Hati Seorang NurAin!

Ni namanya cerpen ala-ala skima gituh.... cerpen ala-ala budak baiklah......
Sebenarnya saya buat cerpen ni sebab kawan suruh buat untuk masukkan dalam majalah sekolah. Jadinya, kenalah buat ayat-ayat sopan sebab student2 nak baca. Tapi bab 'hati' tu mestilah buh jugak, barulah ada feel! Cerpen ni ada dalam majalah sekolah SMK Dato' Jaafar Hassan tahun 2006 kot ke 2007, lupa dah....
Cerpen cikgu cikgilah katakan.... LAYAN!!!!


HATI SEORANG NUR AIN

            Aku melangkah selaju mungkin, tanpa menghiraukan ucapan salam pelajar-pelajar yang berselisih denganku. Ada air yang mula tumpah, semakin gugur mencurah-curah.... air yang ku tahan dari mengalir semasa di bilik Pengetua tadi. Setabah seorang  insan bernama Nur Ain, air yang sedari tadi bergenang, gugur jua.
            “Kenapa Ain?” Tanpa memandang kearah yang empunya suara, pintu tandas ku tutup pantas dan segala  yang terbuku di dada, ku keluarkan semuanya... tanpa tertinggal walau sedikit!
            Aku hormati dia sebagai ketua institusi, aku sanjungi dia dan aku jadikan dia idola dalam hidupku! Bukankah dia yang selalu mengambil  berat tentangku, yang memujiku semasa mensyuarat guru minggu lepas? Cikgu yang rajin, berdedikasi, seorang contoh guru muda yang berkorban tenaga untuk pelajar-pelajarnya, berkorban masa luang, berpotensi untuk pergi lebih jauh... tapi mengapa? Hanya kerana khabar angin yang tidak tahu hujung pangkalnya, aku diperlakukan seperti pesalah? Aku di katakan sebegitu rupa? Adakah kerana status diriku? Dan khabar angin itu...... Cikgu Aidil Azri......
           
“Kenapa cikgu Ain?”             
“Tayar pancit pulak!” Aidil Azri menghampiriku. Dipandang sekeliling, tiada pelajar atau kakitangan sekolah yang kelihatan. Jam dijeling sekilas, 7.10 minit petang. Dahinya yang berpeluh diseka dengan lengan baju. Hatiku mula tak tenteram. Waktu senja, berdua dengan cikgu Aidil Azri yang menjadi kegilaan pelajar kerana wajah tampannya... Ahhh... aku juga yang silap, menaip soalan peperiksaan hingga tak sedar hari dah lewat! Ku pandang bersahaja jejaka 31 tahun yang agak resah. Berseluar pendek dan baju T yang nampak basah, berpeluh kerana bermain bola sepak, ‘seksi’ juga... fikiran nakalku membuat tafsiran..... tapi, apa yang dia buat di depan makmal komputer? Padang sekolah, selang tiga blok dari sini?
            “ Saya ambil CD chemistry ni, nampak cikgu Ain sorang-sorang, musykil juga!” Aku angguk bersahaja, terlupa pula yang Aidil Azri cikgu kelab komputer, kunci makmal komputer  dia ada pegang satu set.
            “Tayar spare ada?” Aku mengelengkan kepala.
            “Kelmarin saya basuh kereta luar dan dalam, habis semua saya buang, dengan tayar spare sekali, tak apalah nanti saya call Mira,” Aidil Azri mengeluh perlahan... dan matanya memandang kearah mentari yang memerah di ufuk barat.
            “Saya hantar, gelap dah ni... bahaya. Kereta, saya park kat tepi padang, jom!”Dia melangkah mendahuluiku. Kalau aku telefon Mira, mau setengah jam baru sampai..... langkah Aidil Azri mula ku turuti, menuju kearah ‘Vitara’ biru gelap yang kelihatan samar-samar di senja yang semakin tiba ke penghujung.

Itu cerita hampir setahun yang lalu, ketika  aku baru bertugas di daerah ini, dan hari-hari yang ku lalui, hanya sapaan ringkas dan senyuman yang menghiasi diari pertemuan kami secara kebetulan, itu pun kerana kami sama-sama menjadi ‘penjaga’ kepada makmal komputer! Kenapa baru sekarang kisah itu di bentangkan kembali? Salahkah aku menerima pertolongan ikhlas itu?
            “Ain.. Ain... buka pintu ni,” Aku mengesat air mata dengan tisu yang sentiasa ku sediakan di dalam beg tanganku. Pintu tandas ku buka.
            Wajah Kak Mariati, Kak Hajar, Wan Su, Mira, Rozi dan Safariza muncul dihadapanku.
            “Kenapa Ain?”           
“Puan Zadariah marah engkau ke?”   
“Pasal hal apa?”         
“Ain, kongsilah dengan kami...” Bertubi-tubi pertanyaan hinggap ke gegendang telingaku. Aku cuma mengeleng.....             
“Ain...”           
“Tak ada apa-apa...” Dan wajah-wajah itu mengeluh tidak puas hati.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         

            Aku bukan sengaja tidak mahu bercakap dengannya, mahu pun tidak membalas senyumannya, apatah lagi untuk membenci dirinya yang telah ku senangi dalam diam, tapi... antara aku dan dia seolah-olah ada jurang yang dalam, apatah lagi dengan gosip dan pandangan warga sekolah terhadapku, walaupun aku tidak tahu siapa yang membawa mulut tentang kami!          
“Ok kelas, minggu depan hari Isnin, sebelum pukul 2, saya nak semua folio Kerja Projek Matematik Tambahan, ada di atas meja saya, faham?” Aku memandang wajah pelajarku seorang demi seorang. Wajah resah, gundah, risau, senyum sinis, semuanya bercampur baur.
            “Kalau tak siap cikgu?” Wajah Sufri Amirul yang  sering tidak menyiapkan kerja sekolah dan kerap menerima hukuman denda berdiri atas kerusi, jalan itik dan membuat kerja sekolah di luar kelas itu, ku pandang tajam. Dia menundukkan wajah, mungkin kesal atas keterlanjurannya tadi.
            “Jawapannya, minggu depan, bilik Pengetua akan jadi kelas awak!” Aku melangkah keluar tanpa mendengar ucapan terima kasih dari pelajar-pelajar. Hatiku tiba-tiba panas. Aku beristigfar seketika, maafkan cikgu anak-anakku.....
            “Cikgu Ain!”              
“Ya Allah!” Buku-buku latihan  yang berselerak dihadapan tangga cepat-cepat ku ambil tanpa memandang wajah orang yang memanggilku, kerana suara itu sudah terlalu aku kenali!
            “Tak payah susah-susah tolong saya,” tangan yang baru saja mencapai sebuah buku latihan pelajarku dengan niat menolong, terhenti tiba-tiba. Dia bangun, berpeluk tubuh dan memerhatiku. Sungguh aku tidak suka dengan situasi ini!
            “Cikgu Ain, can we talk?” Dua tiga orang pelajar yang melintasi kami, tersenyum-senyum penuh makna.
            “Tak boleh!” Cepat-cepat aku melangkah meninggalkannya tapi bisikan kecil itu masih dapat aku dengari.
            “Pukul 5.30, Restoran Cempaka, saya tunggu!” Ya Allah, dia masih tak faham-faham lagi ke? Jiwaku memberontak walaupun jauh disudut hati ada rasa yang ingin bertapak!
 ************************************************************************

            “Minta perhatian semua!” Semua wajah yang ada di dalam bilik guru memandang kearahku. Tabahlah hati.....
            “Assalamualaikum! Banyak cerita yang saya dengar tentang diri saya yang saya sendiri tidak pernah dengar dan tidak tahu pun sebenarnya. Jadi kalau boleh, jumpalah sendiri dengan saya, tanyalah saya dulu sebelum bercerita tentang saya kepada orang lain. Tolong hormati saya sebagai insan!” Air yang bergenang ku tahan dari jatuh namun ianya gugur jua. Terlalu berat beban ini, Ya Allah!
            “Terima kasih!” Suasana riuh bertukar sunyi. Terlalu sunyi! Aku mengambil buku-buku di atas meja, menggalas beg tangan dan melangkah laju, tanpa menghiraukan panggilan rakan-rakan yang bersimpati! Ya Allah, tabahkan hati insan yang kecil ini!
            “ Cikgu Ain,” Cepat-cepat ku seka air yang masih bersisa dipinggir mata sebelum memandang kearah pelajar yang memanggilku.
            “Pengetua nak jumpa cikgu, sekarang!” Ada debar yang bertapak. Ada degup yang semakin berombak. Apa lagi kali ini?
            “Cikgu Ain, sila duduk!” Aku hanya mengangguk! Wajah dihadapanku tidak seserius yang aku jangkakan.
            “Ada apa cikgu?” Puan Zadariah memandangku dan kemudian senyum kecil, lalu menghulurkan sekeping surat yang separuh berlipat.
            “Cikgu Ain, ditangkap berkhalwat!” Ya Allah! Siapa yang tulis ni? Siapa yang menjaja cerita yang langsung tiada kebenarannya? Ya Allah...........
            “Cikgu Ain...... cikgu ok ke?” Pandanganku mula berpinar...... wajah Puan Zadariah berbalam-balam....... kelam..........hitam!
************************************************************************
            Kelopak mataku terasa amat berat tapi suara yang sayup-sayup menyapa telingaku, membuatkan aku terus mencuba mengangkat kelopak mataku yang seperti ditindih-tindih itu.
            “Ain, berehat dulu...” Puan Zadariah? Kak Salmi, kerani pejabat sekolah? Mira? Kak Hajar? Aku memandang sekeliling............ bilik pengetua? Apa yang terjadi? Kepalaku berdenyut, ada plaster yang melekap di dahiku.
            “Ain pengsan tadi, jatuh terkena kerusi, ada luka sikit kat dahi,” Mira merungkaikan pertanyaan di minda, satu persatu lembaran tadi meresap ke benakku. Surat itu?
            “ Ain ok ke?” Aku mengangguk lalu bangun dari sofa, menyarungkan tudung dan memandang tepat kewajah dihadapanku seolah menunggu hukuman yang akan dijatuhkan.
            “ Saya rasa baik kita selesaikan semua ini secepat mungkin sebelum ada hal lain yang akan timbul lagi,” Semua mata yang ada memandang tepat ke wajah Puan Zadariah.
            “Ini surat layang, saya rampas dari  beberapa orang pelajar. Surat ini sudah di fotostat dan diedarkan oleh seseorang, yang sengaja ingin menjatuhkan cikgu Ain dan cikgu Aidil Azri,” Dadaku terasa berombak hebat...... menghempas ke lantai jantungku, memulas-mulas ke tangkai hatiku...........
            “ Surat ini fitnah! Kita dah dapat tangkap makhluk tu, semua ini kerana cemburu!” Bila Puan Zadariah menyebut ‘makhluk’, itu tandanya dia sangat marah!
            “Jangan bimbang Ain, saya dah siasat semua ni, awak dan Azri tak bersalah! Awak boleh balik berehat,”            
“Tapi cikgu, siapa?”               
“Saya akan umumkan nanti, dalam perhimpunan!” Aku menggangguk walaupun tidak puas hati! Dan hari itu aku pulang awal........... tidur! Dan aku bermimpi......... indah......... ada wajah seseorang yang amat aku sayangi, amat aku rindui.......... walaupun realitinya ia sudah lama hilang.......
************************************************************************
            “Cikgu Ain, saya minta maaf kerana sebelum ni, saya salah sangka terhadap cikgu,” Puan Zadariah menghulurkan tangannya, lalu ku sambut tanpa dendam yang berbekas, selepas mendengar pengakuan dari pelajar, yang cemburukan hubungan baikku dengan Aidil Azri. Suhana, pelajar tingkatan 6 atas, mengaku membuat surat layang serta menyebarkan fitnah terhadap kami, sudah pun mengisi borang pertukaran sekolah. Semuanya gara-gara kemaruk cinta dengan guru! Cinta yang tak berbalas!
            “Saya minta maaf kerana mengungkit status Ain. Setahun yang lepas, selama lebih 10 tahun, status itu jugalah yang saya pegang, sebelum saya diketemukan dengan ayah Azri!” What? Wajah Aidil Azri disebelah, ku pandang sekilas. Aidil Azri, anak tiri Puan Zadariah? Wajah itu menggangguk seolah faham dengan apa yang bermain di mindaku!
            “ Terlanjur kita bertiga di sini, boleh tak saya bertanya?” Kenapa dengan Puan Zadariah ni? Pelik betul bunyi ayat yang disusun!
            “Tanya apa cikgu?” Puan Zadariah senyum, Aidil Azri juga senyum tapi....... ada kelainan dalam senyuman itu.....
            “Boleh tak keluarga Azri bertandang ke rumah keluarga Ain hujung minggu ni?”
            “Rumah keluarga saya kat Kelantan cikgu, nak buat apa?” Sesuatu mula terlintas.................... Azri? Aku? Wajah Azri ku pandang sekilas, namun kali ini mata itu tajam merenungku. Puan Zadariah hanya senyum.
            “Untuk merapatkan hubungan keluarga kita, dan kita,” Puan Zadariah tergelak kecil atas keberanian ucapan Aidil Azri....... aku pasti pipiku merah, wajahku merah...... dan hatiku juga merah......... seperti ada anak panah yang baru melekap di situ......... dan untuk pertama kali selepas tiga tahun, aku mula merasai kembali apa yang aku rasa semasa bersama arwah suamiku, yang hanya sempat mencium dahiku di hari pernikahan kami..........Abang..... Ain rindu......................

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails