air asam limpa, kurma daging dan kerabu pauh

HARI JUMAAT!
Saya kalau hari jumaat memang wajib ke pasar dan memasak. Yelah kan, hari-hari kerja tu ma dah masak untuk kami, takkan hari cuti, nak suruh ma masak lagi. Memang tak kenang budilah kan... eheheh.

Pasar Berek 12... 'one sweet day' saya akan tunjuk kat sini rupanya pasar berek 12 yang memang sinonim dengan penduduk2 sekitarnya. Sejak kecil lagi, saya didedahkan dengan pasar berek 12. Semua ada, dari daging, ayam, ikan, udang, sayur, santan, barang runcit, nasi berlauk (rasanya ada 9 tuan nasi berlauk pagi kat pasar ni saja), lompat tikam (memang the very best), teh ais makcik Jarah (Kalau pergi pasar tak beli memang tak sah), buah-buah, baju, beg, semua adalah. Oh, lupa pulak, abang yang jual santan. Sebabnya ma memang tak percayakan santan orang lain. Kalau santan abang ni memang gerenti tak akan masam punya! Abang jual santan ni dok kat belakang, kalau lambat sikit memang kena beratur panjanglah. Macam tadi, mujurlah saya pesan awal2, 4 kg, sebab lepas saya membeli barang dapur, dah panjang dah barisan, saya pun dengan bangganya melintas barisan itu (sebab dah order awal2kan)... hahahha

Hari ni nak masak semua daging dan apa saja yang ada dari badan lembu yang jadi stok kat rumah. Ma kata kita kena masak semuanya sebab Ahad ni nak korban dah mesti banyak daging nak letak dalam freezer. So, ini masakan untuk hari ini.
1) Air asam limpa + daging
2) Kurma daging
3) Kerabu pauh ala siam
4) Ikan keli goreng (wajib untuk Cupie, dia memang gemar sangat)

Jom kita jenguk resepinya

air asam limpa
 Air asam limpa

BAHAN-BAHAN:
                   ¼ kg limpa lembu di potong dadu besar
                   3 cawan air
                   Garam dan serbuk perasa
                   Bawang goreng
                   Cili hijau/ cili padi
                   Perahan air limau nipis

CARA MEMBUATNYA:
1.     Rebus limpa dengan air sehingga betul-betul empuk. Tambahkan air jika limpa masih belum empuk.
2.     Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
3.     Semasa menghidang, taburkan bawang goreng, cili yang dipotong kecil dan perahan limau nipis

**
Kata mama, arwah nenek iaitu ibu abah, sering masakkan untuk keluarganya sebab tu abah begitu gemarkannya. Air dari rebusan limpa dicampurkan dengan perahan limau nipis.... marvellous

Kurma Daging Tok Ma

KURMA DAGING TOK MA

BAHAN-BAHAN:
          ½ kg daging di potong sebesar tapak tangan
          1 sudu besar rempah 4 sekawan
          4 biji bawang merah
          2 ulas bawang putih
          1 inci halia
          ½ kg santan
          2 sudu teh air perahan limau nipis
          2 biji kentang dibelah empat
          1 biji bawang besar dibelah dua
          2 biji cili hijau
          Satu peket rempah kurma Baba’s dibancuh dengan sedikit air
          Minyak untuk menumis
          Garam dan gula

CARA MEMBUATNYA:
1.     Panaskan minyak. Masukkan rempah 4 sekawan(bunga lawang, kulit kayu manis, cengkih dna buah pelaga)  dan bahan yang dimayang halus. Goreng hingga wangi
2.     Masukkan rempah kurma dan masak hingga pecah minyak dan betul-betul garing dengan api kecil.
3.     Masukkan daging dan kentang. Biarkan seketika.
4.     Masukkan santan, air perahan limau nipis, bawang besar, cili hijau, garam dan gula. Masak hingga daging dan kentang empuk.
**
Ini antara lauk nasi minyak yang selalu saya masakkan semasa rumah terbuka disamping acar, dalca serta ayam masak merah. Walaupun saya sering masakkan lauk ni tapi bila dibandingkan dengan masakan dari air tangan mama, tak boleh lawan lagi!



Kerabu pauh

KERABU PAUH ALA SIAM
BAHAN-BAHAN:
          1 biji mempelam muda/ separa masak
          2 biji tomato di potong 8
          3 biji cili padi
          1 biji cili merah                                                        
          5 biji bawang kecil
          2 sudu udang kering di goreng tanpa minyak dan di tumbuk
          2 sudu sos ikan
          Segenggam kacang tanah digoreng dan ditumbuk kasar
          Garam dan gula secukupnya

CARA MEMBUATNYA:
1.     Parut/ potong halus memanjang mempelam. Cili padi, cili merah dan bawang kecil di potong halus.
2.     Masukkan semua bahan di dalam bekas dan gaul rata. Jika buah mempelam kurang masam, boleh perahkan sedikit limau nipis.
**
Semasa mengajar di Perlis, saya menetap di rumah guru dan belakang rumah ada sepohon pokok pauh sala yang berbuah tak kira musim. Buahnya besar dan lebat sangat. Setiap kali keluarga datang bertandang, itulah buah tangan yang saya berikan. Setiap kali itulah juga saya akan menjamu mereka dengan kerabu pauh ala siam!



0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails