Asyik makan nasi bungkus jer... bukan apa, malas! Hari ni dah kembali perasaan nak memasak. Bukak2 frizer ada kaki lembu yg beli dekat adik lelakiku, AyahNgah si Cupie tu, daging tetel pong ada lagi... ikan tenggiri pong ada lagi, tapi frozen punyerlah.... mmmm bolehlah... Fikir2 punyer fikir, terjadilah resepi ini....
1. Sup kaki lembu
2. Ikan tenggiri masak asam
3. Telur bungkus
4. Ulam timun n sambal belacan!
Kena masak awal hari ni sebab kejap lagi ma ajak gi melawat orang sakit. Besar pahalanya kalau kita melawat orang sakit ni... yerlah sekurang2nya kita boleh muhasabah diri kita, beruntung kita masih diberi kesihatan oleh Allah SWT dalam menjalani hidup ni, yer dok?
Jom, jenguk resepi...
SUP GEAR BOX TUMIS DARAT ( KAKI LEMBU)!
Untung beli dgn kawan abah, daging bertempek2 lagik dekat tulang tuh ha... |
BAHAN-BAHANNYA
1 kg kaki lembu
6 biji bawang kecil
2 inci halia
5 ulas bawang putih
1 senduk campuran rempah 4 sekawan
Air secukupnya
Garam dan perasa
CARA MEMBUATNYA:
1. Rebus kaki lembu hingga empuk
2. Dalam kuali berasingan, panaskan 1 senduk minyak, tumis rempah kasar dengan bahan yang dimayang hingga garing. Campurkan ke dalam rebusan kaki lembu. Tutupkan api. Perasakan dengan garam dan taburkan bawang goreng serta perahan limau nipis semasa menghidang
** Resepi kegemaran keluarga tapi awas.... jangan sering dimakan, kolesterolnya tinggi! Satu petua: masukkan supnya ke dalam peti ais, buangkan lemak yang terapung dipermukaan, kemudian panaskan balik!
IKAN TENGGIRI MASAK ASAM
rasanya masam-masam pedas tu yg best! |
BAHAN-BAHAN:
4 ketul tenggiri di lumur garam kunyit dan di goreng
3 ulas bawang putih
2 inci halia
2 biji bawang besar India di belah empat
5 biji cili padi di ketuk
Semangkuk air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
1 senduk minyak lebihan gorengan ikan
1. Goreng ikan seperti biasa
2. Panaskan minyak lebihan gorengan ikan, goreng halia, bawang putih dan bawang besar yang telah dimayang hingga wangi.
3. Masukkan air asam jawa. Perasakan dengan gula, serbuk perasa dan garam.
4. Akhir sekali masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Bila mendidih tutupkan api
**
Pertama sekali saya merasa masakan ini ialah selepas berkahwin, iaitu di rumah kakak ipar. Selepas itu ia menjadi masakan wajib saya, paling kurang sekali seminggu. Ianya ringkas dan kelebihannya boleh membuang angin di dalam badan kerana banyak halia digunakan. Gunakanlah ikan apa pun, ia tetap sedap. Bila ada lebihan ikan goreng semalam, buat saja masak asam, pasti licin!
TELUR BUNGKUS
ala-ala pecah sikit tu nak tunjuk isi dalam... ehehhe |
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur
50g @ 1/2 cawan daging/ayam cincang
¼ bawang besar didadu
1 ulas bawang putih didadu
2 sudu besar sayur campur
1 sudu teh sos tiram
1 sudu teh sos tomato
1 sudu teh sos cili
Sedikit garam dan mentega
CARA MEMBUATNYA
1. Panaskan mentega. Tumiskan bahan yang dimayang halus sehingga wangi. Masukkan ayam/ daging dan goreng seketika. Masukkan semua sos , sayur campur dan sedikit garam. Masak sebentar dengan api kecil. Ketepikan
2. Pukul telur dengan sedikit garam dan serbuk lada sulah.
3. Panaskan sedikit minyak. Lenggangkan kuali agar minyak terkena ke serata kuali. Biarkan minyak betul-betul panas, tuangkan lebihan minyak supaya ianya tidak berkumpul di dasar kuali. Kecilkan api ke paras paling minima. Masukkan telur yang telah dipukul bersama sedikit garam dan lada sulah, lenggangkan ke serata kuali. Letakkan inti ditengah-tengah telur. Lipatkan telur ke bentuk segi empat seperti membuat murtabak. Tutupkan api.
4. Ambil pinggan, terbalikkan ke atas telur tadi dan balikkan kuali agar permukaan rata telur berada di atas. Seperti nasi pataya.
**
Kali pertama saya memasak telur bungkus ialah semasa peperiksaan amali Ekonomi Rumah Tangga di tingkatan 3. Beberapa kali juga saya praktis dengan mama di rumah. Nasib saya baik sebab dapat A, siap cikgu puji lagi!
0 ulasan:
Post a Comment