pen drive yang dah lama tak bukak.
Fail 'Cerita teehah'. Lupa pulak yang memang saya save semua cerpen kat situ. Ish, dekat sejam lebih jugak dok
baca balik citer2 lama tuh.... tingat zaman muda2. Tingat zaman ngorat ngan arwah abah Cupie dulu. Hehehe
Masa bercinta semuanya indah kan.. kan.. kan..
Cupie n arwah abahnya. Rasanya ni last cupie amik gambar ngan Abah dia... |
Sebenarnya nak cerita tentang satu cerpen saya ni, cerita pasal manusia 'dua alam' yang akhirnya insaf!
Sebenarnya masa tertulis cerita ni, saya teringatkan kawan-kawan kat USM especially masa first year, masa tu kami ke kampung angkat di Kuala Gali, Pahang. Teringat dekat 'Syuk', 'Izhar' and kawan2 lain yang digelar lelaki lembut. Saya sebenarnya senang berkawan dengan mereka. Mereka ni berterus terang dan kita pun tak malu bila bersembang pasal2 pompuan ke, boifren ke.... tapi dalam hati ada gak perasaan dan doa yang dititipkan agar mereka tidak terpesong jauh. Ke mana ya mereka sekarang. Rindu jugak nak bercerita nih...
Harap2 dapat pengajaran dari cerita ni ya. Selamat membaca!
DIA…
Kata orang kita tidak boleh melawan takdir. Apa saja yang hadir kita mesti terima walaupun ianya pahit! Sejauh mana kita berusaha pun, kalau Tuhan tidak izinkan ia tetap tidak berhasil. Kalau sesuatu yang kita hajati, kalau Tuhan izinkan, pasti kita akan dapat juga walaupun selama mana kita tunggu, yang penting usaha itu perlu diteruskan. Itu yang selalu aku lafazkan setiap kali ada yang datang mengadu!
“Pia, ang buat pe lagi tu?”
“Yer la.... kejap!” Aku mencalit sedikit lipstik merah tua agar bibirku tidak nampak terlalu kusam. Bedak two way cake Nutri metics ku tampok-tampokkan sedikit ke bahagian yang ku rasakan tidak rata di wajahku.
“Woi Minah, kita bukan nak pi merenyam... kita nak pi pasar malam!”
“Kalau kau tak menjerit boleh tak?” Aku mengambil topi keledar yang dihulurkan.
“Aku dah tepon hang setengah jam lepaih kan... before kelaih aku abih?” Aku mengangguk walaupun aku pasti dia tidak nampak kerana aku sudah pun memanjat tempat duduk belakang motosikal Suzuki Best kepunyaannya.
“Woi, ang dengarq tak apa aku kata tadi?”
“Dengar......”
“Abih, yang hang sengap je sai pa?”
“Aku suka dengar kau membebel..... macam dengar lagu rap pulak!”
“Woiii....” Ketawa kami yang kuat mengalahkan bunyi enjin motosikal yang menderum sederhana laju melalui sederetan rumah banglo dua tingkat, menuju ke Pasar Malam Gelugor.
Aku meraup wajah seketika. Ada air yang mengalir di pipi, ku seka pantas. Kenapa aku perlu menangis? Kalaulah dia empunya diri begitu tabah, kenapa aku menjadi lemah?
“Hang tahu tak?”
“Kalau kau tak bagitau, macam mana aku tau....”Aku mengambil epal hijau dari tangannya yang sudah separuh digigit lalu membawanya ke mulutku.
“Aku rasa Midi tu macam suka kat aku je...”
“Midi mana pulak?” Aku melangut memandang wajah yang gebu dan langsung tidak berjerawat itu. Bukan seperti aku, dalam sebulan, mesti ada jerawat baru yang tumbuh, terutamanya bila saat-saat kedatangan haid, simpton pra haid.
“Ala.... jantan tinggi kuruih kediang yang dok kat apartment depan gate Sungai Dua depan USM tu..... yang baru grad tahun lepaih..”
“Yang mana satu ni?” Ku suakan kembali epal kepadanya yang sedang memintal-mintal rambut ikalnya yang mencecah bahu. Mata beralis lentik itu ku pandang lagi.
“Ish ang ni lah.... kan minggu lepaih aku ada cerita kat hang dia ajak aku pi Sunshine Square.... ala yang tak berapa handsome tu lah....” Aku memandang sekilas ke arah wajah bujur sireh dihadapanku.
“So, kalau dia ajak kau keluar kira dia suka kat kau lah? Kalau macam tu, semua lelaki yang pernah ajak aku keluar suka kat akulah... ya?” Dia menarik wajah lalu bangun berjalan kearah sinki di kafetaria Desasiswa Indah.
“Merajuklah tu....” Dia kembali duduk dihadapanku dengan wajah mencuka.
“Buruklah buat muka cam tu.... aku bukan apa, tak mau kau terjebak!” Dia diam..... aku menghabiskan epal hijau yang masih tinggal suku.
“Hang lainlah Pia, aku ni lain.....”
“Lain apa nya? Aku manusia, kau manusia... sama je kan?” Aku menjeling sekilas kearahnya. Beberapa orang yang melalui meja kami biasanya akan berkalih pandang dua kali. Begitulah setiap kali kami ke mana sahaja. Itu sudah menjadi kebiasaan dan aku tidak rasa ralat sedikit pun!
“Macam ni lah Zack, kau lupakanlah mana-mana lelaki yang cuba nak dekat dengan kau... aku tahu mereka tak ikhlas! Aku takut mereka akan ambil kesempatan... aku sayangkan kau Zack... kau kawan baik aku.....”Aku menggenggam tangannya sebentar, lalu ku lepaskan perlahan. Ada air yang bertakung dibirai matanya.
“Sori Zack...’
“Aku tahu... sebab tu aku senang kawan dengan hang....”
“Cheer up... tua-tua menangis... buruk ngat eh... abih maskara ngan eye liner... tulah pakai yang murah, tak water proof....” Wajah itu senyum dan barisan gigi yang putih tersusun kelihatan amat manis sekali.
“Sofea...” Aku menutup album yang pernah merakam persahabatanku dengannya lebih lima belas tahun lalu di Universiti. Kenangan itu mula terbang...
“Pukul berapa kawan Pia sampai kat KLIA?”
“Pukul 4.30 mak,”
“La... sekarang dah pukul 3 lebih... tak siap lagi ke?”
“Ler... tak perasan pulak....” Pantas aku bangun dari sofa dan berlalu ke bilik. Emak hanya mengelengkan kepala. Begitulah aku sejak mendapat telefon dari dia tiga hari lepas, mengatakan dia akan pulang ke Malaysia. Sungguh aku merindui wajah itu, suara yang bercakap tanpa henti dengan loghat Kedah pekat, senyuman dari bibir yang dicalit pelembab warna senada warna bibir, hidung mancung yang sering ku picit tatkala dia lambat mengambilku dihadapan bilik kuliah.. Ahhh... aku rindu zaman itu Zack!
“Pia... aku kena pi malam ni jugak...”
“Naper?” Aku mengerdipkan mata beberapa kali dan menutup mulutku yang sedang menguap. Pukul 2 pagi, dia mengetuk pintu rumah sewa menyebabkan semua penghuni terjaga. Nasib baiklah semua rakan serumah sudah begitu mengenalinya lalu membiarkan saja aku berbicara dengannya di ruang tamu. Pintu rumah dibiarkan terbuka luas, takut mengundang fitnah.
“Kau nak ke mana ni?”
“Aku nak pi oversea!”
“Ya Allah... kau dah gila apa? Nak buat apa? Kan masih ada dua sem lagi study kita? Kau jangan buat kerja gila Zack....”
“Aku kena pi gak... Midi akan support semua... dia baik Pia... Aku sayang dia.... lagi pun aku dah tak dak apa-apa lagi... aku nak bagi lupa semua derita,”
“Derita apa ni Zack? Aku tak faham?”
“Mmm... tak dak apa.... aku nak ikut Midi!”
“Ya Allah.... kau dah gila ke?” Aku terjelepok di atas kerusi malas. Kenapa sampai begitu tindakan kau? Kau langsung tak ingat Tuhan...
“Hang tau kan... famili pun dah buang aku... aku tak dak sapa-sapa dah kat dunia ni... aku mesti pi gak Pia.... ni saja cara aku nak capai impian aku...” Aku hanya diam... bibirku seolah terkunci...
“Abih tu... kau dah buat keputusan kan? Yang kau jumpa dengan aku kenapa? Kalau aku halang kau pun, kau pergi jugak kan? So... kau pergilah....” Aku bangun dan jari telunjuk ku arahkan ke pintu rumah. Api amarah sudah menular ke hatiku.
“Janganlah macam ni Pia... ang je kawan aku dunia akhirat...”Aku lihat dia sudah menangis..... dan mataku juga sudah tidak dapat membendung air yang bertakung!
“Sofea.... hang jangan buang aku dari hati hang....”tanganku diraih namun ku tarik pantas. Kenapa begitu cetek fikiranmu... kenapa kau terlalu mengikut kata hati....
Proton Satria GTI warna silver yang dipandu Hamidi meninggalkan halaman rumah sewa dua tingkat ditepi pagar pintu ketiga, Gelugor, Universiti Sains Malaysia. Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata. Seolah separuh dari hatiku hilang... Pagi esoknya, tutorial komputer CAD ku hadiri dengan mata bengkak!
“Kawan mama masih cantik macam dalam gambar tu lagi, tak?”
“Hah?” Terbang wajah dia yang sedang memandangku dengan mata penuh kesayuan tadi. Amira disebelah ku pandang dan tersenyum tanpa menjawab pertanyaannya. Gear ku gerakkan ke huruf P. Lampu Isyarat di hadapan Shell Jalan Reko, Bandar Baru Bangi, menunjukkan ke warna merah.
Aku menggosok-gosok perlahan rambut hitam lebat anak perempuan tunggalku. Gadis sunti berusia tujuh tahun itu hanya tersenyum, membalas.
“Dah lama ke mama tak jumpa dengan kawan mama tu?”
“Lama dah sayang... lebih lima belas tahun... “
“Patutlah Mira pun tak pernah jumpa kawan mama tu kan?”Aku hanya tergelak kecil.
Kali terakhir aku bercakap dengan dia ialah lima tahun lepas, semasa aku bergaduh besar dengan papa Amira. Kebetulan waktu itu dia menghubungiku dari US, setelah lebih sepuluh tahun menyepi. Katanya, dia mendapat nombor telefonku dari emak di kampung. Tiga jam aku bercerita dan menangis kepadanya. Tak tahulah berapa ratus bil telefon yang perlu dia bayar namun yang pasti aku mendapat ketenangan selepas itu. Aku seolah mendapat kekuatan dan semangat baru. Besarnya impak kembalinya kau dalam hidupku Zack!
Dua bulan kemudian aku memegang status ibu tunggal sehinggalah sekarang. Aku bersyukur kerana aku tidak perlu lagi menderita dengan deraan mental dari bekas suamiku yang mengikut sahaja telunjuk ibunya. Sebelum itu aku begitu takut untuk memegang status ibu tunggal. Lebih-lebih lagi di bandar besar, penuh dengan pahit getir kehidupan. Poskad, surat-surat dan emel darinya sentiasa menjadi pedoman kehidupanku. Pengalamannya di sana, bersendirian..... ahh... tiada insan setabah dia!
“Hang tahu Pia.... kenapa aku ikut Midi jugak malam tu?” Masih ku ingat bait-bait ayat semasa kami berchatting selepas sahaja aku sah bercerai dengan ayah Amira.
“He saved me!”
“Save? Selamatkan kau dari apa?”
“Dari rakan-rakan serumahnya.... aku cuba lari.. tapi mereka pukul aku, sepak, terajang... dan.. aku kena raped!”
“Raped? You mean... li..”
“Ya, Pia. Sakitnya, peritnya, sampai sekarang aku dapat rasa...” Ya Allah.... aku hanya terkedu tanpa kata. Jemariku terpaku di papan kekunci lap top! Deritanya hidup kau Zack. Sekurang-kurangnya aku ada emak untuk berkongsi masalah dan mengadu!
“Tapi Pia... Midi pun dah tinggalkan aku.. dah lebih 5 tahun... aku sorang-sorang Pia... betapa sukarnya aku disini....”
“Kau dan dia....”
“Kami memang hidup bersama Pia, bina kehidupan, tapi hubungan kami tak akan sampai ke mana.... last-last dia insaf, balik Malaysia, mak bapak dia suruh kahwin... dia ajak aku balik tapi buat apa.... aku kecewa Pia... tapi aku bangkit kembali.... aku masih ingat nasihat hang.....”
“Kau tak insaf?” Lama juga dia diam tak membalas.
“Entahlah Pia.... kau doa je lah aku...” Aku selalu mendoakanmu Zack!
Aku memarkir kereta di aras 4 bawah tanah. Jam di tangan menunjukkan ke angka empat empat puluh lima minit petang. Aku memimpin tangan Amira dan berjalan pantas ke lif yang kebetulan terbuka.
“Mama.... Mira haus....” Aku menggagau air mineral dari beg tanganku
“Mira minum air ni dulu, nanti kita makan dengan kawan mama, ok sayang?” Amira yang tidak banyak karenah hanya mengangguk dan menyambut air mineral dari tanganku.
Aku membetulkan kain tudung yang sedikit senget dek tali beg tanganku. Balai menunggu kelihatan agak tenang. Aku mencari sebuah wajah yang amat ku rindu namun tidak kelihatan. Masih ku ingat lagi wajah bujur sireh bermata bundar, beralis lentik, kening yang di lukis rapi, hidung mancung, bibir mungil dengan gigi tersusun cantik. Ada parut kecil di dagu yang selalu dilindunginya dengan bedak. Kesan parut sewaktu kecil, jatuh basikal katanya. Rambut yang hampir mencecah bahu, dahulunya diwarnakan coklat tua.... walaupun berkali ku marahi.... Tubuh tinggi lampai yang tegap, sering berseluar jeans dan berblaus warna kosong.
Aku duduk di kerusi yang disediakan. Penerbangan ditunda rupanya! Itu yang ku dengar dari bicara dua orang mat salleh yang sedang menunggu ketibaan anaknya.
Aku melepaskan keluhan kecil. Amira sudah pun terlentuk di bahuku. Kasihan anakku.... lalu aku mencium dahinya tatkala ada satu tangan menyentuh bahuku. Pantas aku mendongak.
Seorang lelaki pertengahan 30-an, berkumis tipis dan berjanggut sejemput. Rambut di potong ala Mawi. Tubuh tinggi agam itu ku pandang penuh tanda tanya.
“Zarith Sofea...........” Ya Allah! Kiranya engkau memakbulkan doaku selama ini.....
“Pia.... awat? Tutup mulut hang tu!” Lelaki itu duduk disebelahku. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja aku memeluk tubuh itu, mencium wajah itu.....
“Zack.... Zakri.... “
“Akulah ni.....”
“Kau.... kau lain sangat Zack!” Aku tidak tahu ayat apa lagi yang patut ku tuturkan. Ada sinar di matanya.
“Ang pung dah berubah Pia... dah gemuk! Kalau tak kerana tahi lalat tepi bibir tu aku tak cam dah....” Dia gelak besar. Amira yang terkejut dengan suara itu menggosok-gosok matanya.
“Mama... kawan mama dah sampai ke?”
“Ni lah kawan mama.... salam uncle Zack!” Amira menurut tanpa banyak karenah lalu memandangku penuh persoalan.
“Bukan ke dalam gambar yang mama tunjuk tu... kawan mama perempuan?”
“Itu dulu...”
“Mana kau buang semua make-up kau?”
“Ke dasar lautan!” Sumpah! Sedikit pun tiada lenggok suara lembut yang di buat-buat yang sering ku dengar dulu.
Aku memandang lelaki itu yang berjalan mengheret dua buah beg besar, meletakkan dihadapanku dan duduk di sebelahku. Sumpah! Sedikit pun tiada lenggok jalan gemalai dan hayunan pinggul yang sering ku lihat dulu. Perfect lelaki!
“Patutlah aku mintak gambar kau tak bagi.... nak surprisekan aku....” Walaupun terasa agak kekok sedikit, tapi ku cuba bersuara seolah-olah seperti dulu.
“Hang tahu kenapa aku balik Pia?” Aku hanya mengelengkan kepala.
“Hang masih tak buang aku dari hati hang kan?” Aku mengangguk.
“Cuma hang yang tak pernah buang aku Pia.....” Aku diam dan hanya memandang wajah yang ada sedikit tanda hitam di dahi. Tidak dapat ku gambarkan betapa bersyukurnya aku dengan perubahan besar ini.
“Aku ada segalanya Pia.... butik aku kat sana... bisnes aku semuanya okay... aku dah kenal banyak jenis manusia Pia... tapi hati aku kosong... jiwa aku kosong......” Aku hanya menjadi pendengar yang setia, seperti dulu!
“Akhirnya Tuhan bagi hidayah kat aku.... Tuhan bukakan pintu hati aku.... aku dah buang semuanya Pia.....”
“Alhamdulillah... itu yang selalu aku doakan untuk kau Zack.....” Dia senyum. Barisan giginya masih tersusun elok. Masih ku ingat kata-kata kak Ida, rakan serumah sewaktu dahulu,
“Budak Zack tu kalau jadi jantan balik, handsome giler...!” Aku senyum sendiri lalu mengesat genangan air ditubir mataku. Terima kasih Tuhan!
“Hang tahu kenapa aku balik Piar?”Soalan yang diulang kali kedua. Aku mengeleng, juga untuk kali yang kedua.
“Aku nak nikah dengan hang... “ Mata itu memandang dalam ke anak mataku. Aku diam... Lima belas tahun dahulu, lelaki ini pernah berkata kepadaku....
“Aku mungkin akan kahwin.... tapi tak akan nikah.... kecuali dengan hang, Zarith Sofea!”....... Wajah dihadapan, ku pandang seketika...... Senyuman kami bersatu..... Seolah separuh hatiku yang hilang lebih 15 tahun lepas kini ku temui kembali!
0 ulasan:
Post a Comment