"MAN IN BLACK Vs DONA KARAN PENANG"
BAB 4
“Mana
Farah?” Bali mengjongketkan bahu menandakan dia tidak tahu.
“Tadi
dia kata nak balik dah,” Kak Jah duduk di atas kerusi bulat di ruang dapur,
memerhatikan sahaja Bali mencicah biskut kering ke dalam mug yang berisi milo
panas.
“Nape
kak?” Kak Jah diam. Dia tidak menjawab soalan yang diutarakan Bali namun
mindanya sedang memikirkan sesuatu.
“Camana
exam results dia? Okay?” Bali
mengangguk-angguk perlahan.
“Okaylah
pada kita orang ni. Dia kan ada otak ala-ala genius, walaupun dia tak pernah
buat ulangkaji seteruk kita orang.” Naper ni? Ish, ada masalah ke ngan budak
tu. Bali terfikirkan sesuatu. Kena buang Universiti ke budak Farah ni? Dia
bertumbuk ke? Atau dia ada ciplak assignment
mana-mana student, lepas tu kantoi
kena tangkap, ke? Tapi rasanya, kasar-kasar dia pun, tak adalah sampai nak buat
semua benda tu. Ke, kena tangkap khalwat? Dengan jantan mana pulak? Ish, merapu
dah aku ni.... Dia teringatkan kenalannya sama satu kursus yang di tangkap
khalwat dengan teman lelakinya juga dari kursus yang sama di kafetaria Indah,
semester lepas. Kenalannya tu, dari luaran nampak baik sangat, lemah lembut dan
ayu. Sentiasa memakai baju kurung dan memakai cekak rambut warna senada baju.
Semua orang respect couple tu, sebab,
tak pernah di lihat berdua-duaan walaupun satu kuliah. Semua orang tahu mereka
tu ‘couple’ pun sebab terdengar ura-ura mereka nak bertunang. Apa lagi, satu
semester di gantung pengajian! Itu tak di kira betapa malunya mereka sebab
semua orang tahu bagaimana keadaan mereka semasa di tangkap!
Astagfirullahalazim, minta simpanglah....
“Tak...
mmm tak apalah. Kak Jah nak mandi dulu. Kalau Farah balik cakap akak nak cakap
ngan dia sikit ya,” Bali mengangguk lagi. Sekeping lagi biskut diambil lalu di
cecah ke dalam milo susu yang masih berasap. Sekeping demi sekeping hinggakan
dia mula sendawa, barulah dia berhenti menyuap. Tak tahulah dekat mana dia
sumbat semua makanan-makanan yang masuk ke dalam perutnya. Tubuh dia kecil saja,
berat badan pun tak sampai 45 kg, tapi, dia asyik makan saja... tak kira
masa... Itu yang membuatkan kawan-kawan serumah yang lain cemburu dengannya.
Walhal, kalau nak dikatakan dia bersukan, baiklah si Zurin yang hantu tidur tu,
adalah juga nak berjoging sekali seminggu. Dia... huh, berjalan kaki dari
tempat meletak motosikal ke dewan kuliah, dan berjalan kaki dari tempat meletak
motosikal ke lif apartmen mereka. Itu sajalah senaman yang dia buat!
“Woi,”
Bali mendongak. Apalah main sergah-sergah. Bagilah salam.
Farah
duduk di kerusi yang di tinggalkan kak Jah beberapa minit yang lalu. Tanpa
bertanya dia mengambil mug di hadapan Bali dan meneguknya perlahan.
“Fuh,
kau buat milo campur nestum ke?”
“Tak,
itu serdak dari biskut yang aku cecah tadi,” Oooo... Farah kembali meneguknya hingga habis. Sedap
juga, walaupun berserdak!
“Kau
dari mana ni?” Farah membuka tudung warna hitam kegemarannya dan mengemaskan
ikatan rambutnya yang sudah hampir terlerai.
“Dari
tasik,” Tasik? Mimpi apa Farah pergi tasik di belakang Desasiswa Harapan tu?
“Buat
apa?”
“Dating sambil bagi tung tung makan!”
Selamba saja dia menjawab, kemudian dia bangun dan berjalan menuju ke arah
biliknya. Dating? Dengan siapa?
Takkan dengan Jandur kot!
Bali
bangun, mengambil mug yang ditinggalkan kosong oleh Farah tadi, kemudian menuju
ke sinki.
“Bali!”
Hampir terlepas mug dari tangannya bila satu tangan memegang bahunya secara
tiba-tiba.
“Apa?
Kau ni kalau tak bagi aku terkejut monkey
macam ni tak boleh?” Farah ketawa besar. Aik? Farah ketawa? Rasanya dah
enam bulan Farah tak ketawa besar macam ni lepas peristiwa dia di tipu oleh
Jandur. Sejak semester baru ni, lain macam ceria si Farah. Mungkin cuti yang
panjang di kampung dapat menenangkan jiwanya.
“Monkey terkejut macam kau ni ke?” Bali
mencebikkan bibirnya lalu menyangkut mug yang baru di basuhnya ke rak pinggan
mangkuk.
“Tadi
aku jumpa dengan ‘Gajah Gila’!” Gajah gila?
“Kat
mana? Terlepas dari zoo ke?”Dengan wajah terkejut yang dibuat-buat Bali
membuntangkan matanya.
“Kat
tasik lah beb! Memang betullah macam gajah, tapi tak adalah gila, crazy sikit-sikit je,” Apa yang
dimerepekkan oleh Farah ni?
“Kau
cakap apa ni?” Farah ketawa lagi, kemudian dia berjalan pantas menuju ke
biliknya dengan tawa yang masih bersisa. Bali mengelengkan kepala perlahan
tanda dia tidak faham dengan perangai sahabat baiknya itu. Kemudian, dia
menepuk dahinya sendiri.
Dia lupa nak memberitahu Farah yang kak Jah nak jumpa
dia!
***********************************************************************
Farah
melangkah laju menuju ke apartmen yang dihuninya bersama rakan-rakan
seuniversiti.
“Tak
singgah ke hari ni?” Farah mendongak. Dia senyum dalam paksa.
“Tak,
dah beli bungkus nasi kat kafe tadi,” Dia mengangkat sedikit plastik yang
berisi nasi bungkus yang dibelinya di kafetaria desasiswa Cahaya tadi kearah
tiga orang pemuda yang dikenali sebagai abang-abang ‘Cha’, sedang mengangkat
kerusi dan meja. Sedang bersiap sedia untuk membuka gerai roti canai di hadapan
apartmen Desa Universiti. Fini yang mula-mula menggelarkan mereka dengan nama
abang ‘Cha’. Maksudnya, abang jual roti canai. Ringkas dari perkataan ‘Canai’.
Arghhh... Fini, pandai sungguh dia kalau bab gelar menggelar nih!
“Tu,
untuk petang. Malam nanti, datang lain, no!” Farah mengangguk sekadar mengambil
hati dan dia meneruskan perjalanannya.
Dia
menyeka peluh di dahi. Hari ni dia terpaksa menapak sejauh lebih 3 kilometer
naik turun bukit. Macamana motosikalnya
boleh rosak, dia pun tak tahu. Start
tak nak hidup. Sakit habis betis keringnya menyentak pedal tadi. Mujur ada
Shamir yang gila-gila bahasa tu. Boleh juga menolong hantarkan ke kedai. Ada
gunanya juga ada saudara mara kat sini. Kalau dia tak mahu menolong tadi,
siaplah dia menadah telinga, bila Farah
ceritakan pada kakak iparnya nanti.
“Assalamualaikum!”
Farah berpaling. Seorang lelaki dengan topi keledar masih menutup muka
menyapanya sebelum sempat dia melangkah masuk ke dalam pintu pagar Desa
Universiti.
“Waalaikumussalam!”
“Dik,
student USM ke?” Farah diam. Dia
berkira-kira seketika. Kalau dia mengatakan ya, tentulah mamat ni nak minta
tolong panggilkan makwenya kat Desa Universiti ni. Comfirm dah ni!
“Tak,
saya kerja kilang!” Lelaki yang hanya kelihatan separuh dari wajahnya iaitu
mata dan bahagian atas hidung itu hanya mengangguk perlahan.
“Saya
tak kenal mana-mana budak USM kat sini. Maaf ye,” Sebelum sempat lelaki itu
berkata lanjut, Farah sudah memintasnya, kemudian dia berjalan pantas masuk ke
kawasan apartmen. Lelaki yang masih berada di atas motosikal besar itu hanya
termangu-mangu di situ.
**************************************************************************
“Kau
dari mana ni Fini? Jumpa Ah Chong ke?” Bali yang sedang mengunyah kacang dengan
tangannya ligat menulis sesuatu di atas kertas kajang, menjeling sekilas kearah
Fini yang baru saja menutup pintu bilik.
“Tak,
Ah Chong tak datang minggu ni. Dia kena out
station.” Bali mengangguk-angguk perlahan namun tangannya sama ligat dengan
mulutnya, bekerja!
Ah
Chong! Itu nama panggilan rakan serumah kepada tunang Fini. Jangan salah faham.
Ah Chong tu bukannya bangsa Cina. Muka pun tak ada iras-iras Cina. Apatah lagi
tinggal di negeri Cina. Ataupun jirannya berbangsa Cina. Ataupun dia suka makan
masakan Cina! Namanya menjadi Ah Chong sebab, dia berasal dari Puchong,
Selangor! Masa Fini mula-mula berkenalan dengan Ah Chong melalui laman sembang
MIRC tu, selama tiga bulan mereka saling tak mengetahui nama masing-masing.
Yang Fini tahu, budak tu asal dari Puchong. Itu yang dia panggil Ah Chong.
Sampai sekarang pun rakan serumah Fini tak tahu nama sebenar sebab asyik
panggil Ah Chong saja! Allah temukan jodoh mereka di alam siber, maka sebaik
saja mereka bertemu muka sebanyak dua kali, terus Ah Chong menghantar rombongan
meminang. Risau jika Fini terlepas ke tangan orang lain. Tak tahulah macamana
Ah Chong tu boleh jatuh hati dengan Fini yang suka buat perkara yang tak pernah
terfikir untuk di buat. Contohnya seperti memberi gelaran pada orang-orang tertentu.
Atau pun suka menegur orang-orang tertentu tanpa sebab. Atau pun juga suka
mencari pasal dengan orang-orang tertentu tanpa sebab! Tapi... ada beberapa perangai dia yang payah sikit nak jumpa pada
zaman ni. Dia suka tolong kawan. Dia juga berterus terang. Sangat terbuka
orangnya!
“Habis
tu kau jumpa siapa tadi?” Fini merebahkan badannya ke lantai marmar yang
dingin.
“Pak
Su aku. Dia kata berapa kali dia round
kawasan rumah kita nak cari orang tolong panggilkan aku. Tapi semua orang buat
tak endah saja. Ada sorang Minah tu, siap tipu kata dia kerja kilang, bukannya student. Mana ada orang kerja kilang kat
apartmen kita ni kan?” Bali mengangguk lagi.
“Naper
dia tak telefon?”Fini mencebikkan bibirnya ke arah Bali yang semakin khusyuk
mengunyah kacang.
“La,
kan telefon rumah kita rosak!”
“Handphone kaulah. Kan Ah Chong bagi handphone kat kau ari tu?”
“Dah
rosak. Jatuh kat tangga belakang Desa Fajar tu. Kan tangga tu curam. Aku pulak
kalut nak pergi makmal kat PP Sains Maths (Pusat pengajian Sains Matematik) tu,
ada disscussion pasal project work final year. Walaupun doktor
Ahmad Majid tu baik, tapi aku segan kalau asyik lambat je. Kau bukan tak tahu
kalau dia bagi senyuman ajaibnya tu. Dia tak bagitahu pun aku faham... dia
senyum perli!”terang Fini panjang lebar.
“Tapi,
kau jangan gatal-gatal mulut bagitahu Ah Chong. Aku dah tipu tahap A+, kata aku
tertinggal kat kampung handphone tu,”
Bali angkat tangan kanan, seolah mengangkat sumpah untuk tidak membocorkan
rahsia. Bali kembali menulis sesuatu di
kertas. Sesekali dia menekan kalkulator di sisinya.
“Kau
buat apa tu?” Fini yang rasa terganggu bila melihat Bali sedang khusyuk, mula
bangun dan merapati sahabatnya.
“Tutorial
aljabar linear II, ni. Yang Doktor Koh bagi tiga empat hari lepas. Peninglah
kepala aku. Jawapan tak sama langsung. Iras-iras pun tak dak.”
“Susah
apa, kau jikplak je yang Farah punya. Aku rasa dia dah siap. Semalam aku nampak
dia letak kat atas PC dia kat depan,”Selamba saja Fini menjawab. Sebenarnya,
dia pun sudah siap menyalin a.k.a meniru penyelesaian tutorial yang diberi oleh
Dr Koh itu, pagi tadi. Aljabar linear II, adalah subjek wajib untuk pelajar
yang mengambil jurusan Sains Matematik, Matematik Gunaan, Sains Pendidikan Matematik dan apa sajalah jurusan
yang ada nama ‘Matematik’!
Mereka
mengambil aliran yang sama, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Matematik.
Yang berbeza hanya kursus major dan minor. Bali dan Fini dalam Statistik manakala
Farah dan Zurin dalam Pemodelan Matematik dan Pemodelan Komputer. Itu nama baru
bagi kursus major mereka. Kalau dulu, ianya dikenali sebagai Reka bentuk grafik
berkomputer (RGBK) yang banyak menggunakan pendekatan matematik dan grafik
komputer. Kursus minor pula mereka boleh memilih dari kursus-kursus major yang
lain dalam bidang yang berkaitan dengan kursus major. Contohnya, Fini dan Bali
mengambil ‘Pengurusan’ sebagai kursus minor, memandangkan mereka mungkin akan
memulakan kerjaya di kilang-kilang. Zurin pula mengambil kursus minor dalam
‘komunikasi massa’. Kononnya dia bercita-cita untuk bekerja dengan TV3! Farah
pula mengambil ‘Sains Komputer’ sebagai kursus minor kerana baginya Grafik
tentu sekali berkaitan langsung dengan penggunaan komputer!
“Tak
mahulah. Aku dah berjanji dengan diri aku sendiri. Final sem ni, aku nak buat semua soalan tutorial sendiri,” Fini
gelak kecil. Ye lah tu... paling lama, pagi esok sebelum mula kelas tutorial,
pasti Bali akan kelam kabut menyalin jawapan dari dia! Confirm!
“Eh,
jap! Tadi kau kata, pak su kau datang. Pehal? Sapa budak pompuan kerja kilang
yang dia cakap tu? Pak su kau dah kawen ke belum? Handsome tak?” Fini malas nak melayan soalan bertubi-tubi dari Bali
lalu dia berpaling dan berjalan menuju ke tandas bilik utama yang dihuni
mereka. Belum sempat dia membuka pintu tandas, ianya sudah terbuka sendiri.
“Kau
tiru tutorial aku? Dah lama buat kerja macam ni?” Hah! Wajah Farah tersembul di
balik pintu. Masam mencuka. Fini tersengih panjang, kemudian dia teringatkan
sesuatu.
“Dah
lama kau kerja kilang?” Farah mengerutkan dahinya.
***************************************************************************
BAB 5
Kak
Jah mundar mandir di dalam bilik yang dikongsi bersama Zurin dan Rohaida. Dia
risaukan Farah. Kebanyakan kawan-kawannya sudah mula bercerita tentang Farah.
Dia tidak suka mendengar cerita-cerita agak negatif sebegitu. Baginya adik-adik
yang menyewa bersama-samanya di apartmen Desa Universiti adalah ibarat
adik-adiknya sendiri. Sebagai ketua yang dilantik secara tidak rasmi oleh
penghuni apartmen 8-9-8 itu, dia rasa
bertanggungjawab.
“Betul
Jah, aku nampak dia dok gelak sakan ngan Mamat mana entah. Tapi mamat tu pakai uniform kilang lagi,”Roxy a.k.a Rosiah, sahabat
yang dikenali dalam kelab ‘Kraftangan Rumahtangga’ semasa di tahun awal
kemasukannya ke universiti itu, pernah menyuarakan kepadanya minggu lepas.
“Tak
lama lagi dapat adik iparqlah hang, no. Tapi adik iparq yang mana? Aku tengok
hari ni angkut jantan lain. Minggu depan bawak jantan lain pulak. Ish, hang
kena nasihat sikit kat dia,”Itu ayat-ayat dari Abang Syuk Aww yang lemah lembut
dan kepoh itu masa terserempak dengannya di kedai mahasiswa beberapa hari yang
lepas.
“Sebenarnya,
hak mana so gewe dia ni Jah? Hari tu aku tengok dengan budak tinggi agam, badan
besar naik motor besar kat Tasik Harapan. Sebelum tu aku jupo dio nge mamat
pakai spek hite jale menenggok mace eksekutif kat KFC Sungai dua. Marin pulok
aku tengok dio naik keto Wira warna maroon, buke budak U kito rasanya. Aku napok
kat kompleks Bukit Jambul. Bakpo jadi gitu adik mung tu, Jah?” Ayat kurang
senang dari rakan sekuliah Ijazah lanjutan yang sedang diikutinya seolah di
putar-putar balik ke mindanya.
Mulanya
dia tidak percaya. Ye lah, masa Farah bercinta dengan Jandur dulu, paling
banyak pun sekali seminggu je dia keluar. Itu pun berteman. Kalau tersalah
lambat sikit, dia pasti menelefon rumah. Adab-adab di jaganya dengan baik.
Walaupun budak tu berpewatakan agak kasar sedikit, tapi dia tahu menjaga batas
susila. Biasanya dia payah nak melayan lelaki. Kenapa dia jadi macam tu
ya? Takkanlah semua orang dengki dan
cemburu dengannya? Kenapa? Motif apa? Dia tu serba sederhana. Bukan anak orang
kaya pun. Bukan cantik sangat pun. Bukan baik sangat pun. Ish....
“Assalamualaikum!”
Pintu bilik tempat kak Jah berjalan mundar mandir di kuak sedikit.
“Waalaikumussalam.
Ha, Farah, masuklah,” Farah senyum dan berjalan masuk ke bilik. Kak Jah
kemudiannya duduk bersila di atas tikar mengkuang milik Zurin. Farah turut
bersila.
“Ada apa
ni kak Jah?” Kak Jah menarik nafas panjang, kemudian dia senyum. Dia menarik
tangan Farah dan menepuk-nepuk perlahan belakang tangan Farah dengan tapak
tangan. Dia perlu penuh hikmah agar tiada salah faham dan terguris rasa.
“Farah
dah makan?” Farah mengangguk. Bukan ke mereka makan bersama tadi? Giliran Bali
dan Zurin yang masak hari ini. Hari minggu memang mereka akan bergilir memasak.
“Farah
sihat?” Farah angguk lagi. Apa kena dengan kak Jah ni. Pantas Farah menarik
tangan dari pegangan kak Jah dan melekapkan tangannya ke dahi kak Jah. Tak
panas pun. Tak demam ni, tapi buang tabiat ke apa kak Jah ni?
Kak
Jah ketawa kecil dengan kelakuan Farah itu.
“Akak
ni nak kata demam, tidak. Period ke? Atau terkena simptom pra-haid” Kak Jah
gelak lagi.
“Tak..
akak nak tanya sikit ni. Tapi Farah jangan ambil hati pulak ye?” Farah angguk.
“Farah
sedih lagi pasal Jandur tu?” Farah geleng kepala. Memang pada luarannya dia dah
tidak merasa apa-apa perasaan lagi pada ‘Jantan Durjana’ tu, tapi hakikatnya,
tak tahulah... Rasanya, kalaulah Jandur tu duda anak 4, mungkin dia akan
berfikir juga walaupun sedikit untuk menerimanya! Tapi jandur tu sudah sah sah
suami orang, jadi dia memang tidak akan berkompromi. Biarlah dia kecewa pun,
yang penting dia bukan peruntuh rumahtangga orang lain!
“Farah
dah ada pengganti?” Farah geleng sekali lagi.
“Tak
mainlah cinta-cintan ni kak. Cukuplah tersilap langkah sekali. Malas arr nak layan!”
Tiba-tiba dia nampak Jandur senyum. Ish... pergi jauh-jauh...
“Tak
adalah... kawan-kawan lelaki yang Farah selalu jumpa tu?” Farah mengerutkan
dahinya tanda dia sedang berfikir.
“Sape?
Roswadi? Abang Basri? Shamir? La, dia orang tu kan satu kuliah. Shamir tu
sedara saya kak,” Kak Jah menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Wajahnya
masih tidak puas hati.
“Rezal
ke kak? Dia tu tak betul kak... Rasanya penyakit keturunan kot..”Farah
menyambung ayat bila memandangkan wajah tidak puas hati kak Jah.
“Bukan
budak sini, orang luar!” Seketika Farah ternampak beberapa wajah asing yang sering
di temuinya dalam beberapa minggu ini.
“Ooo...
budak-budak tu...” Farah gelak besar. Sekarang dia faham apa yang ingin
dibicarakan oleh kak Jah. Dia memandang kak Jah dan mula bercerita...
“Budak
badan besar naik motor besar tu, nama dia ‘gajah Gila’!”
“Budak
skima pakai tai, slek ngan kemeja macam eksekutif tu nama dia ‘jejaka hensem’!”
“Budak
kilang letrik tu nama dia ‘Keledek’!”
“Arr..
satu lagi, budak pakai kete Wira warna maroon tu, nama dia ‘Keanu Reeves’!” Kak
Jah ternganga mendengar nama-nama yang
disebut oleh Farah. Siapa tu?
“Ala
kak Jah, tu kawan-kawan yang saya chat kat roomchat Alamak.com lah... dah dia
orang nak jumpa. Saya pergi je lah... bukan buat apa pun,” Farah memandang kak
Jah minta pengertian. Entah kenapa, dia seronok bila dapat berjumpa dengan
rakan-rakan alam siber. Lagipun, dia ada hobi baru sekarang ni. Berfoya-foya di
alam maya!
“Ye
ke? Farah pergi sorang ke jumpa kawan-kawan Farah tu?” Farah mengangguk. Ala...
bukan buat apa pun. Makan-makan, pastu jalan-jalan. Pastu baliklah.
“Astagfirullah...
tak baik macam tu dik. Nanti mengundang fitnah!” Farah tahu. Tapi dia bukan
buat apa pun. Bukannya dia pakai sambar je siapa-siapa yang ajak dia keluar.
Dia kaji dulu, sembang dulu paling kurang berbelas kali. Bila dia tengok macam
ada ‘chemistry’, barulah dia jumpa. Salah ke?
“Macam
ni lah Farah. Bukan kak Jah larang Farah nak jumpa siapa-siapa pun. Tapi, Farah
ajaklah kawan-kawan temankan. Nanti dia bawak lari Farah camana? Bawak pergi
jual kat Siam? Ha... zaman sekarang macam-macam boleh berlaku dik!” Farah diam.
Termakan juga kata-kata kak Jah tu walaupun kalau di dengar sekilas lalu seperti
mengugut budak tadika yang tak mahu pergi mengaji Quran!
“Farah
kena hati-hati dik. Yang lepas tu lepaslah. Jangan pula kita nak balas dendam
atas apa yang orang lain lakukan kepada orang lain!” Walaupun kurang mengerti
bicara dari Kak Jah namun Farah mengangguk kecil. Tanda dia menghormati gadis
itu yang sudah dianggap sebagai kakaknya.
“Dah
lah... pergilah Farah nak tengok tv ke, nak tidur ke. Ingat pesan akak ye dik?”
Kak Jah menggosok perlahan rambut Farah yang lurus itu sambil tersenyum.
Farah
bangun dari bersila dan berjalan keluar dari bilik itu. Telinganya masih
terngiang-ngiang lagi kata-kata kak Jah.
“Farah
kena hati-hati dik. Yang lepas tu lepaslah. Jangan pula kita nak balas dendam
atas apa yang orang lain lakukan kepada orang lain!” Aku nak balas dendam kat
sape?
**************************************************************************
Farah
melunjurkan kakinya ke depan. Dia duduk di atas batu di Visi Rock, di atas
bukit, berhampiran dengan bangunan Hal Ehwal Pelajar. Dari Visi Rock dapat di
lihat mercu tanda Pulau Pinang dengan jelas iaitu KOMTAR. Jambatan Pulau Pinang
juga jelas kelihatan. Sesekali menenangkan diri di situ, hilang sedikit rasa
resah.
“Jahatkah
aku?” Farah bermonolog sendiri.
“Aku
nak balas dendam ke?” Farah memintal-mintal hujung tudung bawal warna biru tua
yang dipakainya. Dia teringatkan kata-kata kak Jah beberapa hari yang lepas.
“Tapi,
aku tak cakap pun yang aku sukakan dia orang.” Farah mengeluh perlahan. Dia bangun, berjalan di balik batuan yang
tersusun. Langit mendung tapi tidak menunjukkan tanda-tanda hendak hujan. Pukul
6.30 petang, sepatutnya dia sudah berada di rumah tapi entah kenapa, sebaik
sahaja selesai solat asar di bilik sahabat sekuliahnya, Afida, di Desasiswa
Bakti tadi, dia melencongkan motosikalnya ke sini.
“Masihkah
aku kecewa?” Dia pun tidak pasti dengan perasaannya sendiri. Kecewa memanglah
kecewa. Siapa yang tak kecewa bila harapan sudah di beri dan di terima. Jiwa
yang kosong sudah terisi. Kasih mula menggamit sedikit demi sedikit. Tunas
kasih sudah mula bercambah. Malah bunga-bunga cinta.... bunga-bunga cinta?
Uwek!.... apa yang aku jiwangkan ni?
Tiba-tiba
saja Farah mengelengkan kepala beberapa kali, laju. Kemudian dia mendongak ke langit, menyedut
udara yang masih lagi segar dan bersih kerana kehijauan yang sentiasa di jaga
di kawasan ini. Dia bangun dan berdiri di atas batu.
Tiada
sesiapa pun di sini waktu ini. Mungkin sebab cuti yang diberikan kerajaan
bersambung dengan hari minggu bermula esok, jadi ramai yang sudah pulang ke
kampung sehabis kuliah. Begitulah kebiasaannya. Kalau tidak, masih ada lagi
pengunjung yang sedang berjiwang karat di atas kawasan Visi Rock ni. Dulu,
ramai juga pasangan yang memadu asmara di sini. Tapi sejak kawalan keselamatan
di ketatkan, dan sudah ramai pasangan-pasangan yang di tangkap, sudah tak
nampak lagi ‘couple-couple’ berdua di sini. Kalau nak ber’dating’ pun, pasti
membawa beberapa orang teman lain. Dia pun pernah sekali datang ke sini dengan
Jandur. Masa tu ada Fini, Zurin dan Bali sama. Mereka berkelah makan pizza. Seronok
juga mengenangkan saat itu.
“Farah!”
hampir terlompat, dia sudah mula terhuyung hayang di atas batu yang dia
berdiri. Ada satu tangan memegang bahunya sebelum sempat dia jatuh. Pantas di
tepisnya tangan itu dan dia menjauh sedikit.
“Rezal?
Kau buat apa kat sini?” Rezal yang memakai jeans biru dan baju t berkolar
tersengih di hadapannya kini. Entah bila mamat ni memerhatikannya, dia pun tak
pasti.
“Saya
ikut awak dari tadi lagi. Saya rindulah kat awak....” What? Rezal mula
menghampirinya.
“Satu
hari saya tak nampak muka awak. Saya dah tak tahan menanggung rindu ni,” Ya
Allah, Farah rasa seperti semua nasi goreng yang dimakan di kafetaria Desasiswa
Bakti tadi mahu terhambur keluar. Dia
memang alergi dengan mamat sorang ni.
“Rezal,
baik kau pergi, kalau tak...” Rezal sengih meleret. Dia semakin mendekat. Tak
tahulah kenapa lelaki itu menjadi seberani itu. Biasanya dia tak melawan, ikut
saja setiap kata-kata Farah.
“Rezal,
baik kau pergi dari sini... nanti aku...”
“Nanti
apa? Awak nak buat apa? Orang tak ada ni Farah, kita berdua saja ni...”Entah
kenapa Farah rasa seram sejuk. Sudahlah tak nampak pun kenderaan melalui
kawasan ni. Rezal semakin mendekat. Tanpa berfikir panjang lagi, Farah memberikan
satu hayunan pancung yang dipelajarinya dalam seni silat gayung, ke dada lelaki
itu sebelum sempat tangan lelaki itu memegang lengannya. Bukan itu saja, dia
turut melompat dari batu, kemudian memberikan satu tumbukan padu di wajah
lelaki itu, hingga lelaki itu jatuh terlentang ke belakang. Sebelum dia hilang
kewarasan, dan dia hilang rasa simpati, takut-takut masuk ICU si mamat skima
ni, terus dia berlari pantas menuju ke motosikalnya.
Beberapa
kali dia menghentak pedal motosikal namun enjin tak dapat di hidupkan. Dia
terpaling-paling ke belakang. Dadanya berombak kencang tatkala dia ternampak
Rezal terhincut-hincut kian menghampirinya. Di sudut bibir lelaki itu ada
darah.
“Farah....
tunggu!” Hormon adrenalin yang dirembeskan oleh kalenjar adrenal di pituitari
dalam badannya mula mengalir bila kelibat Rezal tinggal beberapa kaki dahaja.
Lelaki itu sengih sambil meludah air ludah yang bercampur darah ke tanah.
Separa sedar, Farah menolak motosikalnya dengan kaki ke tengah jalan yang agak curam.
“Farah...
tunggu,”
“Farah!!!”
“Gedegang!”
Farah sudah tercampak ke jalan berturap tar!
**************************************************************************
BAB 6
Zurin
dan Bali mundar mandir di hadapan ruang kecemasan hospital besar Pulau Pinang.
“Zurin,
Bali!” Kak Jah, Rohaida dan Afida yang tercungap-cungap menghampiri mereka.
Diikuti dari belakang, tiga orang lagi rakan serumah mereka.
“Macamana?”
Bali mengelengkan kepala. Kak Jah melepaskan satu keluhan yang berat. Ya Allah
selamatkanlah mereka!
“Kita
berdoa banyak-banyak. Dah telefon famili dia? Fini mana?” Bali angguk sambil
memuncungkan mulut ke arah beberapa orang pelajar lelaki beberapa meter dari
mereka. Kelihatan kelibat Fini sedang berbicara sesuatu dengan mereka.
“Kenapa
dengan budak-budak tu? Itu bukan ke budak Sciences Comp yang duk satu apartmen
ngan kita? Apa yang Fini buat kat situ?” Bali mengangkat bahu sekali lagi tanda
tidak tahu.
Pintu
bilik kecemasan di buka. Semua mata tertumpu ke situ dengan penuh debar.
“Hai!”
Farah keluar dengan kaki berbalut dan di tolak dengan kerusi roda. Bahagian
tepi mata kanannya juga dijahit lebih 20 jahitan akibat dari terseret di atas
jalan tar. Matanya tak dapat di buka dan di balut. Persis seperti lanun. Rakan-rakan
serumahnya mula mendapatkannya dengan seribu persoalan di minda.
“Eh,
kau tak apa-apa ke?”
“Mata
kau okay ke?”
“Patah
ke kaki kau?”
“Luka
kat mana lagi? Dah x-ray ke?”
“Sabar
ye, Farah, ini ujian dari Allah!” Farah
cuma senyum saja dan dia mendongak kearah jururawat yang kelihatan tenang saja
di belakangnya. Masih berdenyut-denyut lagi kesakitan di bahagian mata
kanannya, di bahagian kaki dan beberapa bahagian badannya yang lain.
“Kena
submit ward dulu ya. Minta tolong ke kaunter pendaftaran, isi borang dulu. Bawa
kad pengenalan pesakit sama,”Terang jururawat yang sentiasa tersenyum itu. Bali
dan Zurin menawarkan diri untuk ke kaunter pendaftaran, menguruskan kemasukan
Farah ke wad. Kak Jah dan rakan-rakan yang lain mengikut saja dari belakang
kerusi roda yang ditolak oleh jururawat tadi.
Fini
yang sedang berbicara sesuatu dengan pelajar-pelajar lelaki tadi mula meminta
diri dan menyertai rombongan rakan serumahnya ke wad yang akan dihuni Farah.
Farah hanya mengangguk ke arah pelajar-pelajar tadi dan ada satu wajah asing
yang pernah dilihatnya namun dia lupa di mana. Wajah itu senyum dan mengangkat
tangan kanan ke arahnya sambil mengangguk. Siapa ye?
“Jap...
jap... Rezal camana?” Soal Zurin tiba-tiba. Farah mengerutkan dahinya. Rezal?
Kenapa dengan Rezal? Dia pun sebenarnya ingat-ingat lupa bagaimana dia boleh
berada di hospital. Dia tahu dia kemalangan, tapi di mana? Dengan siapa?
Bagaimana dia boleh berada di sini?
“Rezal?”
“Eh,
tak... tak.. kau nak makan Pizza?” Fini memotong bicara sambil kakinya menyepak
perlahan betis Zurin. Kalau boleh dia tidak mahu Farah tahu apa berlaku dengan
Rezal yang kini berada di wad ICU. Farah kembali mengerutkan dahinya namun
kesakitan menular hingga ke kepalanya. Farah mengeleng perlahan.
*************************************************************************
Farah
masih lagi termangu-mangu sendirian. Siapa lelaki tadi yang datang
menjenguknya? Wajahnya bersahaja. Dia rasa seperti pernah melihat lelaki itu,
namun mindanya yang separa sedar itu tidak mampu mencerna dengan baik. Hanya
beberapa minit, kemudiannya dia berlalu. Waktu itu Farah baru saja terlena
selepas mengambil ubat. Rasanya petang kelmarin pun lelaki itu datang
menjenguknya. Sama juga, sewaktu dia hampir terlena kerana kesan ubat yang
diambilnya. Walaupun dia tahu ada orang yang melawatnya, namun dia tidak mampu
bercakap dan bersuara. Matanya yang hanya sebelah berfungsi dengan baik setakat
ini, hanya mampu terbuka separuh sahaja. Sakit dan sengal seluruh bahagian
badan terutamanya bahagian dada dan wajah, sudah hilang selepas dia menelan dua
biji pil yang diberikan oleh jururawat sebentar tadi. Mungkin kesan ubat itu
sangat kuat, hingga menyebabkan dia berada dalam keadaan separa sedar sahaja.
Namun, mindanya masih mampu berfikir walaupun tidak setajam selalu. Dia
memejamkan mata.
“Farah...
tunggu!” Dia semakin cepat menolak motosikal dengan kudrat kakinya yang hanya
berselipar jepun a.k.a selipar kalis air (menurut firasat Fini) itu, yang di
seret ke jalan berturap tar tanpa berfikir panjang.
“Farah,
saya minta maaf. Saya tak ada niat nak buat jahat dekat awak pun!” Jalan yang
berbukit dan agak condong itu membuatkan kedudukan Farah tidak seimbang.
Hampir-hampir dia terbalik namun digagahinya juga.
“Farah!!!!”
Jeritan nyaring di dengarinya. Apa yang dia tahu, dia telah tertolak dan
terlambung ke seberang sana jalan lalu bahagian tepi wajahnya dan dadanya
terhentak ke jalan berturap tar. Telinganya dapat menangkap bunyi dentuman yang
kuat. Kemudian, dia sudah tidak tahu apa yang berlaku lagi selepas itu. Apabila
tersedar dia sudah berada di ruang kecemasan hospital besar Pulau Pinang. Itu
pun setelah diberitahu oleh doktor yang menjahit luka di tepi matanya.
“Farah!!!”
Jeritan itu sangat kuat dan berdesis hampir dengan telinganya.
“Farah!”
Dia membuka mata perlahan. Denyut di bahagian mata yang berjahit mula terasa
sedikit demi sedikit.
Aduh...
dia memang alah dengan sakit. Sebab itulah dia mengambil masa selama dua bulan
sebelum dia mencabut gigi gerahamnya yang berlubang tahun lepas. Dia sanggup makan
pil penahan sakit dan mencuba pelbagai kaedah perawatan tradisional yang
diberitahu Bali, bagi melawan kesakitan akibat gigi berlubang yang dihidapinya.
Dia bukannya apa, ngilu, seram, dan pelbagai rasa bercampur baur bila
memikirkan tentang darah! Tapi, itu rahsianya. Di hadapan kawan-kawan dia
jarang menunjukkan rasa sakit dan takut yang dialaminya tapi dia tahu yang
kawan-kawannya perasan akan fobianya itu.
“Farah,”
Dia menggerakkan sedikit kepalanya dan berpaling ke sebelah kiri. Kelihatan
Bali dan Fini sedang tersenyum kearahnya. Dia membalas senyuman itu dalam
kepayahan akibat urat-urat yang mengembang di bahagian wajahnya.
“Dah
makan?” Farah mengeleng. Macamana dia nak makan, kalau dirasakan semua bahagian
badannya seakan mencucuk-cucuk? Berdenyut-denyut?
“Ni,
kak Jah sempat masakkan nasi moi dengan sambal sardin dan ikan selar bakar
sebelum dia ke kelas tadi. Sayur campur pun ada, dia potong kecil-kecil bagi
senang kau kunyah,” Farah senyum lagi. Mujurlah ada teman-temannya yang setia
di masa susah dan senang.
“Tak
lalulah beb!” Bali duduk di sebelahnya. Fini sedang sibuk membuka bekas plastik
tupperware yang di bawanya.
“Makan
sikit ya?”
“Kau
ingat nak pujuk anak sedara kau ke, suruh makan sikit?” Bali gelak kecil.
“Kau
ni, sakit pun degil jugak. Mari aku suapkan,” Farah mendengus perlahan,
kemudian dia ketawa kecil tapi terpaksa di tahannya akibat kesakitan yang
terasa di bahagian wajahnya. Terasa lucu pula bila bayangkan Bali menyuapnya.
“Wei,
kau kan sakit. Bagilah aku berbakti dengan orang sakit. Dapat jugak pahalanya!”
Fini gelak, Farah juga gelak namun kesakitan yang mula terasa membataskan gelak
tawanya.
“Kau
janganlah buat lawak, sakit muka aku ni. Dah lah, jap agik aku makan ye, makcik
Bali dan tokcik Fini,” Mereka ketawa lagi, kemudian meredakan sedikit ketawa yang masih bersisa tatkala jururawat
selang dua katil dari mereka menjeling sekilas.
“Ni
hospitallah ngok! Behave sikit!”
“Serius
ni, aku tak boleh makanlah. Tak lalu, sebab rasa sakit ni. Buatkan aku milo
boleh?” Farah memandang Fini dan Bali silih berganti. Mereka mengangguk
serentak.
“Jap,
aku pergi ambil air panas,” Bali mengambil termos yang memang sudah disediakan
oleh pihak hospital dan berlalu ke pantry. Fini mula mengeluarkan sepeket milo
tiga dalam satu yang diambil dari beg pakaian Farah di dalam laci. Dia yang
kemaskan barang-barang Farah, sudah tentu dia tahu di mana dan apa yang ada di
dalam tu.
“Camana
hari ni?” Soal Fini sambil memandang wajah Farah yang iras-iras lanun bermata
satu, bertangan besi dalam cerita Peter Pan!
“Cam
ni lah. Makin sakit rasanya.” Fini mengangguk perlahan dan mendekatkan wajahnya
ke balutan di bahagian mata Farah. Wajah Farah kelihatan besar dari biasa.
Bengkak di bahagian tepi mata berlarutan hingga ke pipi dan dahi akibat dari
urat-urat darah yang mengembang. Bahagian pipinya juga masih kelihatan jelas
garisan merah dan sedikit kehitaman, kesan calar dan terseret, mungkin terkena
batuan kecil yang tajam di atas jalan berturap tar.
“Dah
x-ray dada?” Farah mengangguk perlahan.
“Doktor
round pagi esok, aku tanyalah resultnya. Senak tu masih terasa-rasa lagi ni.”
Fini kemudiannya beralih kearah kaki Farah yang berbalut dan bersimen. Entah
berapa lamalah Farah akan bercuti, melihatkan kepada kecederaan yang dialaminya
ini. Mungkin satu semester kot! Kesian Farah, tapi lagi kesian Rezal.
Dengarnya, dia masih belum sedar lagi. Kelmarin dia di bedah untuk membuang
darah beku dalam kepalanya. Dengarnya juga, tulang rusuknya patah, akibat di
rempuh kereta. Mujurlah, si pemandu sempat menekan brek kecemasan, kalau tidak,
dah arwah budak tu. Tak pasal-pasal kawasan Visi Rock tu jadi kawasan keras.
Ada hantu ‘Rezal’, yang mati ketika menyelamatkan wanita yang dicintainya! Ish,
apa yang dia mengarut ni?
“Apa
yang kau menungkan tu?” Hah? Fini mengangkat wajahnya dan hanya tersenyum
kepada Farah.
“Mmm...
kau ingat tak masa accident tu Farah?” Farah diam sejenak. Dia ingat, tapi dia
tidak pasti.
“Ada
sesiapa dengan kau masa accident tu?” Farah diam lagi. Mindanya sedang
berfikir. Persoalan itu hanya terhenti di situ apabila Bali sudah muncul dengan
termos air panas.
“Rasa
nak makan black pepper steak lah!” Bali dan Fini berpandangan sesama sendiri.
**************************************************************************
0 ulasan:
Post a Comment