Rasanya blog penulis novel yang lain tak banyak yang masak, mesti cerita terbaru tentang novel dan bla...bla...bla...
Tak adalah, sebenarnya, malam ni nak kongsi sikit. Ni utk kawan2 yang tak sabar nak baca novel baru saya (ada ke?) eheheh biarlah perasan sendiri pong tak apa... kik kik kik....
Kisah ni sebenarnya kisah biasa saja (walaupun ada nak masuk era2 sinetron Indon sikit) tapi Insyaallah saya gabungkan elemen lawak2 sikit esp, watak 'Zakir', ada unsur suspen sikit, unsur 'cinta & kasih sayang' of course mesti ada, pahtu kisah kekeluargaan dan kebangkitan dari kedukaan masa lalu... cam tu lah kononnya....
Di sini saya letak sikit bab 1, eh bukan bab 1, proloq... eh bukan jugak... apa ya orang panggil, mukaddimah kot... ehehhe....
Sikit je tau.... nanti basi pulak kalu letak banyak-banyak...
Saya letak kisah watak utama.... harap-harap kawan suka ya....
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
LUTFIYAH
Lutfiyah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia
bangun dari meja bacaan dan berjalan ke katil. Punggungnya direbahkan ke atas
tilam empuk jenama ‘Dunlopillo’. Dia kemudiannya, menjatuhkan belakang badan
dan kepalanya ke atas tilam itu.
Sudah seminggu dia begini. Masih
belum menemui jalan penyelesaiaannya. Perlukah dia menuruti segala yang telah
diamanatkan? Perlukah dia mencari sesuatu yang tidak tahu hujung pangkalnya?
Perlukah dia mengikut gerak hati Babanya yang hanya diceritakan sekali itu
sahaja? Arghhhh..... bagaimana dengan kuliah Ijazah Lanjutan yang sedang
diikutinya? Perlukah dia meninggalkan semua itu demi sebuah jawapan dan sebuah
hubungan yang entah masih wujud atau...?
“Nong Puteri....” Wajah ibu Sumaiyah muncul di
balik pintu. Wajah yang sudah mempunyai kedutan di bawah kelopak mata serta di
dahi itu hanya senyum kecil dan berpeluk tubuh.
“Nong, nggak mau sarapan?”
Lutfiyah senyum hambar. Dia menoleh kearah jam di dinding yang sudah pun
menunjukkan ke angka 8.50 minit pagi.
“Sekejap lagi saya turun bu,”
Ibu Sumaiyah berjalan menghampirinya. Dia mengelus perlahan rambut Lutfiyah
yang cuma separas bahu itu lalu mengucup ubun-ubun yang sudah keras, bukan
seperti dua puluh enam tahun dulu, masih lembut dan belum ditumbuhi rambut
sepenuhnya. Begitulah yang selalu dilakukannya bagi menzahirkan kasih sayang.
Lutfiyah tahu, ibu Sumaiyahlah yang menjaganya sejak kecil dan bila saja dia
mula mengenal dunia... dunianya ialah ibu Sumaiyah dan baba yang sebenarnya, sangat
jarang berada bersamanya.
“Masak apa hari ni bu?” Ibu
Sumaiyah senyum lagi dan mengambil tempat berhadapan dengan Lutfiyah yang
kelihatan sedikit sugul.
“Fettucini goreng, ibu letak isi
ayam, banyak....”Begitu bersemangat ibu Sumaiyah menerangkan bagi memancing
selera anak gadis itu.
“Sekejap lagi lah bu. Mmmm...
auntie Lira dah keluar?” Mendengar saja nama auntie Lira, senyuman ibu Sumaiyah
sedikit kendur, lalu dia mengangguk perlahan.
“Dah... dari tadi. Nanti Puteri
turun ya?” Lutfiyah mengangguk lagi dan hanya memandang lenggok ibu Sumaiyah,
keluar dari biliknya.
Ibu Sumaiyah, seorang wanita tabah yang kematian suaminya akibat patukan ular tedung di kebun
mereka di Jawa Tengah, lebih kurang dua puluh enam tahun yang lalu. Sejak itu
dialah yang mengasuh Lutfiyah dan menjaga makan minum Lutfiyah dan babanya di
kota besar Kuala Lumpur. Lima belas tahun lepas, selepas saja baba berkahwin
dengan auntie Lira, mereka berpindah ke Australia, kemudian mereka berpindah
lagi ke Filipina atas urusan kerja baba. Baru saja lima tahun yang lepas, baba
meluaskan perniagaannya, membeli rumah
dan beberapa aset di pekan Rochester,
hingga sekarang.
Sudah lama baba ke Madinah, atas urusan kerja penghantaran
barangan dengan syarikat perkapalan yang di kongsi dengan sahabatnya, uncle Sameer Khan. Seminggu yang lepas
baba menelefon dari Madinah, menyuruhnya pulang ke Malaysia? Tapi mengapa?
Sudah dua bulan dia tidak bertemu baba. Dia rindu, sangat rindu. Dia dapat
merasakan diantara mereka sudah mula mempunyai jurang. Walaupun selama ini baba
sibuk, walaupun baba sudah mempunyai auntie Lira, namun kasih baba tetap
seperti dulu, dia pasti baba betul-betul sayangkannya, walaupun jarang
meluangkan masa untuknya.
Auntie Lira? Entahlah, dia pun tidak faham dengan sikap
ibu tirinya yang cuma berbeza lima belas tahun dari usianya. Kadang dia baik,
peramah, sering bertanya khabar tentang kuliah... namun kadang-kadang dia cuma
menyepi... bila di tanya dia cuma senyum, kemudian keluar, entah ke mana. Dengan
ibu Sumaiyah, langsung tidak bertegur sapa, hanya mengangguk dan mengeleng
saja. Hendak dikatakan auntie Lira ibu tiri yang tidak baik, tidak juga. Dia
baik, penyayang... tapi mungkin kerana dia masih muda, tidak mempunyai anak,
jadi dia kurang memahami Lutfiyah. Cuma apa yang Lutfiyah perasan, auntie Lira
dengan baba seolah mempunyai masalah. Tidak bergelak ketawa seperti
kebiasaannya, tidak bergurau senda seperti dulu lagi... dan... dia pasti yang
auntie Lira dengan baba sudah tidak tidur sebilik! Apa yang dia pasti lagi,
kali ini auntie Lira tidak mengikut baba ke luar negara atas urusan kerja
seperti kebiasaannya. Kenapa? Entahlah, namun hati tetap berprasangka!
“Puteri?” Lutfiyah tersentak dan dia melangut kepada
suara yang memanggil.
“Baba? Bila baba pulang?” Entah mengapa dia hanya
bertanya dalam keadaan terkejut dan bukannya memeluk baba seperti biasa.
“Puteri sihat sayang?” Lutfiyah mengangguk. Baba
menghulurkan sejambak bunga lavender yang masih segar. Lutfiyah menyambutnya
dengan senyuman dan mencium aroma menenangkan dari bunga berwarna ungu itu.
Baba tahu dia sukakan bunga yang sederhana itu. Dia mendongak kearah baba yang
sudah pun duduk di atas katil berhadapan dengannya.
“Puteri kena balik...” Lutfiyah diam. Mengangguk pun
tidak, mengeleng pun tidak.
“Puteri sayangkan baba?” Lutfiyah mengangguk.
“Puteri kena balik sayang... kena tolong baba...”Lutfiyah
memandang baba tanpa berkerdip dan dia dapat melihat sesuatu yang tidak pernah
dia lihat di mata baba. Baba menangis!
“Trut... trut...” Lutfiyah tersentak. Dia membuka mata.
Wajah baba sudah hilang, yang ada cuma ruang kosong dibiliknya. Dia
mencari-cari telefon bimbitnya yang dicampakkan ke atas katil dan bila telefon
itu dijumpai, deringannya berhenti.
“Maldan?”
Nama di skrin telefonnya disebut perlahan. Dia mengeluh kecil lalu meletakkan kembali telefon bimbitnya di
sisi. Dia menoleh sekilas kearah jambangan lavender di atas meja yang sudah
kering. Ah... Baba!
ZAKIR
Zakir berjalan pantas. Peluh
mula berjejeran di dahi, tengkuk dan badannya. Kenapalah di waktu begini
motosikal buat hal?
Sesuatu bergetar di kocek
seluarnya dan pantas dia menggagau mencari telefon bimbit sambil kakinya masih
pantas mengorak langkah.
“Ok, bos, iya... sekejap lagi...
iya... saya faham!” Talian disebelah
sana dimatikan. Zakir mengeluh perlahan kemudian mengeluh sekali lagi, dengan
agak kuat. Kakinya mula lenguh. Menapak hampir dua kilometer, menyusuri
beberapa blok bangunan dengan kadar 30km sejam, memang memenatkan!
Dia mendongak ke atas, meneliti
papan tanda besar yang sudah dipaku kejap ke dinding. Kemudian dia membaca
sekali lagi alamat di sampul surat 10 x 5 inci ditangannya lalu mengangguk
sendiri. Tanpa berlengah dia memanjat tangga dengan kadar sekali langkah, dua
anak tangga dan mula termengah-mengah dihadapan pintu. Dia mengesat peluh
dengan sapu tangan yang selalu diletakkan ke dalam kocek seluarnya walaupun dia
sebenarnya kurang gemar dengan kehadiran sapu tangan tersebut. Beberapa kali
juga kawan-kawan serumah memerli apabila terlihatkan dia melipat sapu tangan
dan memasukkan ke dalam kocek. ‘Mamat skima’ kata mereka, tak sesuai dengan
gaya ‘rockers’ yang selalu diikutinya. Lantaklah, mamat skima ke apa ke, yang
penting bila berpeluh-peluh begini, ada juga gunanya sapu tangan ni! Dia membetulkan
baju tshirt berkolar dan seluar jeans hitamnya lalu membuka pintu. Hawa sejuk
dari penghawa dingin melegakan separuh dari kepanasan yang dirasainya. Dia
pantas ke meja penyambut tetamu dan menghulurkan sampul surat tersebut. Gadis
di meja penyambut tetamu, cuma senyum dan melihat saja dia menandatangani buku
log yang telah disediakan.
“Terima kasih!”
“Kasihmu ku terima dengan rela
hati!” Gadis bertudung dan berkebaya coklat tua itu sedikit terkejut namun
kemudiannya tersipu-sipu malu. Zakir memberikan senyuman penggodanya lalu
menoleh sekilas kepada gadis tersebut sebelum menutup pintu pejabat! Ah...
selesai tugas hari ni!
“Hello, Alin.... tak boleh
keluarlah petang ni, ada kerja sikit,” Zakir senyum kecil sambil berjalan
perlahan, mengikuti lorong yang dilalui sebentar tadi untuk ke tempat membaiki motosikalnya.
“Malam ni... mmm malam ni pun
tak bolehlah sayang... petang esok kay?” Suara yang sudah mula merajuk
disebelah sana, diajuknya dengan wajah yang diherot-herotkan, kemudian dia
senyum lagi.
“Okay sayang, bye!” Telefon
bimbit dimasukkan ke dalam kocek kembali. Zakir gelak besar, kemudian menutup
mulutnya tatkala dia terpandangkan beberapa orang gadis yang sedang membelek
akhbar dan majalah dikedai buku yang dilaluinya sedang memerhati kearahnya. Dia
mengangkat kening dan mengenyitkan mata. Seorang dari gadis yang hanya memakai
t’shirt singkat dan seluar jeans paras
lutut, mengepalkan penumbuk dan mengacu kearahnya. Dia tersentak dan kemudian
membuat muka selamba dan berjalan pantas dari situ.
“Gila budak pompuan tuh, macam
jantan,” Dia mengeleng-ngelengkan kepala sambil kakinya terus menghitung
langkah. Peluh kembali merajai wajah. Mujurlah dia memang seorang ahli sukan.
Boleh dikatakan setiap petang dia akan bermain bola sepak di padang tempat dia
menyewa. Kadangkala bermain futsal di kelab. Ada juga dia ke Gimnasium jika
berkelapangan. Maksudnya, jika tiada ‘dating’lah!
“Bro!” Seorang lelaki yang
hampir sebaya dengannya, mungkin lebih muda mendongak dan mengangkat tangan
kearahnya. Zakir berjalan menghampiri. Motosikal Kris merah hati kesayangannya
comot di sana sini.
“Camana Bro?”
“Sat gi... hang pi lah minum dulu
ka, ayat marka soghang dua ka kat warung Pak Mat Togel tu, siap nanti aku
helo,”
“Ok, set!” Muslin tersengih dan
menampakkan giginya yang kekuningan akibat kuat merokok itu lalu kembali
menyiapkan kerjanya. Nasib baiklah ada Muslin! Tak payahlah dia mengheret
motosikalnya ke bengkel dalam panas remang macam ni. Budak betul bendul ni yang
tolong bawakkan ke sini, tak tahulah sama ada dia heret, angkat, pikul atau pun
tarik ngan lori!
Zakir berjalan keluar dari bengkel motosikal yang cuma
menumpang disebelah kedai mencuci kereta itu, melintas jalan dan menghampiri
warung yang agak lengang, mungkin kerana waktu makan tengahari sudah lama
berlalu. Dia mengangkat tangan ke arah seorang tua, lingkungan akhir 50-an.
“Pak Mat, minum biasa satu...
makan pun, biasa satu!” Pak Mat cuma mengangguk dan mula mengarahkan anak
perempuannya yang sedang memotong sayur agar membuat bihun goreng. Dia menatang
teh ais dan meletakkan di hadapan Zakir. Zakir yang cuba senyum-senyum kearah
anak Pak Mat mengalih pandang dan senyum kecil kepada wajah tua berkopiah putih
yang sudah pun mengambil tempat dihadapannya.
“Kau dari mana Zack?
Berpeluh-peluh, busuk haung...” Dia meneguk dua kali teh ais yang berwarna oren
tua keruh itu lalu meletakkan kembali gelasnya di atas meja. Dulu, dia bukannya
gemar sangat minum minuman bersusu, apatah lagi teh susu. Namun sejak dia
bekerja jauh dari kampung, dia jadi gemar minum teh susu. Bila minum, dia akan
terasa dekat dengan abangnya Hadi dan
neneknya, Nek Mah. Sebabnya, Hadi terlalu gemarkan teh susu dan Nek Mah
sentiasa buatkan teh susu untuk mereka!
“Cam biasalah Pak Mat, hantar
surat. Motor pulak buat hal... tuh yang kena menapak... boss pulak cerewet,
lambat sikit mulalah telefon, pot pet pot pet....” Pak Mat mengelengkan
kepalanya perlahan. Anak muda dihadapannya ini sudah begitu mesra dengannya.
Sudah hampir dua tahun dia mengenali Zakir yang perangai gila-gila tapi baik
budaknya.
Walaupun kalau dilihat luaran, dengan rambut panjang yang
ditocang kemas, selalu melepak dengan budak-budak motor kat bengkel, selalu
juga dia mengikut budak-budak motor tu merempit, walaupun dia sendiri tidak
pernah merempit! Bermain gitar malam-malam kat depan warung, mengusik
budak-budak perempuan yang baru balik dari kerja kilang... tapi bila sudah lama
mengenali anak yatim piatu ni, Pak Mat nampak akan kejujurannya. Sembahyang pun
selalu jugak bila diperhatikan. Ye lah, balik dari kerja, sementara menunggu
Muslin habis kerja, surau stesen Petronas kat seberang jalan tu lah tempat dia,
sebelum dia bertenggek kat warung sampai pukul enam setengah. Pak Mat pasti
Zakir menunaikan sembahyang Asar sebab kopiah putih selalu saja dia nampak
terselit di tepi beg sandangnya. Jauh
beza dengan rakan-rakan serumahnya yang lain!
“Dah selesai keje ari ni?” Zakir mengangguk dan senyum
meleret kearah Mardhati, anak gadis Pak Mat Togel! Pak Mat buat-buat tidak
nampak dengan aksi dua uda dan dara dihadapannya.
“Ambilkan abang, sos!” Mardhati mengangguk dan mencapai
sos cili di meja bersebelahan lalu menghulurkan kearah Zakir, kemudian dengan
tersipu-sipu dia kembali ke bahagian dapur warung itu, meneruskan kerjanya!
Zakir senyum lagi kearah Mardhati yang kelihatannya sedang mencuri-curi pandang
kearahnya tatkala bahunya ditepuk dari belakang! Pantas, dia berpaling.
“Astagfirullahalazim... nasib baik aku tak tertelan sudu
ni,” Muslin tersengih-sengih lalu duduk disebelahnya.
“Dah siap!” Zakir mengangguk.
“Hang memang Zack, depan Pak Mat, hang tunjuk alim no,
melatah pun guna ayat sopan...” Zakir ketawa kecil sambil sempat lagi bermain
mata dengan Mardhati yang sedang menggoreng sesuatu di kuali.
“Weitt...”
“Apanya?” Muslin memandang sekilas kearah sahabat serumah
merangkap sahabat karibnya itu.
“ Jadi dak pekena malam ni?” Zakir menolak pinggan
melamin biru muda yang sudah kosong
kehadapan lalu meneguk air teh ais yang tinggal separuh itu sehingga
habis.
“Tengoklah... letihlah... esok kerja,”
“Ala... haghi-haghi gheja bro, aku pun gheja... jom arr bukan
buat pa pon, tengok je... dapat ayat sorang dua marka, kita baliklah...”
“Kau ni lah tak dak benda lain, asyik marka, marka...
malaslah... aku nak krohhhhh,” Zakir bangun, menggeliat perlahan lalu melambai
Mardhati, membuat isyarat agar mengira
jumlah harga makanannya.
“Empat ringgit bang,” Zakir senyum. Mardhati yang hitam
manis bertahi lalat di pipi itu juga
senyum. Duit dihulur dan bersambut... seperti gerakan gerak perlahan di dalam
filem, Zakir mengenyitkan mata dan melambai Mardhati yang juga sedang membalas
senyuman dengan manja... Zakir berpaling untuk pergi namun dia berpaling semula
kearah Mardhati yang juga turut berpaling dengan rambutnya yang ditiup angin
sepoi bahasa... pandangan mata Zakir seolah terpana dengan keindahan itu
lalu... kaki Zakir melangkah dan...
“Adoi!” Dia terlanggar Makcik Shamsiah yang sedang sarat
membawa beg plastik penuh dengan sayur dan buah... Berterabur barang-barang
dari dalam beg plastik... Ya Allah... bakal mak mertua...! Wajah masam mencuka
yang sedang bercekak pinggang itu memandang tajam kearahnya.
“Kutip balikkkkkkkkkkkkkk!”
HADI
Jalan bengkang bengkok tinggi rendah membuatkan dia mual.
Kepalanya pening lalu dia memberikan isyarat ke kiri dan berhenti di pinggir
jalan. Dia menyandarkan badannya ke kusyen kereta yang lembut.
“Aku salah makan ke tadi?” Dia
memicit-micit perlahan dahi dan belakang tengkuk dan beberapa kali terluah
bunyi ‘erkk’ dari mulutnya. Di tepuk-tepuknya perlahan bahu dan kepalanya
hingga mengeluarkan beberapa lagi bunyi yang sama kemudian dia memejamkan mata.
Ada sedikit kelegaan meresap namun rasa mual itu masih ada.
Jam di bawah pemain cd kereta di
kerling sekilas. Pukul 10.30 malam.
“Tidurlah sekejap,” Dia bersuara
kepada dirinya sendiri lalu mencapai telefon bimbit dan menekan beberapa butang
kemudian meletakkannya kembali ke kusyen sebelah lalu memejamkan matanya.
“Bang.... bang.... bangun
bang..... hari ni kan kita nak ke Lumut....”
Dia menggeliat perlahan. Matanya
di buka. Wajah manis tembam dihadapannya tersenyum manja.
“Abang..... dah janji kan......”
“Give me five minute, dear....” Terasa sesuatu yang lembut
menghempap ke wajahnya. Dia menolak bantal peluk yang menutup separuh wajahnya.
“Sayang....” Suara gelak ketawa
manja di nikmatinya seketika.
“Bangun.....”
“Kalau abang bangun, sayang nak
bagi apa?” Wajah yang sedang ketawa itu dirangkulnya. Satu ciuman hinggap di
pipi gebu itu.
“Ed, busuklah....” Dia ketawa besar... Begitulah selalunya. Bila marah je, panggilan
abang terus bertukar menjadi ‘Ed’, nama mesranya semasa di Universiti dulu!
Matanya di buka. Suasana gelap
di kiri kanan. Titis titis hujan membasahi cermin hadapan kereta. Dia meraup
wajah. Hujan di luar makin lebat, selebat hujan dihatinya. Dia beristighfar
seketika lalu menyeka air yang bergenang di birai matanya.
“Allahuakbar... Allah Maha Besar,” Dia meluahkan ayat keramat
yang sering dituturkannya siang dan malam. Itulah yang sering terjadi tatkala
matanya di pejamkan. Bayangan demi bayangan... Kenangan demi kenangan...
Sejalur cahaya terpancar dari
skrin telefon bimbitnya. Dia mencapainya lalu memandang nama yang tertera di
skrin. Satu senyuman terukir dibibir.
“Kau kat mana Adi?” Hadi
batuk-batuk kecil, membuang segala sebak yang terangkum di kerongkongnya tadi.
“Kat tepi jalan...”
“La... naper dok tepi jalan?
Wei, kul baper nak sampai? Nenek dok sibuk tanya nuh, tak larat nak jawab dah
aku...” Suara Zakir yang ceria, menghilangkan segala kegusaran.
“Aku terlena tadi Ker, kul baper
dah ni?”
“ Dua belas..”
“Lori barang dah sampai Ker?”
“Dah... kul 8 tadi. Sakit abih
badan aku ni angkat barang... Nenek dok pot pet pot pet...”
“Sal apa pot pet lak?”
“Yerla, tak tahu nak letak kat
mana semua tu, satu rumah kau angkut ek?”
“Mmmm... yerla, takkan aku nak
tinggal kat buyer tuh? Aku tahulah
nak letak kat mana, aku dah siapkan pelan besarkan ruang tamu ngan tambah bilik
tu. Kau ada bagitau nenek? Kalau kau bagitau, siap kau! Aku nak buat surprise.”
“Aku simpan rahsialah, cuma aku
tak tahan dengar orang tua tu membebel. Kau faham-fahamlah kan...” Mereka
ketawa bersama.
“Kau kat ner ni?”
“Mmm... dah nak masuk Gerik
rasanya...”
“Hish.... gila kau tido kat tepi
jalan cam tu... aku dengar ada ponti...”
“Dah... dah tak yah merapu... dengar
suara kau, ilang mengantuk aku, aku nak chow dah ni,” Suara gelak besar
kedengaran dari sebelah sana lalu dia senyum kemudian menutup telefon
bimbitnya. Zakir! Penyeri kehidupannya dan nenek!
Hadi
meneguk air mineral yang cuma tinggal separuh botol lalu mula memberikan
isyarat ke kanan. Dia tekad kini, untuk
memulakan kehidupan barunya!
WARDAH
“Okay, jangan lupa semua, esok
cikgu nak kamu bawak apa?” Wajah-wajah kecil yang nakal dihadapannya dipandang
satu persatu.
“Sayur-sayuran cikgu!”
“Bagus, sekarang... Danial, baca
doa,” Seorang kanak-kanak lelaki yang paling gempal di dalam kelas bangun
diikuti dengan semua kanak-kanak yang lain. Kedua tangan diangkat dan doa di
baca penuh bersemangat.
“Terima kasih cikgu!”
“Terima kasih semua,” Tanpa
perlu disuruh-suruh kesemua dua belas orang kanak-kanak berusia enam tahun itu
beratur dan bersalam lalu mencium tangannya. Bunyi bising mula kedengaran bila
mereka berebut-rebut untuk keluar dari kelas. Dia cuma senyum dengan segala
karenah yang sering menghiburkan hatinya.
“Cikgu Wada!” Wardah yang sedang
memadamkan tulisan di papan putih berpaling kearah wajah kecil yang sedang
memegang bucu baju kurungnya.
“Ada apa Mira?” Dia duduk
berlutut agar dia kelihatan sama tinggi dengan gadis kecil itu.
“Abang kat luar tu bagi,” Mira
menghulurkan surat bersampul biru lalu berlari keluar sebelum sempat Wardah
bertanya lanjut.
Wardah mula memerhati sekeliling
dan dia berjalan ke pintu kelas lalu matanya terarah kepada tiga orang pemuda
di atas motosikal di luar pagar TASKA. Dia pasti tiga pemuda itu bukanlah waris
yang datang untuk mengambil anak-anak mereka. Dia pasti kerana dia amat
mengenali mereka.
Pemuda yang berada di tengah
membuat satu flying kiss yang
ditujukan kearahnya, kemudian meletakkan ibu jari kanannya ke telinga
mengisyaratkan agar Wardah menelefonnya lalu mereka menghidupkan enjin
motosikal dan berlalu pergi. Wardah mendengus kecil lalu berjalan masuk ke
kelas dan duduk di kerusi guru. Dia kenal mereka. Rakan sekelasnya semasa
sekolah menengah.
“Tak serik-serik budak-budak
tu,” Dia mengeluh kecil lalu memasukkan sampul surat biru itu ke dalam beg
tangannya.
“Tak balik lagi Wada?” Dia
mendongak. Wajah Kak Marlini yang sedang tersenyum dipandangnya lalu mengeleng.
“Kejap lagi kak, ingat nak
kemas-kemas sikit bilik ni, esokkan cuti,” Kak Marlini mengangguk.
“Akak balik dulu, jangan lupa
kunci pintu pagar nanti ya,” Lenggok wanita berusia 34 tahun, guru besar TASKA
itu, dipandangnya hingga hilang dari pandangan. Memang sudah lumrah, hari
Khamis, Kak Marlini akan pulang awal kerana suaminya yang mengajar di
Terengganu akan balik ke sini. Jika tidak, hari-hari biasa kalau tidak
menginjak ke Asar, wanita itu tidak akan pulang. Ye lah, dia cuma bersendirian
selepas kehilangan anaknya setahun lepas akibat jantung berlubang dan sehingga
sekarang mereka masih belum dikurniakan cahaya mata lain.
Dia? Hari ini hari Khamis dan
hari ini dia akan berada lama sedikit di TASKA kerana dia tidak perlu memasak
untuk Nek Mah, jiran merangkap nenek angkatnya yang tinggal bersendirian,
kerana cucu Nek Mah yang bekerja di Kuala Lumpur akan pulang menjenguknya.
Katanya dia mengambil cuti. Kalau tidak,
hari-hari dia akan memasak bersama Nek Mah. Dia seronok kerana sambil mereka
memasak, Nek Mah akan bercerita. Dia gemarkan cerita-cerita Nek Mah, terutama
cerita tentang dua orang cucu Nek Mah yang menjadi rakannya merangkap abang
angkatnya sejak kecil. Dia tak rasa terbeban pun dengan rutin itu kerana Nek
Mah pun bukan orang lain, saudara mereka juga.
Dia cuma berdua dengan ayah. Kakaknya sudah berkahwin dan
sekarang mengikut suaminya yang mengikat kontrak bekerja di luar negara selama
empat tahun. Ayahnya peraih ikan, kalau tidak menginjak ke Asar, dia tak akan
dapat bertemu wajah itu, lagipun ayah jarang makan tengahari di rumah. Lepas
solat Isyak di surau barulah ayah akan menjamah nasi. Jadi, dari dia melangut
saja di rumah, lebih baik dia di sini, mengemas apa yang patut.
“Wada!” Dia mengenali suara itu lalu pantas saja dia
berpaling.
“A.a..awak... eh
a...bang.. buat apa kat sini?” Dadanya berdegup pantas, dia pun tidak
pasti penyebabnya.
“Nenek kata motor Wada rosak ek? Tadi Wada datang sekolah
Pak Teh hantar?” Wardah mengangguk. Lelaki dihadapannya senyum lebar.
“Bila abang sampai?” Soalnya berbasa basi walaupun dia
sudah tahu jawapannya kerana Nek Mah sudah banyak kali memberitahu tentang
kepulangan cucu bongsunya ini.
“Pagi tadi. Jom balik dengan abang,” Tanpa menunggu
jawapan balas, topi keledar dihulurkan dan dia teragak-agak menyambutnya.
Lelaki itu mencapai beg dari kain kasa
segiempat tepat yang selalu dibawa Wardah untuk mengisi bahan-bahan bantu
mengajarnya, lalu berjalan keluar dari pintu kelas.
“Abang Ker!” Lelaki tinggi lampai berambut separas bahu
yang ditocang kemas dan cuma berseluar paras lutut dengan kemeja pagoda putih
lengan pendek itu berpaling.
“Err.. Saya kunci pintu dulu,” Lelaki itu mengangguk dan
melemparkan senyuman yang membuatkan Wardah tak tentu arah. Perlukah dia
membonceng motosikal dengan lelaki itu?
Nanti apa kata orang kampung? Dia kan gadis sunti? Lelaki tu pulak teruna
sunti? Bukan muhrim pulak tu? Ahh... tak semena segaris senyuman terbit dari
bibirnya. Dia rasa bahagia!
0 ulasan:
Post a Comment