata. Makan segera bagi elak ikan bilis lemau

kerabu kaki ayam versi ada timun


**
Kerabu sotong @ udang, simpan sikit stok air rebusan dan gaul bersama. Kerabu ikan bilis, goreng ikan bilis sehingga garing dan crunchy, gaul sebati dengan semua bahan. Kena makan terus sebab aklau simpan lama ikan bilis dah tak crunchy dah.....