SATU KEBETULAN

Suratan Atau Kebetulan 

Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan
Atau hanya satu kebetulan

Kita asyik membicarakan
Persoalan hidup dan pilihan
Sedang kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

( korus 1)
Walau kita dihadapkan
Dengan berbagai pilihan
Mengapa sering terjadi
Pilihan tak menepati

( korus 2 )
Hingga amat menakutkan
Menghadapi masa depan
Seolah telah terhapus
Sebuah kehidupan yang kudus

Pertemuan sekali ini
Bagi diriku amat bererti
Tetapi ku bimbang untuk menyatakan
Bimbangkan berulang kesilapan

Lagu Kenny Remy Martin is one of my favourite song. Cerpen ni ter'inspire' dari lagu ni lah... lepas tu pulak masa buat cerita ni baru lepas tengok cerekarama. Masa tu rasanya pelakon dia Zizan Nin ngan Zul Huzaimy kot... saya suka jugak tengok lakonan dia orang. Pas tu saya teringat sorang kawan yang ala-ala kalut gitu masa sekolah dulu, pastu masa dah mula jadi cikgu jumpa pula ngan kawan2 yang vogue gitu. Yang kena pakai tudung, baju, beg tangan, kasut semuanya sedondon! Tang makmal komputer tu pulak sebab masa tu memang saya dok kat makmal je ngajar ICT kat Sungai Petani, ramai yang suruh print sijil masa tu. Biasalah, setiap cerita yang di ceritakan mesti ada peristiwa yang berlaku di sebaliknya, betul tak?

boleh tahan...

Jom kita baca cerpen ni. Sekadar untuk enjoy, seronok-seronok, apa salahnya kan? 

SATU KEBETULAN.......

Tiga bulan yang lalu...

            “Mung tahu dok, aku sakit ati gilo kat jate tu?” Wirda hanya mengangguk. Wajah Damia dihadapannya merah padam. Dia mengetap-ngetap bibir tanda terlalu geram.
            “Pas tu kau nak aku buat apa?” Damia bangun, mundar mandir dihadapan meja bilik guru makmal komputer.
            “Kito gi KL minggu depe, nok?”Wirda diam dan mindanya ligat berfikir.
            “Sempat ke? Cuti dua hari je....”
            “La... mung ni lah... kalu cuti sari pong aku sanggop... mung teme aku deh? Tulonglah... sekali ni jah.... aku nok gi genyeh jate tok guno tu....”
            “Ok, aku temankan kau je, tapi aku tak mau terlibat...” Damia angguk lantas mencapai telefon bimbit di dalam beg tangan warna merah hati. Wirda hanya memandang sahaja sahabat karibnya yang putih melepak dan pandai bergaya itu. Tak hairanlah kalau di sekolah tempat mereka mengajar, Damia dikenali sebagai mak datin muda!
            “Doh... semuo bereh... kito tido rumoh adik aku kat Bangi. Don’t worry about transport and cost, I will settle it, are you okay my dear?” Ucap Damia penuh bersemangat. Cikgu Bahasa Inggeris berasal dari Kelantan itu senyum sampai ke pipi.
            “Aku gi dulu deh, ado kelah,” Lenggok Damia yang berkebaya merah hati dari kain sari dan bertudung corak abstrak yang di pinkan di belakang kepala, di pandangnya hingga hilang dari pandangan. Dia melepaskan keluhan kecil.
            Apa salahnya sesekali dia menolong Damia? Sesiapa yang tidak mengenali Damia pasti menganggap dia sombong. Malahan pelajar memanggilnya dengan gelaran ‘Harimau Malaya versi pompuan’. Memang cara dan lagak dia begitu, apa boleh buat, yang pasti Wirda kenal hati budinya. Walaupun mulutnya memang tak pernah diinsuranskan, namun hatinya, Wirda tahu, sangat mulia!
            “Ida, buat mail merge jap kat aku, nak print sijil ni...”Dia mendongak. Baihaqi dihadapan hanya tersengih-sengih kecil.
            “Kau ni kalau tak menyusah kat aku satu hari, boleh tak?”
            “Aku nak manja ngan sapa lagi...”
            “Yerla.... yela... bak sini,” Baihaqi menghulurkan pen drive dan satu plastik berisi kertas sijil.
            “Ida.... kenenkan kat aku si Damia, leh?”
            “Hish..... nak mampos.... silap-silap putus persahabatan ngan aku. Kau bukan tak kenal Damia, garang!”Wirda bersuara selamba namun matanya melirik kearah Baihaqi yang mencuka. Dia mula ketawa di dalam hati.
            “Ye lah... aku tahu sapa aku ni.... Mia tu cantik, anak orang kaya....”
            “Tahu tak apa.....”Damia tu milik orang dah.....Wajah mencuka Baihaqi membuatkan suasana di dalam bilik guru makmal komputer sepi.  Yang kedengaran hanya bunyi mesin pencetak.
************************************************************************
            “Mana?”
            “Tu......” Muncung Damia panjang kearah  dua orang lelaki yang sedang membelakangkan kami.
            “Sure ke ni?”
            “La... aku sure hundred percent!”
            “Kawan-kawan dia kot... bukan dia sorang...”
            “Aku peduli apo?”
            “Abih, kau nak buat pe?”
            “Aku nok belasoh bagi dio tinggal besar lidi. Mung napok dok betino gatal tepi dio tuh? Muko mace ‘Angelina Jolie’ konon.... bibir besar sajo... hitam legam.... aku ni tok lawa ko? Tok solid ko?” Damia memuncungkan bibir kearah dirinya sendiri sambil jari tangannya juga menuding kearah dirinya sendiri. Wirda hanya mengangguk-ngangguk mengiakan.
            “Wait....  Astagfirullahal azim....” Damia mengurut-ngurut dadanya perlahan lalu berjalan mengambil tempat selang dua kerusi dari kumpulan sasarannya, berhadapan tasik.
            “Ida... munglah saing aku dunio akhirat.... jom serang....” Mereka bangun dan berjalan pantas penuh gelora kearah sasaran yang sedang duduk bertiga di atas rumput sambil menikmati pizza.
            “ Assalamualaikum!” Tiga wajah memandang kearah mereka. Wirda tersentak! Dia rasa pernah lihat dua orang lelaki dihadapannya. Wajahnya yang kehairanan itu dilirikkan kearah Damia namun sahabat merangkap rakan serumahnya itu tidak membalas dengan sebarang reaksi pun.
            “Damia? Apa Mia buat kat sini?” Sedikit gugup, lelaki berkacamata hitam dengan rambut yang terpacak dan berkumis tipis menegur Damia.
            “Buat bodoh je....” Nada suara geram jelas kedengaran.
            “Buk” Satu tumbukan padu hinggap di hujung bibir lelaki itu. Semua yang memandang sepi tak terkata. Rakan lelaki itu cuba menahan namun Wirda pantas memberikan terjahan karate dari tangan kanannya tepat ke pipi kiri. Kedua orang lelaki itu jatuh terduduk.
            “Zarul..... nak main-main ngan orang lain, boleh.... but with me.... no way! Putus tunang! Stop!”
            “Mia..... ini adik abang, yang pernah abang ceritakan dulu... yang lari dari rumah lima tahun lepas tu.... tak caya tengok IC dia!” Damia diam. Wirda juga diam terpaku disitu. Tanpa berlengah, Damia menarik tangan Wirda dan mereka berlalu pantas. Wajah mereka merah padam! Seketika, Wirda teringat di mana dia pernah melihat kedua lelaki itu. Di slot cerekarama tv3!

Dua bulan yang lalu.....

            Wirda berjalan perlahan-lahan mencari buku rujukan di sebalik rak. Dia mengambil tangga tiga tingkat dan memanjatnya berhati-hati. Tangannya mengambil sebuah buku dari rak paling atas, membeleknya seketika kemudian meletaknya kembali. Dia turun dari tangga, membawa tangga ke rak sebelah dan mula memanjatnya kembali.
Matanya melilau ke sana ke mari. Dia mengeleng-ngelengkan kepala. Susahnya nak mencari buku rujukan untuk tesis Master nya!
            Dia memandang sekeliling. Ruang di tingkat dua perpustakaan awam agak lengang. Pukul 3 petang, bukan hari minggu, pasti saja lengang. Biasanya pelajar-pelajar sekolah yang selalu mengunjungi perpustakaan awam. Kalau hari minggu pasti saja sesak.
            Wirda memanjat lagi tangga tiga tingkat untuk cubaan terakhir. Selepas ini kalau dia masih tidak menemui buku yang dihajati, dia akan balik. Tidur!
            “Yes!” Jari tangan kanan digenggam dan tangan kiri memegang buku. Badannya tidak seimbang lalu dia tergelincir dari tangga. Ada tangan menggapai bahunya dan mereka jatuh terduduk dengan kaki Wirda masih lagi terlekat di anak tangga pertama.
            “Aduh!” Ada tangan yang mengangkat kakinya dari anak tangga dan membantunya berdiri. Mujurlah dia pakai seluar panjang, kalau pakai baju kurung atau skirt, mampus... malu satu dunia... dibuatnya ada orang ambil gambar masuk youtube, pasti dia dah letak jawatan sebagai guru!
            “Terima kasih Encik!” Wirda tak sanggup memandang lelaki dihadapannya, dia malu sangat! Tu lah.... teruja sangat jumpa buku, pastu cuai!
            “Cik ok ke?” Wirda melangut sambil mengangguk perlahan dua tiga kali. Matanya tertancap kearah pipi kiri lelaki itu yang lebam kebiruan. Matanya merayap ke arah mata, hidung dan mulut. Dia ni?
            “Kita pernah jumpa kan?” Alamak! Macam mana nak buat ni? Mana nak letak muka ni?    
            “Sori.... hari tu saya tak sempat nak minta maaf... sebab saya karate awak!” Wajah itu sedikit berkerut kemudian tergelak kecil.
            “Awaklah yang bersama dengan Mia..... tak pe, sikit je, tapi awak terrorlah!” Wirda berpaling dan berlalu pantas.
            “Tunggu dulu!” Wirda memperlahankan langkahnya yang terhenjut-henjut, bila mendengar bunyi ‘syy’ dari pustakawan di kaunter. Dia menoleh kearah lelaki itu yang sudah pun dikerumuni beberapa orang gadis, meminta autograf! Dia nampak kepala lelaki itu yang tertoleh-toleh kearahnya. Dia ni lah yang gadis-gadis mimpi siang dan malam, termasuk dirinya!
           
            “Aku keno kursus komputer duo minggu kat Langkawi,”
            “So?” Damia memandang Wirda yang sedang khusyuk menaip rancangan pengajaran harian di laptop nya.
            “Masalohnya, aku nok gi jupo tune aku kat KL, nok gi beli bare hantaran kawen kami....”
            “Pastu kau nak suruh aku ganti tempat kau?”
            “Kalu mung nok...tulonglah aku kali ni...”
            “Nak... nak... tapi gantikan tempat kau, pegi KL, beli barang hantaran ngan tunang kau!”
            “Wei... mana boleh!” Mereka gelak kecil.
            “Ida, please don’t tell anybody about my fiance... please.... I’m afraid if  press will find me.... we want a privacy,
            “Yelah... yelah... aku pun tak mau karate orang lagi dah....” Mereka ketawa lagi. Damia bangun dari katil dan berlalu ke biliknya apabila telefon bimbitnya berdering. Lenggok gadis berkulit putih gebu berseluar pendek paras lutut itu hanya dipandang bersahaja. Macam manalah Minah Kelate ni buleh mengorat antara pelakon paling top kat Malaysia ni?
            Wirda bangun dari berteleku di hadapan laptop. Menutup suis di dinding dan membuka pintu bilik. Dia berjalan capek-capek kearah halaman rumah teres yang di sewa berdua dengan Damia. Kakinya yang terseliuh masih terasa bisa tatkala membuat pergerakan yang agak lasak. Dah dua kali mengurut dengan Bidan Limah, emak kepada pelajarnya pun masih lagi terasa bisanya.
Niat dihatinya ingin menggembur tanah beberapa buah pasu bunga di halaman. Pertama sekali dia perlu menyiram pokok dahulu lalu diambilnya getah paip dan memulas kepala paip. Kenapa air tak keluar? Dia mencapai hujung getah paip dan cuba menguis tanah yang melekat. Ketika itulah kedengaran bunyi hon kereta. Dia terkejut dan tertarik getah paip. Tak semena, air yang tidak keluar tadi menyimbah laju kearah wajah dan membasahi sehingga ke baju t shirt yang dipakainya.
            “Tumpang tanya.... rumah Cik.....” Wirda memandang wajah yang muncul di sebalik pintu pagar. Dia lagi? Ya Allah, mana nak letak muka ni? Wirda menutup paip air dan berjalan pantas masuk ke dalam rumah dengan baju dan wajah yang basah lencun. Dia berselisih dengan Damia di muka pintu.
            “Bakpo ni Ida?” Wirda berlalu ke bilik air tanpa membalas pertanyaan.
            “Rizan, tadi baru Zarul tepon bagitau kau ada shooting kat sini, kau dah muncul......”
            “Kenapa dengan kawan kau tu?”
            “Oo.. Wirda... terkejut kot.... !”

Sebulan yang lalu…

            Wirda berjalan pantas. Jam di pergelangan tangan di toleh beberapa kali.
            “Mampus!” Sesekali dia berlari-lari anak.
            “Masa ni lah kereta  nak rosak pun!” Arghh...
            Dia menahan teksi namun sia-sia kerana sudah ada penghuni lain.
            “Bai... kau kat mana, kau kena tolong aku... hello... isk!” telefon bimbit di pandang sepi. Skrin masih gelap walaupun di tekan beberapa punat. Bateri kong!
            Dia menoleh kearah jam di tangan sekali lagi. Dia melepaskan keluhan berat lalu duduk di batas simen pokok bunga di tepi jalan raya. Dia meraup wajahnya.
            Beg tangan di buka. Dia mengeluh lagi. Keluhan yang lebih berat dari tadi.
            “Apalah... malang nasibku. Nasib baik teksi tak berhenti tadi.... kalau tak.. entah-entah kena kawen ngan drebar teksi sebab takleh bayar tambang...”
            Dia memikirkan sesuatu namun masih buntu!
            Sebuah Toyota Altis warna perak berhenti betl-betul di hadapannya. Dia hanya memandang sahaja tanpa reaksi.
            Cermin tingkap terbuka perlahan-lahan.
            “Cik Wirda?” Ya Allah! Dia ni lagi? Wirda bingkas, menutup sebelah wajahnya dengan beg tangan dan berjalan pantas. Beberapa titis air membasahi tudungnya, kemudian ia terus membasahi wajahnya, bahunya........ hujan mulai lebat.
            “Cik Wirda nak kemana, saya hantarkan, hujan lebat ni,” Wirda memandang kearah kereta yang sudah pun menghampirinya.
            “Basah habis dah ni cik Wirda, jom!” Tanpa berfikir panjang lagi, Wirda masuk ke dalam kereta yang pintunya sudah sedia terbuka!           
************************************************************************
Hari ini........

            Wirda  diam. Wajah ibunya di pandang. Wajah-wajah dihadapannya di pandang satu per satu lalu dia tunduk kembali.
            “Ibu belah lelaki bolehlah sarung cincin sekarang,” Wirda senyum lalu menghulurkan tangannya. Dia tidak pasti dia ikhlas atau tidak tapi dia menurut sahaja. Baik bagi ibu dan ayahnya, baiklah bagi dia.
            Kedua belah pipinya dicium oleh bakal ibu mertuanya. Dia menyalami dan mencium tangan bakal ibu mertuanya diikuti dengan bakal kakak iparnya, kemudian mencium dan memeluk ibunya.
            Minggu lepas dia mendapat berita yang dia dirisik dan kemudian ibu memintanya balik untuk melangsungkan pertunangan. Sebagai anak yang patuh dia mengikut sahaja walaupun dia pasti dia tidak ikhlas sepenuhnya.
            “Kita bergambar lah.... ajak anak teruna naik....”
            “La... masa bertunang, bukan ke anak teruna tak boleh datang?”
            “Ish, zaman sekarang tak pa... jangan menyalahi hukum syarak dahlah...” Terdengar gelak-gelak  kecil tetamu yang hadir. Dia bangun diikuti oleh bakal ibu mertua dan ibunya sendiri
            Jantung Wirda berdegup kencang. Inilah kali pertama dia akan memandang bakal suaminya. Dia berdoa di dalam hati tanpa disedari.
            “Assalamualaikum!” Wirda mendongak.
            “Ya Allah.... my hero... Rizan?” Dia teringatkan cerekarama yang ditontonnya minggu lepas. Lelaki dihadapannya inilah yang melafazkan cinta kepada si gadis di pinggir sungai, dan pada malamnya dia mimpikan lelaki itu di dalam tidurnya! Lelaki yang sering ditemui tanpa dirancang, dan sering ditemui dalam keadaan yang tidak berapa best!
 Matanya terasa berpinar dan Wirda rebah di atas karpet biru muda yang baru di beli ibunya di pekan semalam. Mata Wirda sempat melihat cemas di wajah bakal suaminya dan suara-suara kelam kabut.......
            Semuanya kebetulan atau sudah ditakdirkan?
            “Eeee... seronoknya...... Damia aku tak sabar nak cerita kat kau!” Senyum mereka bersatu tatkala Wirda  membuka kelopak  matanya.

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails