Cerpen "Mengenangmu"

Salam!
Actuallynya dah banyak kali saya share cerpen ni tapi saja je nak buat koleksi kat sini. Dalam penulisan 2u pun ada dan banyak saya dapat komen2 membina dna komen2 yang membuatkan ornag menitis air mata. Sebenarnya saya buat cerpen ni dari kisah benar diri saya sendiri dan setakat ni 99% benar. Ada tokok tambah dalam 1% tu saja je bagi flow cerita tu ok!

Jom baca dan hayati dan nangis kalau nak nangis! Tak apa, tak ada orang nampaklah...


MENGENANGMU..........

            Terpandangkan lautan, gamitan memori mula mencuit-cuit. Indahnya tatkala sepasang kaki ini dan dia melangkah menuju ke dalam feri dari ruang menunggu di jeti Kuala Perlis. Orang yang berpusu-pusu mendorong untuk kami turut berhimpit-himpit.
            Ku paut lengannya yang baru seminggu menjadi suamiku, lalu memandang kearah wajahnya yang sedang tersenyum kepadaku.
            “Ingat tak first time kita naik feri?” Aku cuma mengangguk. Walaupun destinasi dan tujuan berbeza namun disitulah kali pertama kami bersua setelah beberapa bulan berchatting di internet.
            “Sapa kata bercinta kat internet sia-sia, kan?” Dia mengangguk lalu mengenggam erat jemariku. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan kebahagiaan ini buat kami.
            Cuma satu malam kami di Langkawi. Keesokan paginya, tatkala jam menunjukkan ke angka 4.30 pagi, kami sudahpun selesai membersihkan diri. Sudahlah semalam tidur di hadapan masjid, mandi pula di stesen minyak Mobil.
            “Dugaan sayang!”      
“Ye lah tu….” Muncungku sudah mula panjang sedepa. Dia memeluk erat bahuku, memujuk. Bermula pukul dua petang sehingga sepuluh malam, kami mengelilingi Langkawi dengan motosikal yang kami sewa. Dari semurah-murah rumah tumpangan hinggalah semahal-mahal hotel, semuanya sudah penuh.
            “Kan saya dah kata, cuti sekolah…..”lalu kami pulang ke Kuala Perlis dengan feri pertama pagi itu!
            “Kita honeymoon kat Lumutlah, dulukan abang kerja kat situ,” Hanya anggukan sahaja yang mampu ku beri. Demi memujuk hatiku, dalam keletihan kerana tidak dapat tidur semalaman, dia tetap memandu ke daerah Lumut. Kesian suamiku!
           
Aku menggenggam pasir yang memutih lalu membuka genggaman perlahan-lahan, dan pasir-pasir halus mula gugur melalui celahan jemariku. Kini aku datang lagi ke sini bang…..
            “Mama…….”Shufi berlarian kearahku, bersama plastik dan isinya, kulit-kulit siput.
            “Banyaknya, Cupi kutip kat mana?”
            “Tu….. ada banyak lagi mama, kat sana, kat Tok Bah ngan Tok Ma,”Aku senyum lagi lalu memandang sahaja anak tunggalku berlarian kearah datuk dan neneknya.
            Ku susuri lagi gigian pantai yang memutih.
            “Bang…. bangunlah bang..... tengok double line ni….”
            “Double line apanya?” Dia menggosok-gosok mata dan menggeliat malas.
            “Sayang oi…. pagi-pagi buta ni…”   
“Tengoklah ni bang…..” Aku menghulurkan bekas plastik segi empat tepat berwarna putih sebesar jari telunjuk. Pantas dia mengambil alat plastik itu dari tanganku. Kelihatan dua jalur berwarna merah menegak yang timbul selepas aku menitikkan beberapa titis urinku pagi itu. Senyum lebar mula merajai wajahnya, namun dia masih terpaku di situ. Matanya hanya memandang sahaja aku yang sudah mula melompat-lompat kegirangan.
            Di tempat kerja, aku mula menyebarkan berita gembira. Ingin ku kongsikan dengan seluruh dunia..... biar semua tahu..... kami bakal menjadi mama dan abah!
            “Bang, nak makan mee gorenglah....” Aku memicit perlahan bahu suami yang baru pulang dari kerja.
            “Nanti lepas sembahyang maghrib kita keluar beli....”
            “Nak makan mee goreng kedai Midah!” What? Pantas dia berpaling kearahku dan mengedipkan matanya beberapa kali lalu menelan air liur.
            “Kat Sungai Petani tu?” Aku mengangguk. Entahlah, mulut ni rasa teringin sangat nak makan mee goreng kedai tu yang agak basah-basah sikit. Letak pulak cabai jeruk potong dengan kicap, kecur air liurku.
              “Tapi esokkan kita kerja.... dari Kangar ke Sungai Petani, dua jam lebih gak tu....”Aku mula menarik muka.... abang ni.... takkan tu pun nak berkira...... mataku mula bergenang.....
            “Okaylah sayang.... lepas mandi, solat, kita pergi...”Bibirku mula menguntumkan senyuman dan malam itu kami ke Sungai Petani mencari mee goreng kedai Midah.... mengidam..... baby ni lah nak makan!
            “Bang.... doakan saya ye....”Tanganku digenggam erat dan ubun-ubunku dicium penuh kasih lalu matanya mengekoriku masuk ke ruang bersalin hospital Tuanku Fauziah. Ayah dan emak berserta nenek saudaraku hanya memandang sahaja aku di tolak masuk ke labour room. Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya aku tatkala itu namun bibir dan hatiku tak henti-henti berzikir dan berdoa.
            “Ya Allah, permudahkanlah kelahiran sulungku ini.....”
           
Aku menarik nafas seketika lalu duduk di atas tunggul kayu mati yang dihanyutkan air. Ku lontarkan pandangan kearah pulau-pulau yang berselerakan di tengah lautan. Indahnya ciptaanmu Tuhan..... Beberapa pelancong asing berlarian dihadapanku menuju ke laut. Ada seorang anak kecil berlarian di gigi pantai, di kejar seorang lelaki dewasa lingkungan 30-an. Mataku tak lepas dari memandang lelaki itu yang mengangkat anak kecil lalu menghayunkan ke kiri dan ke kanan. Suara ketawa anak kecil itu jelas kedengaran di telingaku dan ianya menerbitkan rasa di hatiku.
           
“Abah.... jatuh anak tu.....”    
“Taklah....” Shufi yang berusia tiga tahun dibiarkan sahaja berjalan di gigi pantai....
            “Abah.....”      
“Ish mama ni..... abah tahulah.....”Pantas tangannya mengangkat Shufi dan mengeletek perlahan anak kecil itu yang semakin bulat dan comel.
            “Mama.... bes... jomla....” Aku hanya melambai-lambai sahaja kearah Shufi yang sedang memanggilku.
            “Ma... jom kita naik bot!”      
“Tak mahulah....”       
“Jomlah.... kita ke Tanjung Dawai, beli ikan masin lepastu kita balik ke sinilah.... seringgit je tambang.....”
            “Tak mahulah.... saya takut...” Dia ketawa kecil. Dah tahu aku takut naik bot-bot kecil macam tu, di suruhnya juga.
            “Kalau abah teringin sangat sangat, pergilah ngan Cupi, saya tunggu sini,”
            “Ish.... tak mahulah, nanti orang culik bini abang pulak....”
            “Siapalah nak culik dah tua-tua ni....”           
“Apa.... ulang sekali lagi.... dah tua?”Ish.... aku menampar perlahan bahunya. Ketawanya yang kuat membuatkan Shufi turut ketawa sama dan ia juga meng war warkan ria di hatiku.
           
“Arghhhhh...... kenangan......” Aku mengeluh lagi entah untuk kali yang ke berapa..... Langit yang tadinya cerah mula dilitupi awan dan titis-titis kecil mula terasa di wajahku.
            “Mama... mama.... hujan ni..... tok ma dan tok bah suruh panggil....”Shufi menarik tanganku dan pantas aku bangun, menutup kepalanya dengan separuh tudungku dan berlari-lari anak ke Charlie chalet di Pantai Cenang.
            “Cupi ikut tokma tau, nanti tokma bagi mandi,”       
“Mama nak buat apa kat sini?”                      
“Saja nak amik angin....”        
“Angin mana boleh ambik, kan kita tak nampak!” Kami ketawa kecil lalu Shufi membontoti neneknya ke chalet yang kami sewa.
            “Tokbah belikan ayam goreng tau!!!!”Kedengaran suara Shufi menjerit kearah ayahku yang sudah pun menghidupkan enjin kereta untuk membeli makanan tengahari.   Aku hanya senyum kecil dengan telatahnya lalu melunjurkan kaki di atas pangkin berbumbung yang disediakan oleh pihak pengurusan chalet berhadapan dengan laut, dan membelakangi chalet yang kami sewa. Pelancong-pelancong asing masih lagi mandi laut tanpa menghiraukan gerimis yang hadir. Cuti tiga hari yang diberikan kerajaan membuatkan kawasan Pantai Cenang dipenuhi orang ramai.
Aku masih tak berganjak. Ku sandarkan badan ke tiang pangkin dan memandang laut lepas. Ya Allah....... agungnya kuasamu.....
           
“Ma.... bangun ma.....”Mata, ku buka perlahan. Wajah suamiku yang berkerut-kerut membuatkan aku segera bangun dari katil. Ku perhatikan Shufi yang tidur disebelahku sekilas, lalu berjalan membuntuti suamiku ke ruang tamu rumah teres lot tepi empat bilik yang baru kami duduki tidak sampai sebulan.
            “Penatlah ma, tak boleh nafas.... urutkan....” Pantas aku mengambil minyak gamat panas lalu menggosok-gosok perlahan ke dada dan belakangnya. Seketika dia tersandar di sofa. Dengus nafasnya membuatkan aku gelisah.
            “Kita ke kecemasan abah, buh oksigen,”dia mengelengkan kepala.
            “Cupi tidur ma... kesian dia...”                      
“Tak apa, saya kejutkan, nanti bagi dia tidur dalam kereta,” dia mengelengkan kepala sekali lagi.
            “Dah ok dah....” Aku mengeluh lagi. Begitulah setiap kali aku mengesyorkan ke hospital. Asma yang dihidapi suamiku semakin teruk, lagipun menurut doktor, bukan asma biasa, tapi asma yang disebabkan dari jantung!
            “Ma, abah muntah darah.........” Ya Allah..... terlepas buku kedatangan murid dari tanganku lalu aku terduduk di kerusi di pejabat sekolah.
            “Kenapa ni?”Aku memandang kak Zizan, Penolong kanan HEM tempatku mengajar.
            “Kak... suami saya telefon, dia muntah darah,”        
“La... pas tu hang tunggu apa lagi... pi balik.... isi borang kuning, nanti kak Zan sain...”Aku mengangguk dan bergegas menurut arahannya. Tanpa menghiraukan panggilan pelajar-pelajar yang terserempak denganku, langkah ku atur laju ke kereta dan Kenari biru bergerak menuju ke Bandar Utama, Sungai Petani.
            “Abah....” Suamiku muncul dengan senyuman yang seolah dipaksa-paksa di balik pintu.
            “Macamana bang?” Aku tidak mampu menutup keresahan yang menyoroti wajahku. Sudahlah sepanjang 15 minit perjalanan balik tadi, air mataku tak henti-henti tumpah!
“Ok je.... cuma abang tak faham, kenapa perlu berdarah?”Lalu dia mengheret tanganku dan kami duduk di sofa.
“Abah tak payah kerjalah, rehat, nanti mama telefon Bang Yen, dia boleh ‘handle’, ok?” Suamiku hanya mengangguk perlahan.
            “Sakit tak bah?”Dia mengeleng, tapi aku pasti ianya hanya sekadar menyedapkan hatiku. Seketika suamiku batuk lagi, keras sangat bunyinya dan kali ini dia muntahkan darah lagi.
            “Abah makan ubat tak lagi pagi ni?”Dia mengelengkan kepala.
            “Ha... tulah.... ubat tak mau makan, pas tu batuk, penat, sakit dada....”
            “Yang....”Dia memeluk bahuku erat kemudian menolak daguku ke atas agar dia dapat memandang wajahku.
            “Ma... sayang jugak awak kat saya ya!”        
“Suami saya, kan... mestilah sayang....”Dia mencium dahiku perlahan. Aku tersentak. Kenapa romantik sangat hari ni? Bukan hari jadi aku pun.... nak kata ulang tahun perkahwinan pun bukan....           
“Ma...dengar sini sayang. Pandang saya.... “ Aku melangut kearah wajahnya yang agak serius.
“Awak ingatlah ma, walau apa pun terjadi, awaklah yang terbaik yang pernah terjadi dalam hidup saya, selepas mak saya.....” Entah mengapa, ada air yang mula bergenang di birai mata ku..... sebak yang tiba-tiba muncul mula menular ke urat nadiku......
            “Laaa.... tu yang abah malas nak romantik-romantik ni.... dah... malulah nangis tua-tua ni.... nasib baik anak kat tadika lagi....” dia menyapu air yang mula gugur ke pipiku dan pantas bangun, berpaling dan berlalu namun aku pasti ada air yang turut bergenang di matanya.
           
Nada dering lagu ‘Lonely’ bergetar dalam poket seluarku. Terbang segala memoir dibenakku.
            “Kak Ah, jangan lupa beli kain pario pastu periuk vision....”Suara adik bongsuku sedikit sebanyak menghilangkan duka di hati. Air mata yang turut bergenang tadi, ku seka pantas.  
            “Bagitau ma, lah.... telefon ma... dia ada ngan Cupi tadi,”
            “Ok... kak Ah ok tak?”          
“Ok je....” telefon di matikan. Pandangan, ku lontarkan lagi ke laut lepas. Seolah satu ketenangan meresap apabila lautan itu ku pandang. Ianya beralun penuh irama, kadang-kadang perlahan, kadang-kadang laju dan agak ganas..... ianya melambangkan hatiku saat ini.....
            Aku berjalan beberapa langkah ke arah pantai dan berhenti lalu berpeluk tubuh.
            Entahlah..... setiap kali kaki ini melangkah.... setiap kali mata ini memandang.... setiap kali bibir ini tersenyum...... setiap kali itulah denyut jantungku memanggil-manggil namanya.....
           
“Abah.... makan tau.... gula dalam badan abah rendah sangat,”Wajah pucat itu hanya mengangguk dan mulutnya menerima suapan moi dari tanganku.
            “ Doktor kata lepas ni abah masuk CCU, abah akan ok nanti, percayalah saya....” Walau aku cuba menahan air yang bergenang namun ia gugur jua. Sehebat mana pun kesabaran dan ketabahan yang ada pada diriku tak mampu jua ku selindungkan sepenuhnya dari dia. Aku nampak wajahnya yang memandang sayu ke wajahku. Aku tahu dia begitu menghargai segala usahaku selama ini. Aku tahu dia begitu sayangkan aku sebagaimana aku menyayanginya...
            “Abah rehat dulu, ingat Allah banyak-banyak,”dia hanya mampu mengangguk dan memejamkan matanya. Ya Tuhan..... janganlah kau ambil dia dariku..... aku masih belum puas menikmati kasih sayangnya.....
            Surah Yaasin ku capai dan aku mengalunkan ayat-ayat suci itu buat kesekian kalinya untuk dia. Jemariku menggenggam erat jemarinya dan genggaman itu di balas kejap. Aku tahu dia juga tidak mahu berpisah...
            “Abah..... kita kat CCU sekarang, abah dengar tak?” Hanya mata yang terbuka itu saja membalas kataku. Tangannya ku genggam seolah aku tak akan lepaskannya lagi namun di CCU, peraturannya tidak boleh menunggu pesakit.
            “Abah..... mama balik rumah dulu, sembahyang maghrib... lepas tu mama datang balik jaga abah ya....” Mata itu berbicara tanpa kata. Keluarga ku memenuhi ruang legar di luar bilik CCU. Tatkala aku dan anakku bersendirian seketika dengannya, ada genangan air di matanya yang tidak mampu ku tafsirkan. Ku genggamkan jemari anakku ke jemarinya.
            “Cium tangan abah sayang, cium pipi abah,”Shufi hanya menurut dan aku dapat lihat sayu di matanya, walaupun anak kesayangan kami itu tidak mengatakan apa-apa pada ketika itu. Shufi memandang abahnya kemudian memandangku... aku nampak matanya berkaca. Apakah anak sekecil itu sudah mampu mengerti?
            ‘Ciumlah abahmu ini sayang... selepas ini mungkin kau tak akan menemuinya lagi,’ mungkin itulah yang dirasai suamiku tatkala titis-titis kecil membasahi birai matanya.  
            “Mama balik kejap ya bah?” Matanya di pejamkan dan di buka semula seolah memberikan kebenaran kepadaku. Ya Allah.... hanya kau saja yang tahu betapa beratnya hatiku untuk meninggalkannya walhal sebelum ini aku tidak pernah meninggalkannya sendirian. Kau peliharalah dia Ya Allah...... hanya Engkau yang maha mengetahui segala yang tersurat dan tersirat.....
            Tatkala salam pertama ku lafazkan selepas sembahyang maghrib, telefonku berbunyi, dan debar di dada.... ku rasakan seperti mahu pecah.
            “Puan, suami puan tenat, tolong cepat ya....” Aku, ayah dan anakku bergegas ke hospital yang cuma sepuluh minit perjalanan. Emak berjanji untuk menyusul kemudian.
            “Ya Allah... ya Allah....”
            “Puan, tunggu dalam bilik dulu.... nanti doktor datang,” Ya Allah.... ya Allah.......
            “Puan,” Seorang doktor lelaki berkopiah putih, lingkungan umurku duduk di sofa bilik menunggu berhadapan denganku.
            “Puan tahukan, jantung suami puan cuma 15 peratus saja yang berfungsi...  tadi selepas maghrib, dia tenat.... kami dah cuba buat apa yang patut.....”dia menarik nafas seketika.
            “Allah sayangkan dia puan..... saya sempat ajarkan dia mengucap tadi....” Aku cuma terpaku di situ, tiada tindak balas.
            “Puan faham tak ni.... suami puan dah tak ada, pukul 8.45 malam tadi....”Aku masih lagi diam, tidak bersuara.
            “Puan..... puan... faham tak ni....”Seketika, aku beristigfar, dan... air yang ku tahan itu gugur lagi..... lagi........
            “Ya Allah.... engkau telah pinjamkan tujuh tahun seorang lelaki bergelar suami kepadaku, dan engkau telah mengambilnya kembali hari ini.... aku redha ya Allah.... redha....” Wajah yang pucat dan kaku berusia 37 tahun itu ku cium penuh kasih untuk yang terakhir kali.....
           
“Mama!”Shufi berlarian kearahku. Emak dan ayahku mengekori dari belakang.
            “Jomlah makan... tok bah kata kita pergi makan kat kedailah, bagi mama bawak kereta, tok bah tak tahu sangat  jalan kat sini,”            
“Ye lah, mama tukar baju sekejap,” Aku berjalan ke arah chalet dan membiarkan emak dan ayahku mendengar celoteh cucu sulungnya yang sudah pun mengjangkau usia sembilan tahun.
            Aku menoleh kearah laut seketika. Ombaknya menghempas pantai tanpa henti.... tanpa jemu...... Ya Allah.... engkau tabahkanlah hatiku dalam meniti usia perjalanan hidupku walau tanpa dia......
            Al Fatihah untuk suamiku..... Mohd Shuib bin Man!

‘takkan pernah habis air mataku, bila ku ingat tentang dirimu,
            mungkin hanya kau yang tahu, mengapa sampai saat ini,
ku masih sendiri, adakah di sana,
kau rindu padaku, meski kita kini ada,
di dunia berbeza.... bila masih mungkin,
waktu berputar,  akan ku tunggu dirimu,
biarlah ku simpan, sampai nanti aku,
kan ada di sana, tenanglah dirimu,
dalam kedamaian, ingatlah cintaku,
kau tak terlihat lagi,
namun cintamu abadi......”                  --Mengenangmu-- ‘Kerispatih’
           
Kisah benar ini ku titip khas buat arwah suamiku.....
Bersemadilah sayang..... Tuhan lebih menyayangimu! 

2 ulasan:

p.c said...

harus ku akui aku menangis di dpn notebook satu malaysia nie huhuhuhu sheiedih

mamacupie / Fatihah Pauzihal said...

sekali sekala membersihkan mata

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails